sebenarnya sebelum ni pun ana pernah post assignment tentang kedudukan islam dalam perlembagaan, ni mesti kes en shafiq tak scroll sampai bawah.. he.. assignment yg pertama di buat atas subjek pengantar undang-undang di Malaysia sem 1, dan tajuk yg sama juga di dapati atas subjek pentadbiran undang-undang islam di Malaysia sem 2..
KOLEJ UNIVERSITI ISLAM MELAKA
AKADEMI PENGAJIAN ISLAM
DIPLOMA UNDANG-UNDANG DAN SYARIAH
PENTADBIRAN UNDANG-UNDANG ISLAM DI MALAYSIA
KEDUDUKAN ISLAM DALAM PERLEMBAGAAN
DISEDIAKAN UNTUK:
USTAZ ZULQARNAIN BIN
ZAINUDDIN
DISEDIAKAN OLEH:
AYU HASRIDAH BINTI YUSUF
NURUL IBNI BINTI ZAINUDDIN
1.1 PENDAHULUAN
Dalam kertas kerja ini, penulis akan menghuraikan tajuk yang
berkenaan kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan. Kedudukan Islam dalam
Perlembagaan sudah banyak kali dibincangkan namun ianya sering menjadi
perbahasan kerana kedudukannya masih tidak jelas. Antaranya termasuklah sifat
peruntukan itu sendiri yang tidak begitu jelas. Sejarah adalah salah satu aspek
yang melatari pembentukan kerangka Perlembagaan itu sendiri. Perbincangan
mengenai kedudukan Islam dalam Perlembagaan lebih tertumpu pada peruntukan-peruntukan
yang berkenaan iaitu bagaimana Islam dalam Perlembagaan itu ditafsir dan
implikasi peruntukan itu.
Tujuan penulis menghasilkan kertas kerja ini adalah untuk mengenal
pasti sejarah bagaimana Islam muncul sebelum dan selepas merdeka seterusnya
menjadi salah satu inti penting dalam undang-undang tertinggi Malaysia iaitu
Perlembagaan Persekutuan. Dalam pada itu, penulisan ini bertujuan untuk melihat
di manakah kedudukan Islam dalam perlembagaan Malaysia seterusnya mengupas
persoalan-persoalan sejauh manakah undang-undang Islam itu sendiri diamalkan
dan diterapkan dalam sistem perundangan di Malaysia mengikut
peruntukan-peruntukan yang sedia ada.
Bab yang pertama dalam kertas kerja ini adalah untuk mengenal pasti
sejarah bagaimana Islam wujud di Tanah Melayu sebelum dan selepas kemerdekaan
dicapai. Sejarah yang sebenarnya mempunyai kesan dan nilai positif kepada
kedudukan orang bukan Melayu dan orang Islam. Bab yang kedua pula membincangkan
tentang di manakah letaknya kedudukan Islam dalam perlembagaan Malaysia dan
peruntukan-peruntukan yang berkaitan dengannya. Serta dalam bab ini,
tafsiran-tafsiran mengenai Islam akan dibahaskan melalui beberapa kes yang
dirujuk dan pendapat beberapa tokoh. Bab yang ketiga akan membincangkan
mengenai kedudukan dan peranan Yang Di-Pertuan Agong dan raja-raja sebagai
ketua agama Islam serta meneliti peruntukan yang berkenaan dalam Perlembagaan.
Selanjutnya untuk melihat sejauh mana Raja-raja boleh menggunakan kedudukan
mereka dan memainkan peranan dalam pentadbiran agama Islam di Malaysia melalui
Majlis Raja-raja. Bab yang keempat pula membincangkan mengenai penggubalan
undang-undang Islam antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri serta
penguatkuasaan undang-undang Islam melalui Mahkamah Syariah seperti yang telah
termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Diharapkan dengan beberapa isu yang
dibentangkan di sini, kertas kerja ini akan memberi informasi yang bermanfaat
yang mencatatkan tentang kedudukan Islam dalam aperlembagaan berserta
perkembangan pentadbirannya melalui beberapa institusi Islam dalam negara kita
di samping dapat menarik prihatin pelajar terhadap aspek penting kehidupan
mereka.
2.1 SEJARAH AWAL PEMBENTUKAN
UNDANG-UNDANG ISLAM DI MALAYSIA
Agama
Islam telah menjadi agama orang Islam sejak lebih 500 tahun dahulu. Agama Islam
pertama kalinya dibawa ke Tanah Melayu melalui pedagang-pedagang Arab yang
datang dari Semenanjung Arab melalui India dan mendarat di pantai Melaka dalam
abad ke-15. Sejak itu, orang Melayu mula mengenali dan memeluk agama Islam. Hal
ini dapat dibuktikan daripada laporan orang Cina dan penemuan kesan-kesan
sejarah seperti sebuah penempatan yang menjadi kediaman saudagar Arab dalam
menyebarkan ajaran agama Islam kepada penduduk Tanah Melayu yang ditemui di Kedah dan
Palembang. Selain itu, terdapat juga bukti sejarah lain yang menunjukkan
kedatangan Islam ke Tanah Melayu antaranya penemuan batu nisan di Tanjung
Inggeris di Kedah pada tahun 1965 yang padanya tercatat nama si mati dalam
Bahasa Arab iaitu “Syeikh Abdul Qadir ibn Husayn Shah” yang telah meninggal
dunia pada tahun 291 Hijrah (940 M). Dalam pada itu, terdapat juga penemuan
batu nisan yang bertarikh 419 Hijrah
(1028 M) di Teluk Cik Munah, Permatang Pasir, Pekan Pahang pada Jun 1953. Dalam
pada itu, penemuan Batu
Bersurat Terengganu pada 702 Hijrah (1303 M) dan penemuan wang syiling yang
tercatat “al-mutawakkil” di bekas tapak Kota Istana Kubang Labu, Kelantan pada
tahun 1914 juga menunjukkan bukti kedatangan Islam di Kepulauan Melayu.
Pada
zaman penjajahan kuasa kolonial Eropah, telah banyak berlaku peperangan di
Tanah Melayu bagi tujuan mengekalkan dan mempertahankan tanah air dan agama.
Kuasa kolonial seperti Portugis, Bugis dan Belanda ini selain daripada
berhasrat menguasai Tanah Melayu sebagi pusat perdagnagan, mereka juga berazam
untuk menyebarkan agama Kristian dan menukar agama orang-orang Melayu yang
sewaktu itu kebanyakannya memeluk Islam. Seterusnya, apabila Portugis dan
Belanda meninggalkan Tanah Melayu dan selepasnya tampuk pemerintahan diambil
alih oleh British, soal agama Islam tidak diganggu lagi. Walaupun telah banyak
perjanjian damai yang dimeterai antara pihak British dan Raja-raja Melayu dalam
perkara-perkara yang bersabit pentadbiran Negara dan bertugas sebagai penasihat
kepada Raja-raja Melayu, agama Islam dikecualikan sama sekali daripada
lingkungan nasihat mereka. Sebagai contohnya, Perkara 2 dalam perjanjian antara
Kerajaan Negeri-negeri Selat dengan Pembesar-pembesar Negeri Sembilan yang
bertarikh 20 Jun 1895, telah dipersetujui bahawa mereka, “mengakui janji untuk
menurut nasihat Residen British dalam semua hal-ehwal pentadbiran selain
daripada soal yang menyentuh agama Islam.”[1]
Peruntukan
yang sama didapati dalam perjanjian lain yang telah dipersetujui oleh Raja-raja
Melayu dengan Great Britain. Sebagai contohnya, dalam sepucuk surat bertarikh
24 Ogos 1888, Sultan Ahmad Muathan Shah dari Pahang menulis kepada Sir Cecil
Clementi Smith iaitu Gabenor Negeri-negeri Selat yang dinyatakan bahawa, “
Dalam permintaan ini kami yakin bahawa Kerajaan British akan memberi jaminan
kepada kami dan pengganti-pengganti kami semua kedudukan istimewa dan kuasa
kami yang sebenar menurut sistem kerajaan kami dan akan berjanji bahawa mereka
tidak akan campur tangan dalam adat istiadat negeri kami yang mempunyai
sebab-sebab baik dan wajar, dan juga bersabit dengan hal-ehwal yang berhubung
dengan agama kami.” Bagi Negeri-negeri Selat, undang-undang Islam terhapus
melalui penguatkuasaan undang-undang Inggeris yang dikenali sebagai Piagam Keadilan
Pertama, Kedua dan Ketiga. Piagam-piagam ini mengisytiharkan penerimaan
undang-undang Inggeris secara menyeluruh bagi negeri-negeri jajahannya.
Akibatnya, penguatkuasaan undang-undang Islam yang sedia terpakai terutamanya
di Melaka seperti Hukum Kanun Melaka dan Undang-undang Laut Melaka sama sekali
terhapus dan diganti dengan kemunculah undang-undang Inggeris.
Pada
zaman penjajahan British itu juga, sebuah Persekutuan yang terdiri daripada
empat buah negeri iaitu Perak, Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan ditubuhkan
pada bulan Julai 1895 dengan tujuan untuk memperoleh perlindungan British.
Dalam perjanjian yang telah termaktub, setiap kerajaan Negeri-negeri Melayu
Bersekutu akan ditadbirkan di bawah nasihat kerajaaan British dan Raja-raja
negeri tersebut bersetuju menerima seorang Pegawai Brirish yang bergelar
Residen Jeneral. Oleh itu, nasihat yang diberikan oleh Residen Jeneral
hendaklah dipatuhi oleh Raja-raja Negeri dalam semua perkara yang melibatkan
pentadbiran selain daripada perkara yang menyentuh soal agama Islam.
Namun
begitu, atas faktor persekutuan tersebut tidak mempunyai organisasi yang
teratur untuk dijadikan kerajaan pusat, satu perjanjian telah ditandatangani
pada tahun 1909. Dalam perjanjian tersebut, telah dipersetujui bahawa satu
badan perundangan yang dinamakan Majlis Persekutuan akan dibentuk yang berfungsi untuk meluluskan semua
undang-undang yang akan dikuatkuasakan di seluruh Persekutuan atau dalam
negeri. Walaubagaimanapun, keutamaan undang-undang yang diluluskan oleh Majlis
Persekutuan dan bidang kuasa perundangannya tidak meluas kepada persoalan yang
berhubung dengan agama Islam dan adat istiadat. Pengertian agama Islam di sini
disempitkan kepada urusan ibadat, undang-undang kekeluargaan, pewarisan. wakaf
dan beberapa perkara lain yang termasuk dalam kategori undang-undang peribadi.
Sementara urusan-urusan lain seperti urusan jenayah, urusniaga, pentadbiran
negeri, percukaian, undang-undang tanah berada dalam lingkungan bidang kuasa
Residen British yang lebih banyak tertumpu kepada undang-undang Common Law
Inggeris.
Manakala,
di Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu, cara penyisihan undang-undang Islam
juga hampir sama. Kesemua Raja-raja Negeri ini tidak dikehendaki menerima
nasihat British ke atas perkara yang menyentuh hak dan kedaulatan mereka
mahupun mengenai adat istiadat orang Melayu dan agama Islam akan tetapi mereka
dikehendaki mengikut nasihat British dalam perkara-perkara lain yang melibatkan
soal pentadbiran.
Bagi
Sabah dan Sarawak pula, walaupun telah menerima pengaruh Inggeris seawal tahun
1882[2]
dan 1842[3],
undang-undang Inggeris hanya diterima secara rasmi pada tahun 1951[4]
dan 1949[5].
Akibatnya, pengaruh perundangan Islam yang dilaksanakan oleh kedua-dua negeri
ini melalui pemerintahan Sultan Brunei mula terhakis.Akibat daripada pengaruh
Inggeris, pemakaian undang-undang Islam semakin terhad yang hanya melibatkan
urusan kekeluargaan, wakaf, pusaka dan kesalahan yang berkaitan dengan
keagamaan sahaja. Pemakaian undang-undang Inggeris ini berlarutan sehingga
kemerdekaan dicapai pada tahun 1957. Setelah Malaysia mencapai kemerdekaan,
Perlembagaan Persekutuan dijadikan sebagai undang-undang tertinggi dan badan
perundangan tertinggi ialah Parlimen yang terdiri daripada Yang Di Pertuan
Agong, Dewan Negara dan Dewan Rakyat.
Sebenarnya,
peruntukan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang mengisytiharkan bahawa “Islam ialah agama bagi Persekutuan” telah
lama dipertahankan oleh orang Melayu malah sebelum kuasa British masuk ke Tanah
Melayu. Dalam masa pentadbiran kuasa British, mereka juga membawa masuk agama
Kristian sementara kaum yang lain membawa masuk agama lain seperti agama Hindu
dan Buddha. Oleh yang demikian, sebelum agama Islam diisytiharkan sebagai agama
bagi Persekutuan, pertimbangan perlu diberi kepada agama-agama lain yang
diamalkan di Tanah Melayu. Oleh sebab itu, Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan
memperuntukkan suatu fasal imbangan yang menyebut bahawa “ Tetapi agama-agama lain boleh diamalkan
dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan”. Tertakluk kepada
Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan juga, kebebasan beragama dijamin terhadap
semua agama dan setiap orang mempunyai hak untuk menganut dan mengamalkan
agamanya.
Maka,
jelaslah bahawa perkembangan-perkembangan yang telah dibincangkan oleh penulis di
atas menunjukkan bahawa isi dan semangat perlembagaan yang ada sekarang
sebenarnya berasal dan berakar umbi daripada sejarah dan akhirnya menjadi
undang-undang tertinggi dalam Negara kita.
3.1 KEDUDUKAN ISLAM DALAM PERLEMBAGAAN
Kebebasan beragama tertakluk kepada perkara 11 (5) dan ia bukanlah
kebebasan mutlak. Selain daripada perkara 11 ada juga perkara-perkara lain yang
menjelaskan kedudukan islam dalam
perlembagaan di antaranya adalah perkara 12. Perkara 12 perlembagaan
telah menetapkan bahawa
“ adalah sah bagi persekutuan atau sesuatu negeri menubuhkan atau
menyelenggarakan institusi-institusi Islam atau mengadakan atau membantu dalam
mengadakan ajaran dalam agama Islam dan melakukan apa-apa perbelanjaan
sebagaimana yang perlu bagi maksud itu.”
di mana Kerajaan diberi
kuasa untuk menggunakan duit kerajaan bagi tujuan perlaksanaan Islam dan
menubuhkan institusi islam. Walaupun hakikat bahwa kuasa agama adalah kuasa
negeri, institusi agama seperti JAKIM,
Majlis Fatwa Kebangsaaan, JKSM,
IKIM dan lain-lain telah wujud
diperingkat persekutuan. Inilah keistimewaan islam dalam perlembagaan yang
diberkan dalam perkara 12(2) yang mana kerajaan baik kerajaan negeri mahupun
kerajaan persekutuan boleh mengambil wang negara untuk menubuhkan
institusi-institusi islam yang tidak diberikan kepada agama-agama lain. Atas
sebab ini lah, kerajaan boleh membina institusi-institusi Islam di peringkat
persekutuan. Sehubungan dengan itu seksyen 50 Akta Pelajaran 1996 mewajibkan
mana-mana sekolah yang mempunyai lebih daripada lima orang murid beragama Islam
untuk memberi pelajaran agama Islam kepada murid-murid di sekolah itu dan kos
kewangannya ditanggung oleh kerajaan. Seksyen 52 akta tersebut juga membenarkan
kerajaan untuk memberi bantuan kewangan kepada sekolah-sekolah Islam Swasta dan
institusi-institusi Islam persendirian.
Seterusnya, perkara yang berkaitan juga adalah perkara 121 yang
telah dipinda pada tahun 10 Jun 1988 dengan memberi bidang kuasa eksklusif
kepada mahkamah syariah melalui fasal 1A. Merupakan pemberian, penglimitan juga
menghadkan bidang kuasa mahkamah tinggi terhadap bidang kuasa yang telah
diberikan kepada mahkamah Syariah. Apa sahaja bidang kuasa yang diberikan
kepada Mahkamah Syariah maka Mahkamah tinggi tidak boleh lagi membicarakan kes
tersebut. Sebelum pindaan ini dibuat, terdapat banyak kes di mana Mahkamah
Sivil telah membuat keputusan mengenai perkara yang termasuk dalam bidang kuasa
Mahkamah Syariah dengan mengutamakan prinsip undang-undang sivil berbanding
undang-undang Islam dan ada kalanya telah mengubah keputusan yang telah dibuat
di Mahkamah Syariah. Sebagai Contoh dalam kes Myriam lwn Arif[6],
perceraian telah berlaku di hadapan kadi dan Yang Arif Kadi telah mencatatkan
perintah persetujuan kedua-dua pihak memberi hak jagaan anak daripada
perkahwinan itu iaitu seorang anak
perempuan berumur 3 tahun kepada bapa mereka. Ibu mereka kemudiannya telah
berkahwin dengan lelaki yang bukan muhram kepada anak itu dan dia menuntut hak penjagaan
anak itu. Hakim Abdul Hamid, memutuskan bahawa perintah yang dibuat oleh Kadi
itu tidak menghalang pihak menuntut iaitu ibu anak itu membuat permohonan
kepada Mahkamah Tinggi. Beliau merujuk kepada seksyen 45 (6) Enakmen
pentadbiran undang-undang Selangor 1952, yang memperuntukkan, “ tiada apa-apa
yang terdapat di dalam enakmen ini akan mengganggu bidang kuasa Mahkamah Sivil
dan apabila terdapat perbezaan atau percanggahan antara keputusan mahkamah Kadi
Besar atau seorang Kadi dengan keputusan Mahkamah Sivil, yang bertindak dalam
kuasanya, keputusan Mahkamah Sivil adalah mengatasi.”
Keputusan yang Arif dalam
kes tersebut memutuskan bahawa Mahkamah Tinggi mempunyai bidang kuasa di bawah
Akta Penjagaan Budak 1961, yang telah diterima oleh Dewan Undangan Negeri
Selangor dengan syarat bahawa tiada apa-apa di dalam akta itu yang berlawanan
dengan agama Islam atau adat Melayu boleh dikenakan kepada seseorang di bawah
umur lapan belas tahun yang menganut agama Islam. Hakim juga memutuskan bahawa
akta itu tidak bercanggah dengan agama Islam atau adat Melayu dan oleh sebab
itu boleh dikenakan kepada orang yang menganut agama Islam. Yang Arif Hakim
juga merujuk kepada undang-undang islam yang katanya memperuntukkan antara lain
bahawa “ Seseorang perempuan yang berhak mendapat hak jagaan seorang kanak-kanak
lelaki ataupun perempuan akan hilang haknya jika perempuan itu berkahwin dengan
seorang lelaki yang tidak mempunyai pertalian dengan kanak-kanak itu, semasa
perkahwinan itu wujud.” Sebelum itu beliau telah berkata:
“ Dalam usaha saya menghasilkan
keadilan, saya bercadang menggunakan budi bicara saya dan memberi perhatian
utama kepada kebajikan kanak-kanak itu. Dengan membuat demikian bukanlah niat
saya mengenepikan agama dan adat pihak yang berkenaan atau kaedah-kaedah di
bawah agama Islam, akan tetapi itu tidak semestinya bermakna bahawa Mahkamah
hendak mematuhi dengan tegasnya kaedah-kaedah yang diperuntukkan oleh agama
Islam. Mahkamah pada pendapat saya tidak dilucutkan kuasa budi bicaranya.”
Yang Arif Hakim akhirnya telah memberikan hak penjagaan anak lelaki
yang kecil kepada ibunya manakala hak penjagaan anak perempuan yang besar
diberikan kepada bapanya.
Menurut perhatian kami, Mahkamah tinggi di dapati tidak menjatuhkan hukuman selaras
dengan undang-undang islam kepada pihak-pihak yang beragama Islam malahan
tindakan yang dikenakan mengikut undang-undang yang berlawanan dengan
undang-undang Islam. Ini menyebabkan Keputusan Mahkamah Syariah tidak mempunyai
sanction iaitu tidak dihormati,
keputusan mahkamah Syariah hanyalah sekadar keputusan sahaja dan
sekiranya pihak tersebut tidak berpuas hati maka mereka boleh memfailkan kes ke
Mahkamah sivil. Namun Mahkamah Sivil apabila membicarakan kes-kes mengenai
hukum syarak atau berkenaan agama islam, mereka boleh merujuk kepada akta yang
berkuat kuasa yang diluluskan oleh Parlimen dan bukan merujuk kepada hukum
syarak.
Demikian juga dalam kes Nafsiah lwn Abdul Majid,[7]
kemungkiran pertunangan telah di anggap sebagai kemungkiran kontrak yang
membolehkan ganti rugi diberikan oleh Mahkamah Sivil. Dalam kes ini
undang-undang Islam telah tidak digunakan walaupun kedua-dua pihak adalah
beragama Islam. Yang Arif Hakim dalam kes ini memutuskan bahwa Mahkamah Tinggi
mempunyai bidang kuasa mendengar kes berkenaan dan beliau telah menerima
tuntutan yang di buat dan memberi Rm 1200 sebagai ganti rugi. Yang Arif Hakim
juga berkata:
“ saya tidak mendapati apa-apa peruntukan di dalam Enakmen
Pentadbiran Undang-undang Islam 1959, bahawa kadi besar mempunyai bidang kuasa
eksklusif dalam semua perkara berhubung dengan atau yang timbul daripada
perkahwinan orang-orang Islam. Akta Mahkamah Kehakiman 1964 dengan nyta memberi
bidang kuasa kepada Mahkamah di bawah seksyen 24 (a) dan 25 (1) membicarakan
perkara dalam kes ini, yang mana tidak lain daripada tuntutan ganti rugi dan
kemungkiran janji perkahwinan. Tambahan pula seksyen 109 ordinan Mahkamah 1948
itu yang telah dimansuhkan oleh Akta Mahkamah Kehakiman 1964 dengan terang
memperuntukkan jika terdapat apa-apa perselisihan atau ketidakseimbangan antara
peruntukan-peruntukan ordinan Mahkamah 1948 itu dengan peruntukan mana-mana
undang-undang bertulis pada tarikh berkuatkuasnaya Ordinan Mahkamah itu,
Peruntukan Ordinan Mahkamah 1948 itu hendaklah mengatasi peruntukan lain.
Sungguhpun benar Enakmen pentadbiran undang-undang Islam 1959, tidak berkuat
kuasa pada tarikh berkuat kuasa Ordinan mahkamah 1948, Mahkamah Tinggi tidak
syak lagi mempunyai bidang kuasa menyelesaikan semua perkara berhubung hak
pihak-pihak yang hadir di hadapannya dan saya tidak mendapati apa-apa peruntukan
di dalam mana-mana undang-undang dan tidak ada undang-undang yang dirujuk
kepada saya, yang mengetepikan bidang kuasa mahkamah ini."
Profesor Ahmad Ibrahim telah mengulas tentang kes ini dengan
mengatakan bahawa rujukan tidak di buat kepada seksyen 119 Enakmen Pentadbiran
undang-undang Melaka 1959, yang membuat peruntukan khas bagi pertunangan orang
Islam. Oleh sebab perkara ini berkaitan dengan perkahwinan orang Islam yang
diperuntukkan di dalam Enakmen khusus yang memberi bidang kuasa kepada Mahkamah
Syariah, sepatutnya Mahkamah Sivil memutuskan bahawa ia tidak mempunyai bidang
kuasa di dalam perkara itu.[8]
Berdasarkan kes yang disebutkan di atas, jelas menunjukkan berlakunya percanggahan antara undang-undang
sivil dengan undang-undang Islam. kita melihat kepada pindaan yang berlaku pada
fasal 1 (A) menyebutkan bahawa “Mahkamah-mahkamah yang disebutkan dalam fasal
(1) tidaklah boleh mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan apa-apa perkara
dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah. Dengan adanya peruntukan Perkara 121 (1A)
bermakna percanggahan antara Mahkamah Tinggi dengan Mahkamah Syariah tidak akan
timbul lagi kerana mana-mana perkara yang boleh dibawa ke Mahkamah Syariah,
Mahkamah Tinggi tidak lagi mempunyai kuasa ke atasnya.” Kita mengetahui apabila kuasa Eksklusif
diberikan kepada Mahkamah Syariah, maka Mahkamah Syariah dapatlah memartabatkan
prinsip undang-undang Islam. Tetapi seandainya ada kes yang boleh dibicarakan
di Mahkamah Sivil, Mahkamah Sivil boleh tidak mengikut undang-undang Islam
tetapi sekiranya kes dibicarakan di Mahkamah Syariah dengan kuasa khusus yang
ada, sudah tentu Mahkamah Syariah akan dapat memartabatkan undang-undang Islam
di Malaysia.
Perkara 3 (1) Perlembagaan Malaysia yang memperuntukkan Islam
sebagai Agama persekutuan, serta perkara-perkara dalam perlembagaan yang
mendaulatkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara dan institusi
raja berpelembagaan menunjukkan bahawa hal ini merupakan suatu hakikat sejarah
dan kesinambungan budaya yang tidak terkeluar begitu sahaja. Pengiktirafan
agama islam tidak terhad kepada peringkat persekutuan sahaja oleh sebab semua
negeri-negeri beraja mempunyai peruntukan yang sama dalam perlembagaan
masing-masing. Malah negeri negeri yang tidak mempunyai raja juga mempunyai
peruntukan dalam perlembagaan negeri yang mengiktiraf islam sebagai agama
negeri seperti yang terkandung dalam Perlembagaan negeri Melaka, Perlembagaan
Negeri Pulau Pinang dan Perlembagaan negeri Sabah. Perlembagaan
Persekutuan mempunyai prinsip semua
penduduknya bebas untuk mempercayai agama selain daripada islam dan bebas
mengamalkan ajaran masing-masing. Berkait dengan hal tersebut, tidak berlaku
penentangan daripada bangsa asing dan orang bukan islam ketika cadangan di buat
untuk memasukkan perkara 3 (1) dalam perlembagaan persekutuan, fakta ini jelas
menunjukkan bahawa kedudukan istimewa terhadap agama islam, dan hak-hak agama
islam serta umat islam telah termaktub dalam perlembagaan di persetujui oleh
orang bukan islam. Orang bukan islam berasa aman dan tidak rasa tercabar dengan
pengiktirafan tersebut kerana sejarah telah membuktikan pemerintahan di Tanah
Melayu menjamin hak bangsa asing dan orang bukan Islam.
Peruntukan seterusnya dalam perlembagaan ialah
Jadual kesembilan senarai negeri pada perenggan satu dapat lah kita lihat
pemakaiannya khusus untuk orang-orang
islam sahaja dan yang kedua dari segi skop undang-undang Islam yang boleh di
kuatkuasakan oleh negeri-negeri, semuanya telah ditentukan dalam perlembagaan,
yang berkaitan dengan perkahwinan, perceraian, mahar, nafkah anak, harta
sepencarian dan lain-lain lagi. Sebagai contoh, pungutan derma juga termasuk di
dalam kuasa negeri, namun pungutan derma yang mendapat kelulusan daripada JAKIM
adalah tidak sah kerana JAKIM bukanlah badan yang ditubuhkan diperingkat negeri
sedangkan kuasa agama adalah kuasa negeri dan bukan kuasa persekutuan, ia tidak
mempunyai authoriti untuk meluluskan pungutan derma di negeri-negeri.
Kuasa Kerajaan Negeri untuk menggubal undang-undang Islam adalah
hak eksklusif yang jelas termaktub dalam Butiran 1 di bawah senarai negeri (
senarai II) Jadual kesembilan. Peruntukan ini perlulah di baca bersama-sama
perkara 74 (2). “ dengan tidak menyentuh apa-apa kuasa yang diberi kepada badan
perundangan Negeri untuk membuat undang-undang oleh mana-mana perkara lain,
Badan Perundangan Negeri boleh membuat undang-undang mengenai mana-mana perkara
yang disebutkan dalam senarai negeri (iaitu senarai kedua yang di nyatakan
dalam jadual kesembilan) atau senarai bersama.” Hasil daripada peruntukan-peruntukan
tersebut ialah hanya kerajaan Negri yang boleh menggubal undang-undang Agama
Islam yang berkuat kuasa dalam negeri tersebut.
Perkara yang di maksudkan dengan ‘ Undang-undang Islam’ dalam
Konteks perlembagaan Persekutuan ialah Jadual ke sembilan senarai II senarai negeri:
1.
Kecuali mengenai wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan
dan Putrajaya, Hukum Syarak dan undang-undang diri dan keluarga bagi orang yang
menganut agama islam, termasuk Hukum Syarak berhubung dengan mewarisi harta
berwasiat dan tidak berwasiat, pertunangan, perkahwinan, penceraian, mas
kahwin, nafkah, pengambilan anak angkat, taraf anak, penjagaan anak, pemberian,
pembahagian harta dan amanah bukan khairat: wakaf islam dan taarif serta
peraturan mengenai amanah khairat dan khairat agama, perlantikan
pemegang-pemegang amanah dan perbadanan bagi orang-orang mengenai pemberian
agama islam dan khairat, yayasan, amanah, khairat dan yayasan khairat yang
dijalankan, kesemuanya sekali dalam negeri; adat istiadat Melayu: zakat fitrah
dan baitulmal atau hasil agama islam yang seumpamanya; Masjid atau mana-mana
tempat sembahyang awam untuk orang islam; mengadakan dan menghukum
kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh orang-orang yang menganut agama islam
terhadap rukun-rukun islam kecuali mengenai perkara-perkara yang termasuk dalam
senarai persekutuan; keanggotaan, penyusunan dan acara bagi mahkamah-mahkamah
Syariah yang akan mempunyai bidang kuasa hanya ke atas orang orang yang
menganut agama islam dan hanya mengenai mana-mana perkara termasuk dalam
perenggan ini, tetapi tidak mempunyai bidang kuasa mengenai kesalahan-kesalahan
kecuali setakat yang diberi oleh undang-undang persekutuan; mengawal
pengembangan iktikad dan kepercayaan antara orang-orang yang menganut agama
islam; menentukan perkara-perkara hukum Syarak dan iktikad dan adat istiadat
Melayu.
3.2 TAFSIRAN ISLAM DALAM PERLEMBAGAAN MENURUT UNDANG-UNDANG
Tafsiran undang-undang tentang perkara 3 (1) telah dibincangkan
beberapa kali di mahkamah. Mahkamah Agung berpendapat bahawa tidak realistik
untuk menjadikan perkara 3 sebagai panduan untuk mengutarakan hujah bahawa
peruntukan ini menjadikan syariah sebagai undang-undang dasar Malaysia. Dalam
Kes Che Omar bin Che Soh lwn Pendakwaraya, tertuduh telah di dakwa di bawah
seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman mati
mandatori. Tertuduh mendakwa bahawa tuduhan yang dikenakan ke atasnya adalah
tidak sah kerana hukuman mati bagi kedua-dua kesalahan itu adalah bercanggah
dengan hukum syarak kerana kedua-dua kesalahan itu bukan kesalahan hudud. Oleh
itu ia bercanggah dengan perkara 3 (1) yang meletakkan Islam sebagai agama
persekutuan. Hujah pembelaan itu ditolak oleh Mahkamah Agung. Tun Mohd Salleh
Abbas dalam penghakimannya menyebut bahawa walaupun Islam merupakan satu cara
hidup, maksud agama islam dalam ruang lingkup perkara 3 perlu di lihat
berasaskan sejarah dan penggubalan perlembagaan serta peruntukan lain dalam
perlembagaan. Oleh yang demikian, Yang Arif menyimpulkan bahawa ‘ Islam’ dalam
konteks perkara 3 hanya meliputi soal upacara rasmi dan adat istiadat
semata-mata.
Tafsiran seterusnya dapat
dilihat menerusi Kes Meor Atiqulrahman bin Ishak dan Yang Lain lwn Fatimah Sihi[9].
Yang Arif menjelaskan bahawa:
Islam ialah agama persekutuan
tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai bermakna
Islam adalah Agama utama di antara agama-agama lain yang di anuti di negara
ini… Islam bukan setaraf dengan agama lain, bukan duduk berganding bahu atau
berdiri sama tegak. Ia duduk di atas, ia berjalan dahulu, terletak di tempat
medan dan suaranya lantang kedengaran. Islam ibarat pokok jati- teguh, tinggi
dan terampil. Jika bukan sedemikian Islam bukanlah agama bagi Persekutuan
tetapi adalah salah satu di antara beberapa agama yang di anuti di negara ini
dan setiap orang sama-sama bebas mengamalkan mana-mana agama yang di anutinya,
tiada lebih satu dari yang lain.
Hakim Mohd Noor seterusnya berkata:
Peraturan pakaian seragam sekolah Bil 3/1983 tersebut adalah
songsang dan tak selari dengan perlembagaan dan menurut perkara 4: Perlembagaan
ini adalah undang-undang utama persekutuan dan apa-apa undang-undang yang
diluluskan selepas Hari Merdeka dan yang tak selari dengan perlembagaan ini
hendaklah terbatal setakat yang tak
selari itu. Peraturan tersebut adalah terbatal. Adanya pilihan untuk memakai
seluar panjang atau baju kurung dan kain sarung tidak dapat menyelamatkan atau
menjadikan sah peraturan tersebut.”
Walaupun keputusan Yang Arif Hakim Mohd Noor Abdullah diketepikan
pada peringkat Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan, namun pendekatan yang
di ambil dalam mentafsirkan perkara 3(1) tidak disentuh oleh Mahkamah Tertinggi
Negara. Bahkan Hakim Abdul Hamid Mohamad ketika memberikan penghakiman Mahkamah
Persekutuan mengambil pendekatan dari hukum syarak dalam memutuskan kedudukan
peraturan sekolah yang mengharamkan pemakaian serban oleh pelajar-pelajar
sekolah rendah. Hakim berkenaan berkata:
“"daripada apa yang dapat saya pastikan, al
Quran tidak menyebut mengenai pemakaian serban. Saya tahu bahawa Rasulullah saw
memakai serban, tetapi baginda juga menunggang unta, membina rumahnya dan
masjid daripada tanah liat dan berbumbungkan daun kurma dan menggosok gigi
menggunakan sugi? Adakah itu bermakna bahawa menunggang unta itu satu amalan
lebih alim daripada bergerak menaiki kapal terbang? Wajarkah dipilih bahan dan
cara yang serupa yang digunakan oleh Rasulullah untuk membina rumah dan masjid
seperti pada zaman kehidupan yang di jalani oleh Baginda Nabi Rasulullah S.a.w lama dulu?”
Soalnya ialah sama ada pemakaian serban oleh kanak-kanak lelaki sebaya usia perayu (dalam kes ini) merupakan satu amalan dalam agama Islam. Islam bukan sekadar memakai serban dan berjanggut. Arab jahiliah, termasuk Abu Jahal, memakai serban dan berjanggut. Tidak masyarakat itu, berbuat demikian,”
Soalnya ialah sama ada pemakaian serban oleh kanak-kanak lelaki sebaya usia perayu (dalam kes ini) merupakan satu amalan dalam agama Islam. Islam bukan sekadar memakai serban dan berjanggut. Arab jahiliah, termasuk Abu Jahal, memakai serban dan berjanggut. Tidak masyarakat itu, berbuat demikian,”
Pendekatan yang di ambil oleh Yang Arif Hakim
Abdul Hamid Mohamad menunjukkan penafsiran tentang hak individu dari pandangan
Islam boleh dilakukan di Mahkamah persekutuan. Pendekatan sebegini sepatutnya
mampu dilakukan oleh Parah Hakim tanpa merujuk kepada keterangan saksi pakar
kerana undang-undang Islam adalah the law of the land sebagaimana yang telah
diputuskan dalam kes Ramah lwn Laton.
Dalam mentafsirkan kedudukan Islam dalam
perlembagaan, Abdul Hamid Mohamad, Hakim Mahkamah Rayuan dalam kes kamariah
berkata:
“Pada pandangan saya, berkaitan dengan agama
islam (saya tidak memutuskan mengenai agama-agama lain), perkara 11 tidaklah
boleh ditafsir begitu luas sehingga ia membatalkan semua undang-undang yang
mengkehendaki seseorang Islam itu mengerjakan sesuatu kewajipan agama islam
atau melarang mereka melakukan sesuatu perkara yang dilarang oleh agama Islam
atau yang menetapkan acara bagi melakukan sesuatu perkara yang berkaitan dengan
agama islam. Ini kerana kedudukan islam dalam perlembagaan persekutuan adalah
berlainan daripada kedudukan agama-agama lain. Pertama, hanya Islam sebagai
satu agama yang disebut namanya dalam perlembagaan persekutuan, iaitu sebagai
agama bagi persekutuan ( the religion of Federation) dari perkara 3 (1). Kedua,
perlembagaan itu sendiri memberi kuasa kepada Badan perundangan Negeri (bagi
negeri-negeri) untuk mengkanunkan Hukum Syarak dalam perkara-perkara yang
disebut dalam senarai II, Senarai negeri, Jadual kesembilan, Perlembagaan
persekutuan ( senarai II). Selaras dengan kehendak senarai II itu, Akta
Mahkamah Syariah (Bidang kuasa jenayah) 1965, akta 355/1965 dan berbagai-bagai
Enakmen untuk negeri-negeri termasuk yang disebut dalam penghakiman ini telah
dikanunkan.”
4.1 KEDUDUKAN DAN PERANAN RAJA-RAJA SEBAGAI KETUA AGAMA DALAM
PERLEMBAGAAN
KETUA AGAMA ISLAM
Dalam
menjalankan tugas sebagai ketua agama Islam, raja-raja dibantu dan dinasihati
oleh Majlis Agama islam dalam semua perkara berkaitan agama Islam kecuali
perkara yang berkaitan dengan hukum syarak. Dalam perkara-perkara yang
berkaitan dengan hukum syarak, raja dibantu dan dinasihati oleh Mufti Negeri.
Dalam menjalankan tugas sebagai ketua agama Islam bagi negeri-negeri yang tidak
beraja, Yang di-Pertuan Agong dinasihati oleh Majlis Agama Islam. Begitu juga
dalam menjalankan tugas sebagai ketua agama Islam bagi Wilayah Persekutuan,
Yang di-Pertuan Agong dinasihati oleh Majlis Agama Islam. Sebelum kedatangan
British, raja-raja, dengan dibantu oleh para ulama terlibat secara langsung
dalam penghakiman di mahkamah-mahkamah yang mengadili bersandarkan pada Undang-Undang
Islam. Dewasa ini, penghakiman di Mahkamah Syariah dibuat oleh hakim-hakim
syarie yang dilantik oleh raja-raja. Raja-raja turut mempunyai kuasa untuk
melantik Mufti dan lain-lain pemegang jawatan yang berkaitan dengan pentadbiran
agama Islam. Kuasa melantik ini termasuklah kuasa memecat dan menggantung
tugas. Raja-raja boleh memainkan peranan dengan melantik orang-orang yang
berkelayakan sahaja untuk memegang jawatan-jawatan tersebut, dan tidak tunduk
kepada desakan pihak eksekutif untuk memecat pemegang jawatan yang menjalankan
tugas dengan baik menurut tuntutan agama. Selain itu, Yang di-Pertuan Agong dan
raja-raja mempunyai kuasa mengampun, menangguhkan hukuman, meremit, menggantung
atau mengurangkan hukuman orang-orang yang didapati bersalah oleh Mahkamah
Syariah di negeri di mana baginda berperanan sebagai ketua agama Islam. Walau
bagaimanapun, sekiranya orang yang didapati bersalah oleh Mahkamah Syariah
tersebut merupakan seorang raja, isteri raja atau anak raja, maka Majlis
Raja-Raja yang akan menjalankan kuasa mengampun sebagaimana yang diperuntukkan
oleh Perkara 42(12) Perlembagaan Persekutuan. Sebagai ketua agama Islam, raja
–raja mempunyai kuasa dalam perundangan Islam di negeri masing-masing. Raja-
raja boleh memainkan peranan terhadap penyeragaman Undang-Undang Islam antara
negeri-negeri dengan mempersetujui usaha-usaha untuk menggubal atau mewartakan
enakmen-enakmen Undang-Undang Islam yang serupa di seluruh Negara. Raja-raja
juga boleh mempersetujui penguatkuasaan perintah-perintah dan
penghakiman-penghakiman Mahkamah Syariah sesebuah negeri di negeri baginda.
Dewan Undangan Negeri negeri-negeri lain boleh menggubal peruntukan yang serupa
dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam negeri masing-masing, dengan dipersetujui
oleh raja negeri yang berkenaan. Seseorang raja boleh memainkan peranan dengan
memberi perkenan kepada fatwa-fatwa yang diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa
Kebangsaan untuk diwartakan di negeri baginda. Sekiranya semua negeri
mewartakan fatwa yang serupa, dapatlah Undang-Undang Islam diseragamkan ke
seluruh Malaysia. Berkaitan dengan Arahan-arahan Amalan yang dikeluarkan oleh
Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia(JKSM). Arahan-arahan Amalan ini
kebanyakannya berkaitan dengan pentadbiran dan tatacara Mahkamah Syariah.
Sekiranya raja-raja memberi perkenan kepada negeri-negeri menyertai skim guna
sama JKSM, Mahkamah Syariah di semua negeri akan mempunyai amalan pentadbiran
dan tatacara yang seragam.
MAJLIS RAJA-RAJA
Perlembagaan
persekutuan memperuntukkan bahawa raja merupakan ketua agama Islam dalam negeri
baginda sebagaimana yang diisytiharkan oleh Perlembagaan Negeri berkenaan.
Manakala Yang di-Pertuan Agong merupakan ketua agama Islam dalam negeri-negeri
tidak beraja seperti yang harus diperuntukkan oleh Perlembagaan Negeri negeri-negeri
tersebut dan dalam Wilayah Persekutuan. Dilihat dari segi sejarah, dalam
persidangan Durbar pada tahun 1897, raja-raja mahukan perbincangan tentang
agama Islam kekal di peringkat Majlis Negeri dan tidak dibawa ke peringkat
Majlis Mesyuarat Persekutuan. Begitu juga sewaktu perundingan kemerdekaan
raja-raja bersetuju memberi kebenaran supaya peruntukan yang mengisytiharkan
agama Islam sebagai agama persekutuan dimasukkan ke dalam Perlembagaan
Persekutuan hanya selepas raja-raja diberi jaminan bahawa perisytiharan
tersebut tidak akan menjejaskan kedudukan raja-raja sebagai ketua agama Islam
di negeri masing-masing. Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa
raja-raja boleh bertindak mengikut budi bicara sendiri dalam menjalankan tugas
sebagai ketua agama Islam. Ini menunjukkan bahawa raja-raja tidak semestinya
bertindak menurut nasihat pihak eksekutif dalam perkara agama Islam. Hal ini
juga bermakna bahawa struktur Perlembagaan Persekutuan mengizinkan penerusan
kuasa raja-raja dalam perkara agama Islam. Berkaitan perkara tersebut terdapat
sedikit perbezaan di Negeri Sembilan apabila dalam perkara yang berkaitan
dengan agama Islam, Yang Dipertuan Besar dimestikan bertindak dengan
persetujuan para Undang. Perlembagaan Negeri semua negeri beraja memperuntukkan
bahawa raja-raja hendaklah berbangsa Melayudan beragama Islam. Perlembagaan
Persekutuan pula mentakrifkan orang Melayu sebagai, antaranya, orang yang
beragama Islam. Takrifan ini jelas menunjukkan bahawa Melayu dan Islam
merupakan dua unsur yang tidak boleh dipisahkan. Perkara 153 Perlembagaan
Persekutuan turut memperuntukkan bahawa Yang di-Pertuan Agong mempunyai
tanggungjawab sebagai perlindung kedudukan istimewa orang-orang Melayu.
Berdasarkan takrifan orang Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan, Yang
di-Pertuan Agong mempunyai tanggungjawab untuk melindungi agama Islam sebagai
agama yang dianuti oleh orang-orang Melayu. Tahap perlindungan raja-raja untuk
orang-orang Melayu adalah ketat sehinggakan sebarang pindaan terhadap Perkara
153 tidak boleh diluluskan oleh Parlimen tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja
yang dianggotai dan dikendalikan oleh raja-raja. Kedudukan raja-raja sendiri
dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan. Walaupun seseorang ahli Parlimen
tidak boleh didakwa tentang apa-apa yang dikatakan olehnya apabila mengambil
bahagian dalam perbahasandi Parlimen, namun jika dia mencadangkan penghapusan
institusi berperlembagaan Yang di-Pertuan Agong atau raja sesebuah negeri, maka
dia boleh dikenakan prosiding di mahkamah. Majlis Rja-Raja bertindak sebagai
sebuah badan undang-undang dalam beberapa perkara tertentu. Majlis Raja-Raja
juga yang memilih, melantik, dan memecat Yang di-Pertuan Agong. Dalam perkara
berkaitan agama Islam, Majlis Raja-Raja mempunyai fungsi untuk menyelaras
apa-apa perbuatan, amalan atau upacara agama Islam supaya meliputi seluruh
Negara dan memilih tarikh permulaan puasa dan tarikh perayaan orang-orang
Islam.
5.1 MAHKAMAH SYARIAH DAN BIDANG
KUASANYA
BIDANG
KUASA MAHKAMAH SYARIAH
Di dalam sistem perundangan
Islam, bidang kuasa Mahkamah Syariah disebut sebagai ‘al-wilayah’,yakni hak dan
juga kuasa untuk mendengar dan memutuskan kes. Sekiranya Makhamah Syariah tidak
mempunyai bidang kuasa ini, maka mahkamah tidak boleh membuat sebarang
keputusan terhadap mana-mana perbicaraan.
Disebabkan perundangan di
Malaysia mengamalkan sistem dualism, maka dengan adanya bidang kuasa ini secara
dasarnya kita tidak mengalami konflik dalam menentukan kuasa mendengar dan
memutuskan sebarang kes. Bidang kuasa yang tertentu juga mendapat menentukan
kes-kes yang boleh dibicarakan oleh Mahkamah Rendah, Mahkamah Tinggi, dan
Mahkamah Rayuan Syariah.
Secara umumnya, bidang kuasa
yang dimiliki oleh Mahkamah Syariah di Malaysia tidaklah berbeza jika hendak
dibandingkan ketika zaman kemerdekaan lagi. Walau bagaimanapun,Mahkamah Syariah
mengalami perkembangan yang positif dan lebih baik dari aspek status kakitangan,
pentadbiran, penaikan taraf mahkamah itu sendiri dan infrastrukturnya. Jabatan
Kehakiman Syariah Malaysia yang ditubuhkan
perlu menghargai dan melihatnya sebagai suatu perkara yang positif
sekalipun ia bukanlah perubahan yang sangat ketara.
3.2 SUMBER
BIDANG KUASA MAHKAMAH SYARIAH
Perlembagaan Persekutuan
Jadual Sembilan memperuntukkan Senarai 1 kepada bidang kuasa Persekutuan,
Senarai 2 kepada bidang kuasa negeri dan Senarai 3 kepada bidang kuasa bersama.
Dalam konteks Mahkamah Syariah, sumber
bidang kuasanya adalah berdasarkan kepada senarai 2, yakni Senarai Negeri.
Jadual Sembilan memberikan kuasa perundangan kepada negeri melainkan dalam
soal-soal jenayah. Badan Perundangan Negeri yang diberikan kuasa oleh Perlembagaan Persekutuan mentadbirkan
Undang-Undang Islam dan semua hal-ehwal Islam I negeri masing-masing kecuali
Wilayah Persekutuan, yang diletakkan di bawah Persekutuan.
Jadual
Kesembilan Senarai 2, Senarai Negeri, dalam Perlembagaan Persekutuan
memperuntukkan:
1.
Kecuali
mengenai Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan, Hukum Syarak dan
undang-undang diri dan keluarga bagi orang yang menganut agama Islam,
termasuk hukum Syarak berhubung dengan
mewarisi harta berwasiat dan tak berwasiat, pertunangan, perkahwinan,
perceraian, mas kahwin, nafkah, pengambilan anak angkat, taraf anak, penjagaan
anak, pemberian, pembahagian harta dan amanah bukan khairat, Wakaf Islam
dan takrif serta peraturan mengenai
amanah khairat dan khairat agama, perlantikkan pemegang-pemegang amanah dan
perbadanan bagi orang-orang mengenai pemberian agama Islam dan Khairat,
yayasan, amanah, khairat, dan yayasan khairat yang dijalankan kesemuanya sekali
dalam Negeri, adat istiadat Melayu, Zakat, Fitrah dan Baitul mal atau hasil agama yang seumpamanya
masjid atau mana-mana tempat sembahyang awam untuk orang islam, mengadakan dan
menghukum kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh orang-oramg yang menganut
agama islam terhadap rukun-rukun islam kecuali mengenai perkara-perkara yang
termasuk dalam senarai Persekutuan keanggotaan,
penyusunan dan cara bagi mahkamah-mahkamah Syariah, yang akan mempunyai
bidang kuasa hanya ke atas orang- orang islam dan hanya mengenai mana-mana
perkara yang termasuk dalam perenggan ini, tetapi tidak mempunyai bidang kuasa
mengenai kesalahan-kesalahan kecuali setakat yang diberi oleh undang-undang,
persekutuan, mengawal perkembangan iktikad dn kepercayaan antara orang-orang
yang menganut agama islam, menentukan perkara-perkara Hukum Syarak dan iktikad
dan adat istiadat melayu.
Di bawah kuasa Perlembagaan Persekutuan ini juga, pihak berkuasa
negeri mewujudkan Enakmen Pentadbiran Islam Negeri, dan di bawah enakmen inilah
Mahkamah Syariah ditubuhkan. Serentak dengan ini juga, di bawah enakmen inilah
diperuntukkan bidang kuasa dan juga pegawai-pegawai mahkamah yang akan
mengendalikannya. Pentadbiran mahkamah ini juga telah diasingkan daripada
pentadbiran agama Islam negeri. Oleh sebab itu, terdapat Jabatan Kehakiman
Syariah Negeri-negeri dan di bawah jabatan ini, diwujudkan mahkamah-mahkamah
yang diketuai oleh Yang Amat Arif Ketua Hakim Syarie Negeri masing-masing.
Pada pengamatan penulis, ini sebenarnya ruang yang amat besar
kepada kerajaan negeri untuk mentadbirkan Undang-Undang Islam dengan secara
lebih cekap dan berdaya saing berbanding pada ketika struktur pentadbirannya
diletakkan di bawah Jabatan Agama Islam bersama dengan lain-lain pentadbiran di
bawah jabatan ini.
3.3 BIDANG KUASA JENAYAH
Tidaklah sebagaimana Mahkamah Sivil, bidang kuasa jenayah bagi
Mahkamah Syariah adalah “dikurniakan” oleh Perlembagaan Persekutuan. Bidang
kuasa Mahkamah Syariah telahpun ditentukan oleh Akta Mahkamah Syariah Bidang
Kuasa Jenayah 1965 (Pindaan 1984). Ia memperuntukkan bahawa Mahkamah Syariah
boleh menjatuhkan hukuman maksimum RM5000.00 denda, ataupun penjara maksimum 3
tahun ataupun sebatan 6 kali ataupun gabungan antara hukuman-hukuman berkenaan.
Semua kesalahan dan hukuman yang disebutkan ini adalah termasuk di
dalam konsep takzir yang ditentukan oleh Islam dalam konteks kes-kes jenayah.
Dalam konteks Mahkamah Syariah di Malaysia, kesalahan-kesalahan
jenayah syariah ini boleh dilihat peruntukkannya di dalam tiga tempat:
1)
Kesalahan-kesalahan
yang diperuntukkan di bawah Undang-undang Pentadbiran Agama Negeri-negeri.
2)
Kesalahan-kesalahan
si bawah Enakmen/Ordinan/Akta Undang-undang Keluarga Islam Negeri-negeri.
3)
Kesalahan-kesalahan
di bawah Undang-undang Kesalahan Jenayah Syariah yang secara khususnya
memberikan peruntukan berkaitan dengan jenayah berkenaan.
Kesalahan-kesalahan
yang berada di tempat yang ketiga ini juga turut melibatkan kesalahan jenayah
syariah matrimoni seperti poligami tanpa izin mahkamah dan penceraian dilakukan
di luar mahkamah.
Sehubungan
dengan ini, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Selangor telah membentuk beberapa kategori jenayah
yang tertentu, iaitu:
1)
Kesalahan
berkaitan akidah seperti menyebarkan doktrin palsudan takfir.
2)
Berhubung
dengan kesucian agama Islam dan institusinya seperti menghina perkara-perkara yang
berkait dengan agama, pihak berkuasa agama, fatwa, ingkar perintah, mahkamah,
berjudi, minum arak dan minuman yang memabukkan, tidak menghormati bulan
Ramadhan, tidak menunaikan solat Jumaat dan tidak membayar zakat dan fitrah.
3)
Berhubung
dengan kesusilaan seperti seperti sumbang mahram, pelacuran, hubungan jenis,
khalwat, lelaki berlagak seperti pondan dan perlakuan tidak sopan di khalayak
awam.
4)
Kesalahan
pelbagai seperti membawa lari wanita yang sudah bersuami, menghalang pasangan
yang telah bernikah daripada menjalani kehidupan sebagai suami isteri,
menghasut suami isteri supaya bercerai atau meninggalkan kewajiban, menjual
atau memberi anak kepada bukan Islam, qazaf (menuduh zina), mengutip zakat
tanpa kebenaran dan menyalahgunakan tanda halal.
BIDANG KUASA MAL
Istilah ‘ mal’
sebenarnya merujuk kepada harta tetapi dalam konteks perundangan, ia merujuk
kepada kes-kes bukan jenayah. Bidang kuasa mal bagi Mahkamah Syariah terpakai
kepada semua orang Islam yang tinggal pemastautin negeri-negeri. Dan
sebenarnya, Mahkamah Syariah mempunyai bidang kausa mal yang hampir menyeluruh
dan merangkumi banyak aspek kekeluargaan Islam:
1)
Berkaitan
dengan isu-isu sebelum perkahwinan. Seperti putus tuning, pemohonan kebenaran
untuk berkahwin dan pemohonan untuk berpoligami.
2)
Berkaitan
dengan persoalan semasa perkahwinan. Seperti pemohonan mengesahkan perkahwinan,
permohonan membatalkan perkahwinan yang tidak sah, pemohonan nafkah diri, nafkah anak,
mensabitkan isteri nusyuz, pemohonan isteri supaya suami hidup bersama semula
dn sebagainya.
3)
Berkaitan
dengan persoalan pembubaran perkahwinan. Pemohonan cerai khulu, lian fasakh,
talak, takliq, penceraian dengan perintah, kerana murtad dan juga secara
anggapan mati.
4)
Sebarang
pemohonan di dalam sesuatu kes sedang berjalan (interlocutory order) Contohnya,
permohonan sementara nafkah sama ada diri atau anak, hadanah, perintah larangan
terhadap harta dan gangguan.
Bagi perkara ini, bukanlah sesuatu yang luar
biasa satu-satu kes perbicaraan mengambil masa yang lama, kerana terlalu banyak
isu yang perlu diselesaikan. Dalam sepanjang tempoh berkenaan, banyak perkara
yang timbul yang perlu diselesaikan oleh pihak mahkamah. Sekiranya tidak
diselesaikan, akan menyebabkan ketidakadilan dan aniaya kepada pihak-pihak yang
terlibat. Oleh yang demikian, undang-undang memberikan ruang supaya pihak-pihak
yang terlibat ketika menanti keputusan yang jelas dari pihak mahkamah
dibenarkan untuk membuat pemohonan sementara, sementara perbicaraan dijalankan.
Umpamanya, adalah sangat wajar bagi seorang wanita memohon larangan
(injucksi)terhadap bekas suaminya untuk tidak mengganggunya. Begitu juga
memohon perintah larangan agar harta yang dimiliki secara bersama tidak
dibenarkan untuk dilibatkan dalam sebarang urusan.
5)
Isu-isu
yang berbangkit selepas penceraian. Perkara-perkara ini boleh dirujuk di
mahkamah yang ada bidang kuasanya, iaitu selepas perceraian berlaku. Umpamanya,
sagu hati(mutaah) selepas perceraian ,harta sepencarian, nafkah iddah, nafkah
anak, nafkah tertunggak dan juga soal hadanah( penjagaan anak).
6)
Permohonan
–permohonan mengenai wasiat, wakaf dan harta pusaka.
7)
Permohonan
penguatkuasaan perintah mahkamah. Ini berlaku apabila keputusan yang dikeluarkan tidak diikuti oleh pihak yang
kena tanggungan. Maka, pihak-pihak yang stau lagi boleh menuntut supaya
perintah-perintah yang dikeluarkan itu dikuatkuasakan oleh pihak mahkamah.
Mahkamah Syariah telahpun mengalami banyak perubahan
terutama dari sudut pentadbiran yang lebih cekap,efisien dan sebagainya. Dan
inilah sebenarnya yang diharapkan oleh masyarakat.
Inilah adalah kerana
salah satu prinsip pemakaian undang-undang yang agak penting ialah soal
pengiktirafan (recognition) masyarakat. Apabila masyarakat merasakan Mahkamah
Syariah boleh diharapkan, diberi kepercayaan dan boleh menyelesaikan
masalah-masalah masyarakat, maka di situlah wujudnya pengiktirafan di kalangan
masyarakat.
Pada hemat penulis,
Mahkamah Syariah di Malaysia telahpun diberi pengiktirafan oleh masyarakat. Ini
adalah kerana, kita sama-sama dapat melihat mahkamah telahpun menangani banyak
kes kekeluargaan di kalangan masyarakat Islam. Begitu juga dalam soal jenayah
syariah. Mahkamah Syariah di Malaysia telahpun mengendalikan kes-kes jenayah
syariah
Walau bagaimanapun,
persoalannya bagaimana hendak memaksimumkan pemahaman masyarakat mengenai
bidang kuasa mahkamah? Ini kerana disebabkan pemahaman inilah yang menyebabkan
mereka yang menghadapi masalah, membawa masalah mereka itu ke hadapan mahkamah.
Dalam keadaan mereka boleh mengharapkan Mahkamah Syariah memberikan keadilan
kepada mereka, memberikan hak yang dituntut dan boleh menghukum mana-mana pihak
yang mengabaikan tanggungjawab mereka ataupun bagi mereka yang telah melakukan
kesalahan.
6.1 KEDUDUKAN
ISLAM SEBAGAI SUMBER PERUNDANGAN NEGARA
Perbincangan tentang kedudukan undang-undang Islam Malaysia harus
dimulakan dengan melihat kedudukan Islam dalam susunan keutamaan undang-undang
kita. Undang-undang tertinggi ialah perlembagaan itu sendiri. Hal ini diikuti
oleh statut iaitu undang-undang berbentuk akta yang diluluskan oleh Parlimen
atau enakmen yang diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN). Di bawahnya
menyusul keputusan-keputusan mahkamah sivil yang membentuk doktrin duluan yang
mengikat. Ini diikuti oleh prinsip-prinsip undang-undang Inggeris. Selepas itu
barulah kita dapati undang-undang Islam, undang-undang adat serta undang-undang
anak negeri.
Dari satu sudut, jika kita perhatikan, undang-undang Islam jelas
terpinggir kerana ia diberi kedudukan yang kurang utama berbanding dengan sumber-sumber
yang lain. Walaubagaimanapun, keadaan ini tidak semestinya bermakna bahawa
Islam mempunyai kedudukan yang ‘melukut di tepi gantang’. Hal ini kerana Akta
Parlimen umpamanya, boleh diresapkan dengan semangat atau prinsip Islam.
Sebagai contoh, Parlimen boleh meluluskan semua Akta yang di dalamnya
terkandung prinsip-prinsip Islam dan begitu juga dengan keputusan mahkamah.
Jika diperhatikan, kebelakangan ini sudah wujud keputusan-keputusan mahkamah
sivil yang selaras dengan semangat Islam atau sekurang-kurangnya tidak
merugikan Islam. Kedudukan undang-undang Islam di Malaysia perlu difahami dalam
konteks pelaksanaan Islam dalam Negara moden, di mana undang-undang diluluskan
oleh dewan perundangan. Keadaan ini berbeza dengan zaman dahulu di mana undang-undang
dihurai oleh para ulama dan dilaksanakan oleh mahkamah tanpa melalui proses
legislative. Apa yang hendak ditekankan di sini ialah bahawa susunan keutamaan
undang-undang tadi tidak semestinya merugikan Islam sekiranya undang-undang
yang lain itu dipastikan tidak menentang semangat dan prinsip yang telah
digariskan dalam Islam.
Keadaan inilah yang dikatakan pendekatan melaksanakan Islam melalui
sistem perundangan yang ada. Selain itu, perlu diperingatkan bahawa meskipun
tidak semua undang-undang yang ada bersumberkan Islam yang kebanyakannya dibawa
masuk dari England melalui India, tetapi tidak semua undang-undang contonhya
undang-undang tort, kontrak, jenayah dan seumpamanya bertentangan dengan
prinsip-prinsip Islam. Ertinya, selagi ia tidak menafikan hak umat Islam,
undang-undang ini boleh dikekalkan. Dalam pada itu, usaha untuk mengenalpasti
percanggahan antara undang-undang sivil dengan undang-undang Islam hendaklah
dilakukan secara berterusan. Pengalaman sebegini pernah dilakukan di beberapa
Negara Islam yang telah menjalankan usaha dalam memastikan agar undang-undang
tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Sebagai contohnya, di Sudan yang mana
sebelum usaha sedemikian dilakukan, sebuah kajian dijalankan dan telah didapati
bahawa lebih kurang 80 peratus dari undang-undang yang ada seperti dalam
Malaysia termasuk Sudan sendiri yang pernah dijajah oleh British telahpun
memenuhi kehendak Islam. Di samping itu, menarik untuk disebut bahawa meskipun
British bertanggungjawab meminggirkan undang-undang Islam melalui beberapa kes
hakim-hakim Inggeris, mereka mengakui undang-undang Islam di Negara ini.
Antara mekanisme perubahan yang boleh dilakukan dalam perlembagaan
adalah dengan cara meminda perlembagan kerana tidak akan timbul masalah besar
kerana kerjaan sekarang memiliki kerusi lebih daripada dua pertiga di Parlimen.
Tetapi ini tidak akan mungkin berlaku selagi hal-hal lain yang lebih kecil
masih belum dilaksanakan. Sebagai contohnya, Akta Undang-undang Sivil 1972 yang
mejadi saluran kemasukan prinsip-prinsip Common Law masih belum dipinda untuk
memberi laluan kepada prinsip-prinsip Islam. Selain itu, perubahan melalui
politik adalah kaedah yang paling popular. Hal ini mugkin berpunca daripada
anggapan bahawa sistem yang ada sekarang ini bersifat secular dan jahiliah dan
tidak mungkin memberi ruang kepada Islam sehingga menggambarkan halangan itu
datangnya daripada pihak kepimpinan politik. Pentadbiran Negara bukan hanya
bergantung kepada kuasa politik semata-mata. Hal ini kerana, boleh wujud suatu
keadaan di mana kepimpinan politiknya sedar dan berwawasan, tetapi oleh sebab
jentera pentadbirannya tidak menyokong cita dan wawasan itu, segala yang
disebut dalam manifesto politik mereka tidak menjadi kenyataan.
Meskipun kita mengatakan bahawa ruang untuk Islam itu ada, sudah
tentulah ada modifikasi dan pindaan yang perlu dilakukan. Sekiranya
langkah-langkah awal itu masih gagal mencapai matlamatnya, langkah-langkah
penyesuaian yang seterusnya perlu dilakukan. Meskipun senarionya agak muram,
potensi dan harapannya ada. Yang jelas tuntutan dan desakan ke arah itu tidak
pernah padam. Ini amat penting kerana tuntutan dan desakan adalah penggerak
utama kepada pihak yang berkuasa. Hal ini boleh dilakukan sekiranya semua pihak
ikhlas dan bersungguh-sungguh untuk mendaulatkan kedudukan Islam di tanah air
ini.
7.1 HALANGAN-HALANGAN
PELAKSANAAN UNDANG-UNDANG JENAYAH ISLAM DALAM PERLEMBAGAAN MALAYSIA
Perkara di atas sering diperkatakan baik oleh mereka yang mahukan
pelaksanaan undang-undang Islam sepenuhnya atau yang menentangnya. Apakah yang
dikatakan sebagai halangan oleh perlembagaan itu satu fakta atau hanya pendapat
semata-mata? Seperti yang diketahui umum, persoalan pentadbiran undang-undang
jenayah dan keadilan diletakkan di bawah kuasa persekutuan. Sementara itu, Islam
diletakkan di bawah bidang kuasa negeri. Walaubagaimanapun, perlu dijelaskan
bahawa perkara-perkara yang berhubung dengan Islam sebagaimana yang terdapat
dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan hanyalah berkisar kepada undang-undang
keluarga. Malah, ada undang-undang yang yang membataskan bidang kuasa Mahkamah
Syariah. Apakah kedudukan ini yang menghalang pelaksanaan undang-undang jeanyah
Islam di Malaysia? Jawabnya, tidak. Apa yang ditetapkan oleh perlembagaan ialah
bahawa bidang berkenaan terletak di bawah bidang kuasa pihak berkuasa
persekutuan. Jadi Parlimen dan kerajaan persekutuan yang bertanggungjawab
mengatur langkah ke arah melaksanakan undang-undang Islam. Hal ini termasuklah
meminda undang-undang yang ada supaya selari dengan Islam dan kemudiannya
melaksanakannya.
Selain itu, sering juga disebutkan bahawa Perlembagaan Persekutuan
menyebut bahawa perlembagaan tersebut adalah undang-undang tertinggi dan
undang-undang lain terbatal sekiranya ia bertentangan dengan undang-undang
Persekutuan itu. Hal ini disebut sebagai peruntukan utama yang menghalang
pelaksanaan Islam kerana ia tidak merujuk kepada Al-Quran dan As-Sunnah.
Bagaimanapun, perlu disebut juga bahawa apa yang dikatakan sebagai
‘perlembagaan’ itu sebenarnya tidak jelas. Dalam banyak hal, apakah yang
dikatakan ‘perlembagaan’ itu masih bergantung kepada tafsiran mahkamah. Seperti
yang disebutkan di atas, perlembagaan tidak meyebut semua hal secara terperinci
dan jelas. Dengan kata lain, masih ada ruang untuk menghujah bahawa peruntukan
yang mengisytiharkan perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi Negara itu
tidak semestinya mutlak dalam penghalang pelaksanaan undang-undang Islam.
Dengan demikian boleh dikatakan bahawa perlembagaan tidak
semestinya menghalang pelaksanaan undang-undang jenayah Islam. Sekiranya pihak
berkuasa Persekutuan mahu mengambil tindakan ke arah itu, undang-undang jenayah
Islam boleh dilaksanakan dalam kerangka yang ada sekarang ini. Pihak berkuasa
negeri boleh melaksanakan undang-undnag berkenaan tetapi hal ini memerlukan
pindaan perlembagaan bagi mengecualikan jenayah di bawah undang-undang Islam
dari bidang kuasa Persekutuan serta mengubahsuai undang-undang yang membataskan
bidang kuasa Mahkamah Syariah. Hal ini tidak akan menjadi terlalu sukar kerana
pihak yang memerintah mempunyai majoriti yang cukup dalam Parlimen. Apa yang
penting dalam soal pelaksanaan undang-undang Islam ialah usaha yang teratur dan
konsisten ke arah menyediakan persekitaran perundangan yang sesuai dan kondusif
untuk pelaksanaan undang-undang tersebut.
Namun begitu, ada pihak yang menghujahkan bahawa langkah-langkah
seperti yang dicadangkan adalah sukar dilakukan kerana perlembagaan Negara
bersifat sekular dan dengan demikian setiap perubahan yang menuju ke arah Islam
akan dicabar di mahkamah. Seperti yang dihujahkan di atas, perlembagaan Negara
tidak jelas bersifat sekular. Apa yang didakwa sebagai sifat sekular itu adalah
kesimpulan yang dibuat berdasarkan wujudnya beberapa peruntukan tertentudi
samping beberapa keputusan mahkamah. Hujah-hujah yang mendakwa sifat sekular
perlembagaan itu sebenarnya tidak muktamad.
Dari sudut lain, kita boleh membuat analogi tentang perlembagaan
sebagai dokumen yang cuba melaksanakan semangat dan tuntutan demokrasi.
Bagaimanapun, seperti yang dimaklumkan, Parlimen kita sudah meluluskan pelbagai
jenis undang-undang yang pelaksanaannya bertentangan dengan demokrasi. Ini
dijustifikasikan dengan pelbagai alasan termasuk ketenteraman awam, keselamatan
dan seumpamanya. Ini semua menyebabkan dakwaan yang menuding jari kepada
perlembagaan sebagai halangan kepada pelaksanaan Islam tidak begitu menyakinkan.
Kalau perlembagaan sebagaimana yang disebut oleh Suruhanjaya Reid yang hendak
mendaulatkan demokrasi boleh menerima undang-undang yang anti demokrasi,
mengapa perlembagaan tidak boleh menerima Islam yang tidak ditentangnya secara
jelas?
Tuntasnya, apa yang didakwa sebagai halangan itu juga tidak
bersifat mutlak. Halangan boleh diatasi sekiranya kita benar-benar serius dalam
melaksanakan hukum Islam. Sekiranya kita benar-benar serius untuk mematuhi
perlembagaan, kita seharusnya konsisten dan tidak menggunakan perlembagaan
untuk menghalang pelaksanaan hal-hal yang sah dan munasabah. Soal pelaksanaan
hukum Islam tidak harus ditangani dari sudut syariah dan akidah semata-mata tetapi
juga dari sudut sejarah dan falsafah.
KESIMPULAN
Setelah kita melihat
kedudukan Islam dalam sistem perlembagaan dan perundangan, perlu dinilai pula
apakah ruang-ruang yang ada itu sudah dimanfaatkan sepenuhnya. Hal ini amat
perlu dirumuskan sebelum langkah-langkah seterusnya diambil. Agak jelas bahawa
kedudukan yang ada sekarang masih tidak jelas dan penuh dengan kekaburan
sebagaimana kita telah melihat makna dan implikasi yang berbagai-bagai dalam
konteks Perkara 3 (1) tersebut. Oleh itu, kes-kes mahkamah yang mempunyai
peranan penting untuk menjelaskan makna peruntukan-peruntukan dalam
perlembagaan yang mana keputusan-keputusan itu adalah hampir dengan matlamat
asal perlembagaan sebagaimana yang dimanifestasikan dalam peruntukan tersebut.
Kedudukan, kuasa dan peranan Raja-raja dalam pelaksanaan Islam umumnya
tidak memaparkan imej dan amalan yang jelas dan konsisten. Walau bagaimanapun,
yang disebut oleh Perlembagaan dan undang-undang tentang kedudukan mereka
sebagai ketua agama imej dan amalan yang kelihatan selama ini jelas
berbagai-bagai-bagai. Peranan ini tidak mutlak sebagaimana yang digambarkan
dalam peruntukan Perlembagaan sebaliknya berubah-ubah mengikut keadaan, isu dan
personaliti Raja-raja. Kepelbagaian tersebut menunjukkan bahawa Raja-raja
memainkan peranan mengikut suasana dan keadaan. Apa yang dapat disimpulkan
ialah keberkesanan sesebuah sistem atau kerangka itu tidak hanya bergantung
pada kedudukan atau kuasa undang-undang semata-mata. Hal ini termasuklah
kemampuan dan kesungguhan pihak-pihak yang diberi kuasa itu dalam melaksanakan
kuasa dan peranan undang-undang mereka. Dalam soal ini, Raja-raja perlu
mempunyai pengetahuan dan komitmen yang kuat terhadap agama.
Dalam pada itu, kedudukan agama Islam di
Malaysia dapat dibuktikan dengan kedudukan Mahkamah Syariah. Kontroversi yang berlaku sekarang
jelas bukan berpunca daripada Perlembagaan Persekutuan. Ia adalah masalah yang
timbul akibat kekeliruan dan kejahilan tentang perlembagaan. Sebab itu tidak
timbul soal meminda peruntukan berkenaan. Orang bukan Islam terlibat kerana hubungan
mereka dengan orang Islam bukan kerana Mahkamah Syariah menafikan hak mereka.
Masalah ini boleh diselesaikan dengan memperbaiki undang-undang atau prosedur
yang adil, ia tidak perlu melibatkan
pindaan perlembagaan.Natijahnya,
terbukti bahawa kedudukan agama Islam dalam perlembagaan merupakan satu
perkara yang seiring dengan pembentukan Mahkamah Syariah di Malaysia. Hal ini
kerana, kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi di Malaysia diiktiraf oleh
Perlembagaan, negara serta dunia. Penubuhan Mahkamah Syariah juga menunjukkan
bahawa kerajan begitu komited dalam meletakkan Islam sebagai suatu dasar
negara. Pembentukan Mahkamah Syariah pula bertepatan dengan wujudnya Institusi
Kehakiman Syariah di Malaysia. Hal ini ditegaskan lagi apabila adanya Akta di
mana Mahkamah Sivil tidak boleh campur tangan dalam apa-apa berkait dengan kes
di Mahkamah Syariah. Justeru itu, terlihat kedudukan agama Islam dalam
Perlembagaan di Malaysia dan Bidang kuasa Mahkamah Syariah yang diberikan
merupakan satu pengiktirafan besar kepada Islam serta menjadikan Malaysia
sebagai salah sebuah negara Islam yang dihormati dan disegani.
Sebelum sistem alternatif atau perubahan-perubahan yang mendasarkan
difikirkan, perlulah dipastikan terlebih dahulu bahawa sistem yang ada sekarang
tidak mampu menghasilkan natijah yang umat Islam hasratkan. Hal ini perlu
dinilai dengan melihat undang-undang yang diluluskan selama ini, polisi dan
program yang dilaksanakan serta tafsiran-tafsiran yang dibuat oleh mahkamah
terhadap peruntukan –peruntukan yang berkenaan. Pelaksanaan undang-undang
jenayah Islam, yakni hudud dan qisas, seperti yang dikatakan di
atas boleh dilaksanakan melalui kerangka perlembagaan dan undang-undang yang
ada. Bagaimanapun, beberapa penyesuaian dalam bentuk pindaan dan pengkanunan
undang-undang baru perlu dan ini mengambil masa. Hal ini mungkin agak jauh ke
hadapan.
Meskipun kita mengatakan ruang untuk Islam itu ada, sudah temtulah
ada modifikasi dan pindaan
yang perlu dilakukan. Walhal, sistem perlembagaan
dan perundangan itu pun bukan dihasratkan untuk melaksanakan undang-undang dan
semangat Islam. Tetapi, itu tidak bermakna bahawa sistem itu diwujudkan untuk
menafikan peranan Islam. Sekiranya langkah-langkah awal itu masih gagal
mencapai matlamatnya, langkah-langkah penyesuaian yang seterusnya perlulah
dilakukan. Meskipun senarionya agak muram, potensi dan harapannya ada. Hal ini
boleh dilakukan sekiranya semua pihak ikhlas dan bersungguh-sungguh untuk
mendaulatkan kedudukan Islam di tanah air ini.
Rujukan
Abd. Jalil Borham, 2002, Pentadbiran Undang-Undang Islam negeri
Johor, Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia.
Abd Jalil Borham, 2002, Pengantar Perundangan Islam, Malaysia,
Universiti Teknologi Malaysia.
Ruhanie Haji Ahmad, 2005, Patriotisme Malaysia: Penangkis
neoimperialisme, Malaysia, Utusan Publication.
Mohd. Salleh Abbas (1984). Federalisme di Malaysia- Perubahan dalam
Dua Puluh Tahun Yang pertama
Mahmood Zuhdi Ab. Majid, 2001, Bidang Kuasa Jenayah Mahkamah
Syariah di Malaysia, Malaysia, Dewan Bahasa dan Pustaka.
Abdul Aziz Bari, 2005, Islam dalam Perlembagaan Malaysia, Malaysia,
Intel Multimedia and Publication.
Mahamad Ariffin, 2007,Pentadbiran undang-undang Islam di Malaysia,
Malaysia, Dewan Bahasa dan Pustaka.
Ahmad Ibrahim, 2003, Perkembangan Undang-undang Perlembagaan Persekutuan,
Malaysia, Dewan Bahasa dan Pustaka.
Perlembagaan Persekutuan
Farid sufian Shuaib, 2010, Administration of islamic law in
Malaysia, Malaysia, Lexis Nexis.
Abdul Rashid bin Yah Al Kubrawiy Al Husaini, 2012, Kota Baharu,
Kelantan.
Utusan Malaysia, 8 september 2011, Tinta PPMM, Hal 20.
[1]
Maxwell dan Gibson: Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948, m/s 64
[2]
Melalui penguasaan Syarikat (Berpiagam) Borneo Utara British ke atas Sabah
[3]
Melalui pelantikan James Brooke sebagai Gabenor Sarawak
[4]
Melalui Ordinan Pelaksanaan Undang-Undang Borneo Utara 1951
[5]
Melalui Ordinan Pelaksanaan Undang-Undang Sarawak 1949
[6] (1971)
MLJ 275
[7]
(1969) MLJ 174
[8]
Prof Ahmad Ibrahim, “ Kedudukan Islam dalam perlembagaan Malaysia,” (1996) JH
136
terima kasih. Tp aku x bce smpy abes..hehe c(:
ReplyDeletememang la sbb penulis dia pun malas nak baca smpai habis...
ReplyDelete