Monday 30 April 2012

Kedudukan Islam dalam perlembagaan 2

Bismillahirahmanirahim,

sebenarnya sebelum ni pun ana pernah post assignment tentang kedudukan islam dalam perlembagaan, ni mesti kes en shafiq tak scroll  sampai bawah.. he.. assignment yg pertama di buat atas subjek pengantar undang-undang di Malaysia sem 1, dan tajuk yg sama juga di dapati atas subjek pentadbiran undang-undang islam di Malaysia sem 2..




KOLEJ UNIVERSITI ISLAM MELAKA
                                                   AKADEMI PENGAJIAN ISLAM
DIPLOMA UNDANG-UNDANG DAN SYARIAH
PENTADBIRAN UNDANG-UNDANG ISLAM DI MALAYSIA
KEDUDUKAN ISLAM DALAM PERLEMBAGAAN
DISEDIAKAN UNTUK:
 USTAZ ZULQARNAIN BIN ZAINUDDIN
DISEDIAKAN OLEH:
AYU HASRIDAH BINTI YUSUF  
NURUL IBNI BINTI ZAINUDDIN


1.1 PENDAHULUAN

Dalam kertas kerja ini, penulis akan menghuraikan tajuk yang berkenaan kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan. Kedudukan Islam dalam Perlembagaan sudah banyak kali dibincangkan namun ianya sering menjadi perbahasan kerana kedudukannya masih tidak jelas. Antaranya termasuklah sifat peruntukan itu sendiri yang tidak begitu jelas. Sejarah adalah salah satu aspek yang melatari pembentukan kerangka Perlembagaan itu sendiri. Perbincangan mengenai kedudukan Islam dalam Perlembagaan lebih tertumpu pada peruntukan-peruntukan yang berkenaan iaitu bagaimana Islam dalam Perlembagaan itu ditafsir dan implikasi peruntukan itu.

Tujuan penulis menghasilkan kertas kerja ini adalah untuk mengenal pasti sejarah bagaimana Islam muncul sebelum dan selepas merdeka seterusnya menjadi salah satu inti penting dalam undang-undang tertinggi Malaysia iaitu Perlembagaan Persekutuan. Dalam pada itu, penulisan ini bertujuan untuk melihat di manakah kedudukan Islam dalam perlembagaan Malaysia seterusnya mengupas persoalan-persoalan sejauh manakah undang-undang Islam itu sendiri diamalkan dan diterapkan dalam sistem perundangan di Malaysia mengikut peruntukan-peruntukan yang sedia ada.

Bab yang pertama dalam kertas kerja ini adalah untuk mengenal pasti sejarah bagaimana Islam wujud di Tanah Melayu sebelum dan selepas kemerdekaan dicapai. Sejarah yang sebenarnya mempunyai kesan dan nilai positif kepada kedudukan orang bukan Melayu dan orang Islam. Bab yang kedua pula membincangkan tentang di manakah letaknya kedudukan Islam dalam perlembagaan Malaysia dan peruntukan-peruntukan yang berkaitan dengannya. Serta dalam bab ini, tafsiran-tafsiran mengenai Islam akan dibahaskan melalui beberapa kes yang dirujuk dan pendapat beberapa tokoh. Bab yang ketiga akan membincangkan mengenai kedudukan dan peranan Yang Di-Pertuan Agong dan raja-raja sebagai ketua agama Islam serta meneliti peruntukan yang berkenaan dalam Perlembagaan. Selanjutnya untuk melihat sejauh mana Raja-raja boleh menggunakan kedudukan mereka dan memainkan peranan dalam pentadbiran agama Islam di Malaysia melalui Majlis Raja-raja. Bab yang keempat pula membincangkan mengenai penggubalan undang-undang Islam antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri serta penguatkuasaan undang-undang Islam melalui Mahkamah Syariah seperti yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

 Diharapkan dengan beberapa isu yang dibentangkan di sini, kertas kerja ini akan memberi informasi yang bermanfaat yang mencatatkan tentang kedudukan Islam dalam aperlembagaan berserta perkembangan pentadbirannya melalui beberapa institusi Islam dalam negara kita di samping dapat menarik prihatin pelajar terhadap aspek penting kehidupan mereka.

2.1 SEJARAH AWAL PEMBENTUKAN UNDANG-UNDANG ISLAM DI MALAYSIA

Agama Islam telah menjadi agama orang Islam sejak lebih 500 tahun dahulu. Agama Islam pertama kalinya dibawa ke Tanah Melayu melalui pedagang-pedagang Arab yang datang dari Semenanjung Arab melalui India dan mendarat di pantai Melaka dalam abad ke-15. Sejak itu, orang Melayu mula mengenali dan memeluk agama Islam. Hal ini dapat dibuktikan daripada laporan orang Cina dan penemuan kesan-kesan sejarah seperti sebuah penempatan yang menjadi kediaman saudagar Arab dalam menyebarkan ajaran agama Islam kepada penduduk Tanah Melayu yang ditemui di Kedah dan Palembang. Selain itu, terdapat juga bukti sejarah lain yang menunjukkan kedatangan Islam ke Tanah Melayu antaranya penemuan batu nisan di Tanjung Inggeris di Kedah pada tahun 1965 yang padanya tercatat nama si mati dalam Bahasa Arab iaitu “Syeikh Abdul Qadir ibn Husayn Shah” yang telah meninggal dunia pada tahun 291 Hijrah (940 M). Dalam pada itu, terdapat juga penemuan batu nisan yang bertarikh 419  Hijrah (1028 M) di Teluk Cik Munah, Permatang Pasir, Pekan Pahang pada Jun 1953. Dalam pada itu, penemuan Batu Bersurat Terengganu pada 702 Hijrah (1303 M) dan penemuan wang syiling yang tercatat “al-mutawakkil” di bekas tapak Kota Istana Kubang Labu, Kelantan pada tahun 1914 juga menunjukkan bukti kedatangan Islam di Kepulauan Melayu.

Pada zaman penjajahan kuasa kolonial Eropah, telah banyak berlaku peperangan di Tanah Melayu bagi tujuan mengekalkan dan mempertahankan tanah air dan agama. Kuasa kolonial seperti Portugis, Bugis dan Belanda ini selain daripada berhasrat menguasai Tanah Melayu sebagi pusat perdagnagan, mereka juga berazam untuk menyebarkan agama Kristian dan menukar agama orang-orang Melayu yang sewaktu itu kebanyakannya memeluk Islam. Seterusnya, apabila Portugis dan Belanda meninggalkan Tanah Melayu dan selepasnya tampuk pemerintahan diambil alih oleh British, soal agama Islam tidak diganggu lagi. Walaupun telah banyak perjanjian damai yang dimeterai antara pihak British dan Raja-raja Melayu dalam perkara-perkara yang bersabit pentadbiran Negara dan bertugas sebagai penasihat kepada Raja-raja Melayu, agama Islam dikecualikan sama sekali daripada lingkungan nasihat mereka. Sebagai contohnya, Perkara 2 dalam perjanjian antara Kerajaan Negeri-negeri Selat dengan Pembesar-pembesar Negeri Sembilan yang bertarikh 20 Jun 1895, telah dipersetujui bahawa mereka, “mengakui janji untuk menurut nasihat Residen British dalam semua hal-ehwal pentadbiran selain daripada soal yang menyentuh agama Islam.”[1]

Peruntukan yang sama didapati dalam perjanjian lain yang telah dipersetujui oleh Raja-raja Melayu dengan Great Britain. Sebagai contohnya, dalam sepucuk surat bertarikh 24 Ogos 1888, Sultan Ahmad Muathan Shah dari Pahang menulis kepada Sir Cecil Clementi Smith iaitu Gabenor Negeri-negeri Selat yang dinyatakan bahawa, “ Dalam permintaan ini kami yakin bahawa Kerajaan British akan memberi jaminan kepada kami dan pengganti-pengganti kami semua kedudukan istimewa dan kuasa kami yang sebenar menurut sistem kerajaan kami dan akan berjanji bahawa mereka tidak akan campur tangan dalam adat istiadat negeri kami yang mempunyai sebab-sebab baik dan wajar, dan juga bersabit dengan hal-ehwal yang berhubung dengan agama kami.” Bagi Negeri-negeri Selat, undang-undang Islam terhapus melalui penguatkuasaan undang-undang Inggeris yang dikenali sebagai Piagam Keadilan Pertama, Kedua dan Ketiga. Piagam-piagam ini mengisytiharkan penerimaan undang-undang Inggeris secara menyeluruh bagi negeri-negeri jajahannya. Akibatnya, penguatkuasaan undang-undang Islam yang sedia terpakai terutamanya di Melaka seperti Hukum Kanun Melaka dan Undang-undang Laut Melaka sama sekali terhapus dan diganti dengan kemunculah undang-undang Inggeris.

Pada zaman penjajahan British itu juga, sebuah Persekutuan yang terdiri daripada empat buah negeri iaitu Perak, Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan ditubuhkan pada bulan Julai 1895 dengan tujuan untuk memperoleh perlindungan British. Dalam perjanjian yang telah termaktub, setiap kerajaan Negeri-negeri Melayu Bersekutu akan ditadbirkan di bawah nasihat kerajaaan British dan Raja-raja negeri tersebut bersetuju menerima seorang Pegawai Brirish yang bergelar Residen Jeneral. Oleh itu, nasihat yang diberikan oleh Residen Jeneral hendaklah dipatuhi oleh Raja-raja Negeri dalam semua perkara yang melibatkan pentadbiran selain daripada perkara yang menyentuh soal agama Islam.

Namun begitu, atas faktor persekutuan tersebut tidak mempunyai organisasi yang teratur untuk dijadikan kerajaan pusat, satu perjanjian telah ditandatangani pada tahun 1909. Dalam perjanjian tersebut, telah dipersetujui bahawa satu badan perundangan yang dinamakan Majlis Persekutuan akan dibentuk  yang berfungsi untuk meluluskan semua undang-undang yang akan dikuatkuasakan di seluruh Persekutuan atau dalam negeri. Walaubagaimanapun, keutamaan undang-undang yang diluluskan oleh Majlis Persekutuan dan bidang kuasa perundangannya tidak meluas kepada persoalan yang berhubung dengan agama Islam dan adat istiadat. Pengertian agama Islam di sini disempitkan kepada urusan ibadat, undang-undang kekeluargaan, pewarisan. wakaf dan beberapa perkara lain yang termasuk dalam kategori undang-undang peribadi. Sementara urusan-urusan lain seperti urusan jenayah, urusniaga, pentadbiran negeri, percukaian, undang-undang tanah berada dalam lingkungan bidang kuasa Residen British yang lebih banyak tertumpu kepada undang-undang Common Law Inggeris.

Manakala, di Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu, cara penyisihan undang-undang Islam juga hampir sama. Kesemua Raja-raja Negeri ini tidak dikehendaki menerima nasihat British ke atas perkara yang menyentuh hak dan kedaulatan mereka mahupun mengenai adat istiadat orang Melayu dan agama Islam akan tetapi mereka dikehendaki mengikut nasihat British dalam perkara-perkara lain yang melibatkan soal pentadbiran.

Bagi Sabah dan Sarawak pula, walaupun telah menerima pengaruh Inggeris seawal tahun 1882[2] dan 1842[3], undang-undang Inggeris hanya diterima secara rasmi pada tahun 1951[4] dan 1949[5]. Akibatnya, pengaruh perundangan Islam yang dilaksanakan oleh kedua-dua negeri ini melalui pemerintahan Sultan Brunei mula terhakis.Akibat daripada pengaruh Inggeris, pemakaian undang-undang Islam semakin terhad yang hanya melibatkan urusan kekeluargaan, wakaf, pusaka dan kesalahan yang berkaitan dengan keagamaan sahaja. Pemakaian undang-undang Inggeris ini berlarutan sehingga kemerdekaan dicapai pada tahun 1957. Setelah Malaysia mencapai kemerdekaan, Perlembagaan Persekutuan dijadikan sebagai undang-undang tertinggi dan badan perundangan tertinggi ialah Parlimen yang terdiri daripada Yang Di Pertuan Agong, Dewan Negara dan Dewan Rakyat.

Sebenarnya, peruntukan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang mengisytiharkan bahawa   “Islam ialah agama bagi Persekutuan” telah lama dipertahankan oleh orang Melayu malah sebelum kuasa British masuk ke Tanah Melayu. Dalam masa pentadbiran kuasa British, mereka juga membawa masuk agama Kristian sementara kaum yang lain membawa masuk agama lain seperti agama Hindu dan Buddha. Oleh yang demikian, sebelum agama Islam diisytiharkan sebagai agama bagi Persekutuan, pertimbangan perlu diberi kepada agama-agama lain yang diamalkan di Tanah Melayu. Oleh sebab itu, Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan suatu fasal imbangan yang menyebut bahawa  “ Tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan”. Tertakluk kepada Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan juga, kebebasan beragama dijamin terhadap semua agama dan setiap orang mempunyai hak untuk menganut dan mengamalkan agamanya.

Maka, jelaslah bahawa perkembangan-perkembangan yang telah dibincangkan oleh penulis di atas menunjukkan bahawa isi dan semangat perlembagaan yang ada sekarang sebenarnya berasal dan berakar umbi daripada sejarah dan akhirnya menjadi undang-undang tertinggi dalam Negara kita.

3.1 KEDUDUKAN ISLAM DALAM PERLEMBAGAAN

Kebebasan beragama tertakluk kepada perkara 11 (5) dan ia bukanlah kebebasan mutlak. Selain daripada perkara 11 ada juga perkara-perkara lain yang menjelaskan kedudukan islam dalam  perlembagaan di antaranya adalah perkara 12. Perkara 12 perlembagaan telah menetapkan bahawa

“ adalah sah bagi persekutuan atau sesuatu negeri menubuhkan atau menyelenggarakan institusi-institusi Islam atau mengadakan atau membantu dalam mengadakan ajaran dalam agama Islam dan melakukan apa-apa perbelanjaan sebagaimana yang perlu bagi maksud itu.”

 di mana Kerajaan diberi kuasa untuk menggunakan duit kerajaan bagi tujuan perlaksanaan Islam dan menubuhkan institusi islam. Walaupun hakikat bahwa kuasa agama adalah kuasa negeri, institusi agama seperti  JAKIM, Majlis Fatwa Kebangsaaan,  JKSM, IKIM  dan lain-lain telah wujud diperingkat persekutuan. Inilah keistimewaan islam dalam perlembagaan yang diberkan dalam perkara 12(2) yang mana kerajaan baik kerajaan negeri mahupun kerajaan persekutuan boleh mengambil wang negara untuk menubuhkan institusi-institusi islam yang tidak diberikan kepada agama-agama lain. Atas sebab ini lah, kerajaan boleh membina institusi-institusi Islam di peringkat persekutuan. Sehubungan dengan itu seksyen 50 Akta Pelajaran 1996 mewajibkan mana-mana sekolah yang mempunyai lebih daripada lima orang murid beragama Islam untuk memberi pelajaran agama Islam kepada murid-murid di sekolah itu dan kos kewangannya ditanggung oleh kerajaan. Seksyen 52 akta tersebut juga membenarkan kerajaan untuk memberi bantuan kewangan kepada sekolah-sekolah Islam Swasta dan institusi-institusi Islam persendirian.

Seterusnya, perkara yang berkaitan juga adalah perkara 121 yang telah dipinda pada tahun 10 Jun 1988 dengan memberi bidang kuasa eksklusif kepada mahkamah syariah melalui fasal 1A. Merupakan pemberian, penglimitan juga menghadkan bidang kuasa mahkamah tinggi terhadap bidang kuasa yang telah diberikan kepada mahkamah Syariah. Apa sahaja bidang kuasa yang diberikan kepada Mahkamah Syariah maka Mahkamah tinggi tidak boleh lagi membicarakan kes tersebut. Sebelum pindaan ini dibuat, terdapat banyak kes di mana Mahkamah Sivil telah membuat keputusan mengenai perkara yang termasuk dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah dengan mengutamakan prinsip undang-undang sivil berbanding undang-undang Islam dan ada kalanya telah mengubah keputusan yang telah dibuat di Mahkamah Syariah. Sebagai Contoh dalam kes Myriam lwn Arif[6], perceraian telah berlaku di hadapan kadi dan Yang Arif Kadi telah mencatatkan perintah persetujuan kedua-dua pihak memberi hak jagaan anak daripada perkahwinan itu  iaitu seorang anak perempuan berumur 3 tahun kepada bapa mereka. Ibu mereka kemudiannya telah berkahwin dengan lelaki yang bukan muhram kepada anak itu dan dia menuntut hak penjagaan anak itu. Hakim Abdul Hamid, memutuskan bahawa perintah yang dibuat oleh Kadi itu tidak menghalang pihak menuntut iaitu ibu anak itu membuat permohonan kepada Mahkamah Tinggi. Beliau merujuk kepada seksyen 45 (6) Enakmen pentadbiran undang-undang Selangor 1952, yang memperuntukkan, “ tiada apa-apa yang terdapat di dalam enakmen ini akan mengganggu bidang kuasa Mahkamah Sivil dan apabila terdapat perbezaan atau percanggahan antara keputusan mahkamah Kadi Besar atau seorang Kadi dengan keputusan Mahkamah Sivil, yang bertindak dalam kuasanya, keputusan Mahkamah Sivil adalah mengatasi.”

   Keputusan yang Arif dalam kes tersebut memutuskan bahawa Mahkamah Tinggi mempunyai bidang kuasa di bawah Akta Penjagaan Budak 1961, yang telah diterima oleh Dewan Undangan Negeri Selangor dengan syarat bahawa tiada apa-apa di dalam akta itu yang berlawanan dengan agama Islam atau adat Melayu boleh dikenakan kepada seseorang di bawah umur lapan belas tahun yang menganut agama Islam. Hakim juga memutuskan bahawa akta itu tidak bercanggah dengan agama Islam atau adat Melayu dan oleh sebab itu boleh dikenakan kepada orang yang menganut agama Islam. Yang Arif Hakim juga merujuk kepada undang-undang islam yang katanya memperuntukkan antara lain bahawa “ Seseorang perempuan yang berhak mendapat hak jagaan seorang kanak-kanak lelaki ataupun perempuan akan hilang haknya jika perempuan itu berkahwin dengan seorang lelaki yang tidak mempunyai pertalian dengan kanak-kanak itu, semasa perkahwinan itu wujud.” Sebelum itu beliau telah berkata:

 “ Dalam usaha saya menghasilkan keadilan, saya bercadang menggunakan budi bicara saya dan memberi perhatian utama kepada kebajikan kanak-kanak itu. Dengan membuat demikian bukanlah niat saya mengenepikan agama dan adat pihak yang berkenaan atau kaedah-kaedah di bawah agama Islam, akan tetapi itu tidak semestinya bermakna bahawa Mahkamah hendak mematuhi dengan tegasnya kaedah-kaedah yang diperuntukkan oleh agama Islam. Mahkamah pada pendapat saya tidak dilucutkan kuasa budi bicaranya.”

Yang Arif Hakim akhirnya telah memberikan hak penjagaan anak lelaki yang kecil kepada ibunya manakala hak penjagaan anak perempuan yang besar diberikan kepada bapanya.

Menurut perhatian kami, Mahkamah tinggi  di dapati tidak menjatuhkan hukuman selaras dengan undang-undang islam kepada pihak-pihak yang beragama Islam malahan tindakan yang dikenakan mengikut undang-undang yang berlawanan dengan undang-undang Islam. Ini menyebabkan Keputusan Mahkamah Syariah tidak mempunyai sanction iaitu tidak dihormati,  keputusan mahkamah Syariah hanyalah sekadar keputusan sahaja dan sekiranya pihak tersebut tidak berpuas hati maka mereka boleh memfailkan kes ke Mahkamah sivil. Namun Mahkamah Sivil apabila membicarakan kes-kes mengenai hukum syarak atau berkenaan agama islam, mereka boleh merujuk kepada akta yang berkuat kuasa yang diluluskan oleh Parlimen dan bukan merujuk kepada hukum syarak.

Demikian juga dalam kes Nafsiah lwn Abdul Majid,[7] kemungkiran pertunangan telah di anggap sebagai kemungkiran kontrak yang membolehkan ganti rugi diberikan oleh Mahkamah Sivil. Dalam kes ini undang-undang Islam telah tidak digunakan walaupun kedua-dua pihak adalah beragama Islam. Yang Arif Hakim dalam kes ini memutuskan bahwa Mahkamah Tinggi mempunyai bidang kuasa mendengar kes berkenaan dan beliau telah menerima tuntutan yang di buat dan memberi Rm 1200 sebagai ganti rugi. Yang Arif Hakim juga berkata:

“ saya tidak mendapati apa-apa peruntukan di dalam Enakmen Pentadbiran Undang-undang Islam 1959, bahawa kadi besar mempunyai bidang kuasa eksklusif dalam semua perkara berhubung dengan atau yang timbul daripada perkahwinan orang-orang Islam. Akta Mahkamah Kehakiman 1964 dengan nyta memberi bidang kuasa kepada Mahkamah di bawah seksyen 24 (a) dan 25 (1) membicarakan perkara dalam kes ini, yang mana tidak lain daripada tuntutan ganti rugi dan kemungkiran janji perkahwinan. Tambahan pula seksyen 109 ordinan Mahkamah 1948 itu yang telah dimansuhkan oleh Akta Mahkamah Kehakiman 1964 dengan terang memperuntukkan jika terdapat apa-apa perselisihan atau ketidakseimbangan antara peruntukan-peruntukan ordinan Mahkamah 1948 itu dengan peruntukan mana-mana undang-undang bertulis pada tarikh berkuatkuasnaya Ordinan Mahkamah itu, Peruntukan Ordinan Mahkamah 1948 itu hendaklah mengatasi peruntukan lain. Sungguhpun benar Enakmen pentadbiran undang-undang Islam 1959, tidak berkuat kuasa pada tarikh berkuat kuasa Ordinan mahkamah 1948, Mahkamah Tinggi tidak syak lagi mempunyai bidang kuasa menyelesaikan semua perkara berhubung hak pihak-pihak yang hadir di hadapannya dan saya tidak mendapati apa-apa peruntukan di dalam mana-mana undang-undang dan tidak ada undang-undang yang dirujuk kepada saya, yang mengetepikan bidang kuasa mahkamah ini."

Profesor Ahmad Ibrahim telah mengulas tentang kes ini dengan mengatakan bahawa rujukan tidak di buat kepada seksyen 119 Enakmen Pentadbiran undang-undang Melaka 1959, yang membuat peruntukan khas bagi pertunangan orang Islam. Oleh sebab perkara ini berkaitan dengan perkahwinan orang Islam yang diperuntukkan di dalam Enakmen khusus yang memberi bidang kuasa kepada Mahkamah Syariah, sepatutnya Mahkamah Sivil memutuskan bahawa ia tidak mempunyai bidang kuasa di dalam perkara itu.[8]

Berdasarkan kes yang disebutkan di atas, jelas menunjukkan  berlakunya percanggahan antara undang-undang sivil dengan undang-undang Islam. kita melihat kepada pindaan yang berlaku pada fasal 1 (A) menyebutkan bahawa “Mahkamah-mahkamah yang disebutkan dalam fasal (1) tidaklah boleh mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan apa-apa perkara dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah. Dengan adanya peruntukan Perkara 121 (1A) bermakna percanggahan antara Mahkamah Tinggi dengan Mahkamah Syariah tidak akan timbul lagi kerana mana-mana perkara yang boleh dibawa ke Mahkamah Syariah, Mahkamah Tinggi tidak lagi mempunyai kuasa ke atasnya.”  Kita mengetahui apabila kuasa Eksklusif diberikan kepada Mahkamah Syariah, maka Mahkamah Syariah dapatlah memartabatkan prinsip undang-undang Islam. Tetapi seandainya ada kes yang boleh dibicarakan di Mahkamah Sivil, Mahkamah Sivil boleh tidak mengikut undang-undang Islam tetapi sekiranya kes dibicarakan di Mahkamah Syariah dengan kuasa khusus yang ada, sudah tentu Mahkamah Syariah akan dapat memartabatkan undang-undang Islam di Malaysia.

Perkara 3 (1) Perlembagaan Malaysia yang memperuntukkan Islam sebagai Agama persekutuan, serta perkara-perkara dalam perlembagaan yang mendaulatkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara dan institusi raja berpelembagaan menunjukkan bahawa hal ini merupakan suatu hakikat sejarah dan kesinambungan budaya yang tidak terkeluar begitu sahaja. Pengiktirafan agama islam tidak terhad kepada peringkat persekutuan sahaja oleh sebab semua negeri-negeri beraja mempunyai peruntukan yang sama dalam perlembagaan masing-masing. Malah negeri negeri yang tidak mempunyai raja juga mempunyai peruntukan dalam perlembagaan negeri yang mengiktiraf islam sebagai agama negeri seperti yang terkandung dalam Perlembagaan negeri Melaka, Perlembagaan Negeri Pulau Pinang dan Perlembagaan negeri Sabah. Perlembagaan Persekutuan  mempunyai prinsip semua penduduknya bebas untuk mempercayai agama selain daripada islam dan bebas mengamalkan ajaran masing-masing. Berkait dengan hal tersebut, tidak berlaku penentangan daripada bangsa asing dan orang bukan islam ketika cadangan di buat untuk memasukkan perkara 3 (1) dalam perlembagaan persekutuan, fakta ini jelas menunjukkan bahawa kedudukan istimewa terhadap agama islam, dan hak-hak agama islam serta umat islam telah termaktub dalam perlembagaan di persetujui oleh orang bukan islam. Orang bukan islam berasa aman dan tidak rasa tercabar dengan pengiktirafan tersebut kerana sejarah telah membuktikan pemerintahan di Tanah Melayu menjamin hak bangsa asing dan orang bukan Islam.

Peruntukan seterusnya dalam perlembagaan ialah Jadual kesembilan senarai negeri pada perenggan satu dapat lah kita lihat pemakaiannya khusus untuk  orang-orang islam sahaja dan yang kedua dari segi skop undang-undang Islam yang boleh di kuatkuasakan oleh negeri-negeri, semuanya telah ditentukan dalam perlembagaan, yang berkaitan dengan perkahwinan, perceraian, mahar, nafkah anak, harta sepencarian dan lain-lain lagi. Sebagai contoh, pungutan derma juga termasuk di dalam kuasa negeri, namun pungutan derma yang mendapat kelulusan daripada JAKIM adalah tidak sah kerana JAKIM bukanlah badan yang ditubuhkan diperingkat negeri sedangkan kuasa agama adalah kuasa negeri dan bukan kuasa persekutuan, ia tidak mempunyai authoriti untuk meluluskan pungutan derma di negeri-negeri.

Kuasa Kerajaan Negeri untuk menggubal undang-undang Islam adalah hak eksklusif yang jelas termaktub dalam Butiran 1 di bawah senarai negeri ( senarai II) Jadual kesembilan. Peruntukan ini perlulah di baca bersama-sama perkara 74 (2). “ dengan tidak menyentuh apa-apa kuasa yang diberi kepada badan perundangan Negeri untuk membuat undang-undang oleh mana-mana perkara lain, Badan Perundangan Negeri boleh membuat undang-undang mengenai mana-mana perkara yang disebutkan dalam senarai negeri (iaitu senarai kedua yang di nyatakan dalam jadual kesembilan) atau senarai bersama.” Hasil daripada peruntukan-peruntukan tersebut ialah hanya kerajaan Negri yang boleh menggubal undang-undang Agama Islam yang berkuat kuasa dalam negeri tersebut.

Perkara yang di maksudkan dengan ‘ Undang-undang Islam’ dalam Konteks perlembagaan Persekutuan ialah Jadual ke sembilan senarai II senarai negeri:
   1.   
      Kecuali mengenai wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Hukum Syarak dan undang-undang diri dan keluarga bagi orang yang menganut agama islam, termasuk Hukum Syarak berhubung dengan mewarisi harta berwasiat dan tidak berwasiat, pertunangan, perkahwinan, penceraian, mas kahwin, nafkah, pengambilan anak angkat, taraf anak, penjagaan anak, pemberian, pembahagian harta dan amanah bukan khairat: wakaf islam dan taarif serta peraturan mengenai amanah khairat dan khairat agama, perlantikan pemegang-pemegang amanah dan perbadanan bagi orang-orang mengenai pemberian agama islam dan khairat, yayasan, amanah, khairat dan yayasan khairat yang dijalankan, kesemuanya sekali dalam negeri; adat istiadat Melayu: zakat fitrah dan baitulmal atau hasil agama islam yang seumpamanya; Masjid atau mana-mana tempat sembahyang awam untuk orang islam; mengadakan dan menghukum kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh orang-orang yang menganut agama islam terhadap rukun-rukun islam kecuali mengenai perkara-perkara yang termasuk dalam senarai persekutuan; keanggotaan, penyusunan dan acara bagi mahkamah-mahkamah Syariah yang akan mempunyai bidang kuasa hanya ke atas orang orang yang menganut agama islam dan hanya mengenai mana-mana perkara termasuk dalam perenggan ini, tetapi tidak mempunyai bidang kuasa mengenai kesalahan-kesalahan kecuali setakat yang diberi oleh undang-undang persekutuan; mengawal pengembangan iktikad dan kepercayaan antara orang-orang yang menganut agama islam; menentukan perkara-perkara hukum Syarak dan iktikad dan adat istiadat Melayu.

3.2 TAFSIRAN ISLAM DALAM PERLEMBAGAAN MENURUT UNDANG-UNDANG

Tafsiran undang-undang tentang perkara 3 (1) telah dibincangkan beberapa kali di mahkamah. Mahkamah Agung berpendapat bahawa tidak realistik untuk menjadikan perkara 3 sebagai panduan untuk mengutarakan hujah bahawa peruntukan ini menjadikan syariah sebagai undang-undang dasar Malaysia. Dalam Kes Che Omar bin Che Soh lwn Pendakwaraya, tertuduh telah di dakwa di bawah seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman mati mandatori. Tertuduh mendakwa bahawa tuduhan yang dikenakan ke atasnya adalah tidak sah kerana hukuman mati bagi kedua-dua kesalahan itu adalah bercanggah dengan hukum syarak kerana kedua-dua kesalahan itu bukan kesalahan hudud. Oleh itu ia bercanggah dengan perkara 3 (1) yang meletakkan Islam sebagai agama persekutuan. Hujah pembelaan itu ditolak oleh Mahkamah Agung. Tun Mohd Salleh Abbas dalam penghakimannya menyebut bahawa walaupun Islam merupakan satu cara hidup, maksud agama islam dalam ruang lingkup perkara 3 perlu di lihat berasaskan sejarah dan penggubalan perlembagaan serta peruntukan lain dalam perlembagaan. Oleh yang demikian, Yang Arif menyimpulkan bahawa ‘ Islam’ dalam konteks perkara 3 hanya meliputi soal upacara rasmi dan adat istiadat semata-mata.

 Tafsiran seterusnya dapat dilihat menerusi Kes Meor Atiqulrahman bin Ishak dan Yang Lain lwn Fatimah Sihi[9]. Yang Arif menjelaskan bahawa:

Islam ialah agama persekutuan  tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai bermakna Islam adalah Agama utama di antara agama-agama lain yang di anuti di negara ini… Islam bukan setaraf dengan agama lain, bukan duduk berganding bahu atau berdiri sama tegak. Ia duduk di atas, ia berjalan dahulu, terletak di tempat medan dan suaranya lantang kedengaran. Islam ibarat pokok jati- teguh, tinggi dan terampil. Jika bukan sedemikian Islam bukanlah agama bagi Persekutuan tetapi adalah salah satu di antara beberapa agama yang di anuti di negara ini dan setiap orang sama-sama bebas mengamalkan mana-mana agama yang di anutinya, tiada lebih satu dari yang lain.

Hakim Mohd Noor seterusnya berkata:
Peraturan pakaian seragam sekolah Bil 3/1983 tersebut adalah songsang dan tak selari dengan perlembagaan dan menurut perkara 4: Perlembagaan ini adalah undang-undang utama persekutuan dan apa-apa undang-undang yang diluluskan selepas Hari Merdeka dan yang tak selari dengan perlembagaan ini hendaklah terbatal  setakat yang tak selari itu. Peraturan tersebut adalah terbatal. Adanya pilihan untuk memakai seluar panjang atau baju kurung dan kain sarung tidak dapat menyelamatkan atau menjadikan sah peraturan tersebut.”
Walaupun keputusan Yang Arif Hakim Mohd Noor Abdullah diketepikan pada peringkat Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan, namun pendekatan yang di ambil dalam mentafsirkan perkara 3(1) tidak disentuh oleh Mahkamah Tertinggi Negara. Bahkan Hakim Abdul Hamid Mohamad ketika memberikan penghakiman Mahkamah Persekutuan mengambil pendekatan dari hukum syarak dalam memutuskan kedudukan peraturan sekolah yang mengharamkan pemakaian serban oleh pelajar-pelajar sekolah rendah. Hakim berkenaan berkata:

"daripada apa yang dapat saya pastikan, al Quran tidak menyebut mengenai pemakaian serban. Saya tahu bahawa Rasulullah saw memakai serban, tetapi baginda juga menunggang unta, membina rumahnya dan masjid daripada tanah liat dan berbumbungkan daun kurma dan menggosok gigi menggunakan sugi? Adakah itu bermakna bahawa menunggang unta itu satu amalan lebih alim daripada bergerak menaiki kapal terbang? Wajarkah dipilih bahan dan cara yang serupa yang digunakan oleh Rasulullah untuk membina rumah dan masjid seperti pada zaman kehidupan yang di jalani oleh Baginda Nabi  Rasulullah S.a.w lama dulu?”
Soalnya ialah sama ada pemakaian serban oleh kanak-kanak lelaki sebaya usia perayu (dalam kes ini) merupakan satu amalan dalam agama Islam. Islam bukan sekadar memakai serban dan berjanggut. Arab jahiliah, termasuk Abu Jahal, memakai serban dan berjanggut. Tidak masyarakat itu, berbuat demikian,”

Pendekatan yang di ambil oleh Yang Arif Hakim Abdul Hamid Mohamad menunjukkan penafsiran tentang hak individu dari pandangan Islam boleh dilakukan di Mahkamah persekutuan. Pendekatan sebegini sepatutnya mampu dilakukan oleh Parah Hakim tanpa merujuk kepada keterangan saksi pakar kerana undang-undang Islam adalah the law of the land sebagaimana yang telah diputuskan dalam kes Ramah lwn Laton.

Dalam mentafsirkan kedudukan Islam dalam perlembagaan, Abdul Hamid Mohamad, Hakim Mahkamah Rayuan dalam kes kamariah berkata:
“Pada pandangan saya, berkaitan dengan agama islam (saya tidak memutuskan mengenai agama-agama lain), perkara 11 tidaklah boleh ditafsir begitu luas sehingga ia membatalkan semua undang-undang yang mengkehendaki seseorang Islam itu mengerjakan sesuatu kewajipan agama islam atau melarang mereka melakukan sesuatu perkara yang dilarang oleh agama Islam atau yang menetapkan acara bagi melakukan sesuatu perkara yang berkaitan dengan agama islam. Ini kerana kedudukan islam dalam perlembagaan persekutuan adalah berlainan daripada kedudukan agama-agama lain. Pertama, hanya Islam sebagai satu agama yang disebut namanya dalam perlembagaan persekutuan, iaitu sebagai agama bagi persekutuan ( the religion of Federation) dari perkara 3 (1). Kedua, perlembagaan itu sendiri memberi kuasa kepada Badan perundangan Negeri (bagi negeri-negeri) untuk mengkanunkan Hukum Syarak dalam perkara-perkara yang disebut dalam senarai II, Senarai negeri, Jadual kesembilan, Perlembagaan persekutuan ( senarai II). Selaras dengan kehendak senarai II itu, Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa jenayah) 1965, akta 355/1965 dan berbagai-bagai Enakmen untuk negeri-negeri termasuk yang disebut dalam penghakiman ini telah dikanunkan.”

4.1 KEDUDUKAN DAN PERANAN RAJA-RAJA SEBAGAI KETUA AGAMA DALAM PERLEMBAGAAN

KETUA AGAMA ISLAM

Dalam menjalankan tugas sebagai ketua agama Islam, raja-raja dibantu dan dinasihati oleh Majlis Agama islam dalam semua perkara berkaitan agama Islam kecuali perkara yang berkaitan dengan hukum syarak. Dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan hukum syarak, raja dibantu dan dinasihati oleh Mufti Negeri. Dalam menjalankan tugas sebagai ketua agama Islam bagi negeri-negeri yang tidak beraja, Yang di-Pertuan Agong dinasihati oleh Majlis Agama Islam. Begitu juga dalam menjalankan tugas sebagai ketua agama Islam bagi Wilayah Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong dinasihati oleh Majlis Agama Islam. Sebelum kedatangan British, raja-raja, dengan dibantu oleh para ulama terlibat secara langsung dalam penghakiman di mahkamah-mahkamah yang mengadili bersandarkan pada Undang-Undang Islam. Dewasa ini, penghakiman di Mahkamah Syariah dibuat oleh hakim-hakim syarie yang dilantik oleh raja-raja. Raja-raja turut mempunyai kuasa untuk melantik Mufti dan lain-lain pemegang jawatan yang berkaitan dengan pentadbiran agama Islam. Kuasa melantik ini termasuklah kuasa memecat dan menggantung tugas. Raja-raja boleh memainkan peranan dengan melantik orang-orang yang berkelayakan sahaja untuk memegang jawatan-jawatan tersebut, dan tidak tunduk kepada desakan pihak eksekutif untuk memecat pemegang jawatan yang menjalankan tugas dengan baik menurut tuntutan agama. Selain itu, Yang di-Pertuan Agong dan raja-raja mempunyai kuasa mengampun, menangguhkan hukuman, meremit, menggantung atau mengurangkan hukuman orang-orang yang didapati bersalah oleh Mahkamah Syariah di negeri di mana baginda berperanan sebagai ketua agama Islam. Walau bagaimanapun, sekiranya orang yang didapati bersalah oleh Mahkamah Syariah tersebut merupakan seorang raja, isteri raja atau anak raja, maka Majlis Raja-Raja yang akan menjalankan kuasa mengampun sebagaimana yang diperuntukkan oleh Perkara 42(12) Perlembagaan Persekutuan. Sebagai ketua agama Islam, raja –raja mempunyai kuasa dalam perundangan Islam di negeri masing-masing. Raja- raja boleh memainkan peranan terhadap penyeragaman Undang-Undang Islam antara negeri-negeri dengan mempersetujui usaha-usaha untuk menggubal atau mewartakan enakmen-enakmen Undang-Undang Islam yang serupa di seluruh Negara. Raja-raja juga boleh mempersetujui penguatkuasaan perintah-perintah dan penghakiman-penghakiman Mahkamah Syariah sesebuah negeri di negeri baginda. Dewan Undangan Negeri negeri-negeri lain boleh menggubal peruntukan yang serupa dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam negeri masing-masing, dengan dipersetujui oleh raja negeri yang berkenaan. Seseorang raja boleh memainkan peranan dengan memberi perkenan kepada fatwa-fatwa yang diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan untuk diwartakan di negeri baginda. Sekiranya semua negeri mewartakan fatwa yang serupa, dapatlah Undang-Undang Islam diseragamkan ke seluruh Malaysia. Berkaitan dengan Arahan-arahan Amalan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia(JKSM). Arahan-arahan Amalan ini kebanyakannya berkaitan dengan pentadbiran dan tatacara Mahkamah Syariah. Sekiranya raja-raja memberi perkenan kepada negeri-negeri menyertai skim guna sama JKSM, Mahkamah Syariah di semua negeri akan mempunyai amalan pentadbiran dan tatacara yang seragam.

MAJLIS RAJA-RAJA

Perlembagaan persekutuan memperuntukkan bahawa raja merupakan ketua agama Islam dalam negeri baginda sebagaimana yang diisytiharkan oleh Perlembagaan Negeri berkenaan. Manakala Yang di-Pertuan Agong merupakan ketua agama Islam dalam negeri-negeri tidak beraja seperti yang harus diperuntukkan oleh Perlembagaan Negeri negeri-negeri tersebut dan dalam Wilayah Persekutuan. Dilihat dari segi sejarah, dalam persidangan Durbar pada tahun 1897, raja-raja mahukan perbincangan tentang agama Islam kekal di peringkat Majlis Negeri dan tidak dibawa ke peringkat Majlis Mesyuarat Persekutuan. Begitu juga sewaktu perundingan kemerdekaan raja-raja bersetuju memberi kebenaran supaya peruntukan yang mengisytiharkan agama Islam sebagai agama persekutuan dimasukkan ke dalam Perlembagaan Persekutuan hanya selepas raja-raja diberi jaminan bahawa perisytiharan tersebut tidak akan menjejaskan kedudukan raja-raja sebagai ketua agama Islam di negeri masing-masing. Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa raja-raja boleh bertindak mengikut budi bicara sendiri dalam menjalankan tugas sebagai ketua agama Islam. Ini menunjukkan bahawa raja-raja tidak semestinya bertindak menurut nasihat pihak eksekutif dalam perkara agama Islam. Hal ini juga bermakna bahawa struktur Perlembagaan Persekutuan mengizinkan penerusan kuasa raja-raja dalam perkara agama Islam. Berkaitan perkara tersebut terdapat sedikit perbezaan di Negeri Sembilan apabila dalam perkara yang berkaitan dengan agama Islam, Yang Dipertuan Besar dimestikan bertindak dengan persetujuan para Undang. Perlembagaan Negeri semua negeri beraja memperuntukkan bahawa raja-raja hendaklah berbangsa Melayudan beragama Islam. Perlembagaan Persekutuan pula mentakrifkan orang Melayu sebagai, antaranya, orang yang beragama Islam. Takrifan ini jelas menunjukkan bahawa Melayu dan Islam merupakan dua unsur yang tidak boleh dipisahkan. Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan turut memperuntukkan bahawa Yang di-Pertuan Agong mempunyai tanggungjawab sebagai perlindung kedudukan istimewa orang-orang Melayu. Berdasarkan takrifan orang Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong mempunyai tanggungjawab untuk melindungi agama Islam sebagai agama yang dianuti oleh orang-orang Melayu. Tahap perlindungan raja-raja untuk orang-orang Melayu adalah ketat sehinggakan sebarang pindaan terhadap Perkara 153 tidak boleh diluluskan oleh Parlimen tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja yang dianggotai dan dikendalikan oleh raja-raja. Kedudukan raja-raja sendiri dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan. Walaupun seseorang ahli Parlimen tidak boleh didakwa tentang apa-apa yang dikatakan olehnya apabila mengambil bahagian dalam perbahasandi Parlimen, namun jika dia mencadangkan penghapusan institusi berperlembagaan Yang di-Pertuan Agong atau raja sesebuah negeri, maka dia boleh dikenakan prosiding di mahkamah. Majlis Rja-Raja bertindak sebagai sebuah badan undang-undang dalam beberapa perkara tertentu. Majlis Raja-Raja juga yang memilih, melantik, dan memecat Yang di-Pertuan Agong. Dalam perkara berkaitan agama Islam, Majlis Raja-Raja mempunyai fungsi untuk menyelaras apa-apa perbuatan, amalan atau upacara agama Islam supaya meliputi seluruh Negara dan memilih tarikh permulaan puasa dan tarikh perayaan orang-orang Islam.

5.1 MAHKAMAH SYARIAH DAN BIDANG KUASANYA

BIDANG KUASA MAHKAMAH SYARIAH

                    Di dalam sistem perundangan Islam, bidang kuasa Mahkamah Syariah disebut sebagai ‘al-wilayah’,yakni hak dan juga kuasa untuk mendengar dan memutuskan kes. Sekiranya Makhamah Syariah tidak mempunyai bidang kuasa ini, maka mahkamah tidak boleh membuat sebarang keputusan terhadap mana-mana perbicaraan.
                   Disebabkan perundangan di Malaysia mengamalkan sistem dualism, maka dengan adanya bidang kuasa ini secara dasarnya kita tidak mengalami konflik dalam menentukan kuasa mendengar dan memutuskan sebarang kes. Bidang kuasa yang tertentu juga mendapat menentukan kes-kes yang boleh dibicarakan oleh Mahkamah Rendah, Mahkamah Tinggi, dan Mahkamah Rayuan Syariah.
                  Secara umumnya, bidang kuasa yang dimiliki oleh Mahkamah Syariah di Malaysia tidaklah berbeza jika hendak dibandingkan ketika zaman kemerdekaan lagi. Walau bagaimanapun,Mahkamah Syariah mengalami perkembangan yang positif dan lebih baik dari aspek status kakitangan, pentadbiran, penaikan taraf mahkamah itu sendiri dan infrastrukturnya. Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia yang ditubuhkan  perlu menghargai dan melihatnya sebagai suatu perkara yang positif sekalipun ia bukanlah perubahan yang sangat ketara.

3.2 SUMBER BIDANG KUASA MAHKAMAH SYARIAH

                   Perlembagaan Persekutuan Jadual Sembilan memperuntukkan Senarai 1 kepada bidang kuasa Persekutuan, Senarai 2 kepada bidang kuasa negeri dan Senarai 3 kepada bidang kuasa bersama.  Dalam konteks Mahkamah Syariah, sumber bidang kuasanya adalah berdasarkan kepada senarai 2, yakni Senarai Negeri. Jadual Sembilan memberikan kuasa perundangan kepada negeri melainkan dalam soal-soal jenayah. Badan Perundangan Negeri yang diberikan kuasa  oleh Perlembagaan Persekutuan mentadbirkan Undang-Undang Islam dan semua hal-ehwal Islam I negeri masing-masing kecuali Wilayah Persekutuan, yang diletakkan di bawah Persekutuan.
Jadual Kesembilan Senarai 2, Senarai Negeri, dalam Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan:
1.      Kecuali mengenai Wilayah-Wilayah Persekutuan  Kuala Lumpur dan Labuan, Hukum Syarak dan undang-undang diri dan keluarga bagi orang yang menganut agama Islam, termasuk  hukum Syarak berhubung dengan mewarisi harta berwasiat dan tak berwasiat, pertunangan, perkahwinan, perceraian, mas kahwin, nafkah, pengambilan anak angkat, taraf anak, penjagaan anak, pemberian, pembahagian harta dan amanah bukan khairat, Wakaf Islam dan  takrif serta peraturan mengenai amanah khairat dan khairat agama, perlantikkan pemegang-pemegang amanah dan perbadanan bagi orang-orang mengenai pemberian agama Islam dan Khairat, yayasan, amanah, khairat, dan yayasan khairat yang dijalankan kesemuanya sekali dalam Negeri,  adat istiadat Melayu,  Zakat, Fitrah dan  Baitul mal atau hasil agama yang seumpamanya masjid atau mana-mana tempat sembahyang awam untuk orang islam, mengadakan dan menghukum kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh orang-oramg yang menganut agama islam terhadap rukun-rukun islam kecuali mengenai perkara-perkara yang termasuk dalam senarai Persekutuan keanggotaan,  penyusunan dan cara bagi mahkamah-mahkamah Syariah, yang akan mempunyai bidang kuasa hanya ke atas orang- orang islam dan hanya mengenai mana-mana perkara yang termasuk dalam perenggan ini, tetapi tidak mempunyai bidang kuasa mengenai kesalahan-kesalahan kecuali setakat yang diberi oleh undang-undang, persekutuan, mengawal perkembangan iktikad dn kepercayaan antara orang-orang yang menganut agama islam, menentukan perkara-perkara Hukum Syarak dan iktikad dan adat istiadat melayu.

Di bawah kuasa Perlembagaan Persekutuan ini juga, pihak berkuasa negeri mewujudkan Enakmen Pentadbiran Islam Negeri, dan di bawah enakmen inilah Mahkamah Syariah ditubuhkan. Serentak dengan ini juga, di bawah enakmen inilah diperuntukkan bidang kuasa dan juga pegawai-pegawai mahkamah yang akan mengendalikannya. Pentadbiran mahkamah ini juga telah diasingkan daripada pentadbiran agama Islam negeri. Oleh sebab itu, terdapat Jabatan Kehakiman Syariah Negeri-negeri dan di bawah jabatan ini, diwujudkan mahkamah-mahkamah yang diketuai oleh Yang Amat Arif Ketua Hakim Syarie Negeri masing-masing.

Pada pengamatan penulis, ini sebenarnya ruang yang amat besar kepada kerajaan negeri untuk mentadbirkan Undang-Undang Islam dengan secara lebih cekap dan berdaya saing berbanding pada ketika struktur pentadbirannya diletakkan di bawah Jabatan Agama Islam bersama dengan lain-lain pentadbiran di bawah jabatan ini.

3.3 BIDANG KUASA JENAYAH

Tidaklah sebagaimana Mahkamah Sivil, bidang kuasa jenayah bagi Mahkamah Syariah adalah “dikurniakan” oleh Perlembagaan Persekutuan. Bidang kuasa Mahkamah Syariah telahpun ditentukan oleh Akta Mahkamah Syariah Bidang Kuasa Jenayah 1965 (Pindaan 1984). Ia memperuntukkan bahawa Mahkamah Syariah boleh menjatuhkan hukuman maksimum RM5000.00 denda, ataupun penjara maksimum 3 tahun ataupun sebatan 6 kali ataupun gabungan antara hukuman-hukuman berkenaan.

Semua kesalahan dan hukuman yang disebutkan ini adalah termasuk di dalam konsep takzir yang ditentukan oleh Islam dalam konteks kes-kes jenayah.

Dalam konteks Mahkamah Syariah di Malaysia, kesalahan-kesalahan jenayah syariah ini boleh dilihat peruntukkannya di dalam tiga tempat:

1)      Kesalahan-kesalahan yang diperuntukkan di bawah Undang-undang Pentadbiran Agama Negeri-negeri.
2)      Kesalahan-kesalahan si bawah Enakmen/Ordinan/Akta Undang-undang Keluarga Islam Negeri-negeri.
3)      Kesalahan-kesalahan di bawah Undang-undang Kesalahan Jenayah Syariah yang secara khususnya memberikan peruntukan berkaitan dengan jenayah berkenaan.


Kesalahan-kesalahan yang berada di tempat yang ketiga ini juga turut melibatkan kesalahan jenayah syariah matrimoni seperti poligami tanpa izin mahkamah dan penceraian dilakukan di luar mahkamah.

Sehubungan dengan ini, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Selangor  telah membentuk beberapa kategori jenayah yang tertentu, iaitu:

1)      Kesalahan berkaitan akidah seperti menyebarkan doktrin palsudan takfir.
2)      Berhubung dengan kesucian agama Islam dan institusinya seperti menghina perkara-perkara yang berkait dengan agama, pihak berkuasa agama, fatwa, ingkar perintah, mahkamah, berjudi, minum arak dan minuman yang memabukkan, tidak menghormati bulan Ramadhan, tidak menunaikan solat Jumaat dan tidak membayar zakat dan fitrah.
3)      Berhubung dengan kesusilaan seperti seperti sumbang mahram, pelacuran, hubungan jenis, khalwat, lelaki berlagak seperti pondan dan perlakuan tidak sopan di khalayak awam.
4)      Kesalahan pelbagai seperti membawa lari wanita yang sudah bersuami, menghalang pasangan yang telah bernikah daripada menjalani kehidupan sebagai suami isteri, menghasut suami isteri supaya bercerai atau meninggalkan kewajiban, menjual atau memberi anak kepada bukan Islam, qazaf (menuduh zina), mengutip zakat tanpa kebenaran dan menyalahgunakan tanda halal.

BIDANG KUASA MAL

Istilah ‘ mal’ sebenarnya merujuk kepada harta tetapi dalam konteks perundangan, ia merujuk kepada kes-kes bukan jenayah. Bidang kuasa mal bagi Mahkamah Syariah terpakai kepada semua orang Islam yang tinggal pemastautin negeri-negeri. Dan sebenarnya, Mahkamah Syariah mempunyai bidang kausa mal yang hampir menyeluruh dan merangkumi banyak aspek kekeluargaan Islam:

1)      Berkaitan dengan isu-isu sebelum perkahwinan. Seperti putus tuning, pemohonan kebenaran untuk berkahwin dan pemohonan untuk berpoligami.
2)      Berkaitan dengan persoalan semasa perkahwinan. Seperti pemohonan mengesahkan perkahwinan, permohonan membatalkan perkahwinan yang tidak sah,  pemohonan nafkah diri, nafkah anak, mensabitkan isteri nusyuz, pemohonan isteri supaya suami hidup bersama semula dn sebagainya.
3)      Berkaitan dengan persoalan pembubaran perkahwinan. Pemohonan cerai khulu, lian fasakh, talak, takliq, penceraian dengan perintah, kerana murtad dan juga secara anggapan mati.
4)      Sebarang pemohonan di dalam sesuatu kes sedang berjalan (interlocutory order) Contohnya, permohonan sementara nafkah sama ada diri atau anak, hadanah, perintah larangan terhadap harta dan gangguan.

 Bagi perkara ini, bukanlah sesuatu yang luar biasa satu-satu kes perbicaraan mengambil masa yang lama, kerana terlalu banyak isu yang perlu diselesaikan. Dalam sepanjang tempoh berkenaan, banyak perkara yang timbul yang perlu diselesaikan oleh pihak mahkamah. Sekiranya tidak diselesaikan, akan menyebabkan ketidakadilan dan aniaya kepada pihak-pihak yang terlibat. Oleh yang demikian, undang-undang memberikan ruang supaya pihak-pihak yang terlibat ketika menanti keputusan yang jelas dari pihak mahkamah dibenarkan untuk membuat pemohonan sementara, sementara perbicaraan dijalankan. Umpamanya, adalah sangat wajar bagi seorang wanita memohon larangan (injucksi)terhadap bekas suaminya untuk tidak mengganggunya. Begitu juga memohon perintah larangan agar harta yang dimiliki secara bersama tidak dibenarkan untuk dilibatkan dalam sebarang urusan.
5)      Isu-isu yang berbangkit selepas penceraian. Perkara-perkara ini boleh dirujuk di mahkamah yang ada bidang kuasanya, iaitu selepas perceraian berlaku. Umpamanya, sagu hati(mutaah) selepas perceraian ,harta sepencarian, nafkah iddah, nafkah anak, nafkah tertunggak dan juga soal hadanah( penjagaan anak).
6)      Permohonan –permohonan mengenai wasiat, wakaf dan harta pusaka.
7)      Permohonan penguatkuasaan perintah mahkamah. Ini berlaku apabila keputusan yang  dikeluarkan tidak diikuti oleh pihak yang kena tanggungan. Maka, pihak-pihak yang stau lagi boleh menuntut supaya perintah-perintah yang dikeluarkan itu dikuatkuasakan oleh pihak mahkamah.

Mahkamah  Syariah telahpun mengalami banyak perubahan terutama dari sudut pentadbiran yang lebih cekap,efisien dan sebagainya. Dan inilah sebenarnya yang diharapkan oleh masyarakat.
Inilah adalah kerana salah satu prinsip pemakaian undang-undang yang agak penting ialah soal pengiktirafan (recognition) masyarakat. Apabila masyarakat merasakan Mahkamah Syariah boleh diharapkan, diberi kepercayaan dan boleh menyelesaikan masalah-masalah masyarakat, maka di situlah wujudnya pengiktirafan di kalangan masyarakat.

Pada hemat penulis, Mahkamah Syariah di Malaysia telahpun diberi pengiktirafan oleh masyarakat. Ini adalah kerana, kita sama-sama dapat melihat mahkamah telahpun menangani banyak kes kekeluargaan di kalangan masyarakat Islam. Begitu juga dalam soal jenayah syariah. Mahkamah Syariah di Malaysia telahpun mengendalikan kes-kes jenayah syariah

Walau bagaimanapun, persoalannya bagaimana hendak memaksimumkan pemahaman masyarakat mengenai bidang kuasa mahkamah? Ini kerana disebabkan pemahaman inilah yang menyebabkan mereka yang menghadapi masalah, membawa masalah mereka itu ke hadapan mahkamah. Dalam keadaan mereka boleh mengharapkan Mahkamah Syariah memberikan keadilan kepada mereka, memberikan hak yang dituntut dan boleh menghukum mana-mana pihak yang mengabaikan tanggungjawab mereka ataupun bagi mereka yang telah melakukan kesalahan.

6.1 KEDUDUKAN ISLAM SEBAGAI SUMBER PERUNDANGAN NEGARA

Perbincangan tentang kedudukan undang-undang Islam Malaysia harus dimulakan dengan melihat kedudukan Islam dalam susunan keutamaan undang-undang kita. Undang-undang tertinggi ialah perlembagaan itu sendiri. Hal ini diikuti oleh statut iaitu undang-undang berbentuk akta yang diluluskan oleh Parlimen atau enakmen yang diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN). Di bawahnya menyusul keputusan-keputusan mahkamah sivil yang membentuk doktrin duluan yang mengikat. Ini diikuti oleh prinsip-prinsip undang-undang Inggeris. Selepas itu barulah kita dapati undang-undang Islam, undang-undang adat serta undang-undang anak negeri.

Dari satu sudut, jika kita perhatikan, undang-undang Islam jelas terpinggir kerana ia diberi kedudukan yang kurang utama berbanding dengan sumber-sumber yang lain. Walaubagaimanapun, keadaan ini tidak semestinya bermakna bahawa Islam mempunyai kedudukan yang ‘melukut di tepi gantang’. Hal ini kerana Akta Parlimen umpamanya, boleh diresapkan dengan semangat atau prinsip Islam. Sebagai contoh, Parlimen boleh meluluskan semua Akta yang di dalamnya terkandung prinsip-prinsip Islam dan begitu juga dengan keputusan mahkamah. Jika diperhatikan, kebelakangan ini sudah wujud keputusan-keputusan mahkamah sivil yang selaras dengan semangat Islam atau sekurang-kurangnya tidak merugikan Islam. Kedudukan undang-undang Islam di Malaysia perlu difahami dalam konteks pelaksanaan Islam dalam Negara moden, di mana undang-undang diluluskan oleh dewan perundangan. Keadaan ini berbeza dengan zaman dahulu di mana undang-undang dihurai oleh para ulama dan dilaksanakan oleh mahkamah tanpa melalui proses legislative. Apa yang hendak ditekankan di sini ialah bahawa susunan keutamaan undang-undang tadi tidak semestinya merugikan Islam sekiranya undang-undang yang lain itu dipastikan tidak menentang semangat dan prinsip yang telah digariskan dalam Islam.

Keadaan inilah yang dikatakan pendekatan melaksanakan Islam melalui sistem perundangan yang ada. Selain itu, perlu diperingatkan bahawa meskipun tidak semua undang-undang yang ada bersumberkan Islam yang kebanyakannya dibawa masuk dari England melalui India, tetapi tidak semua undang-undang contonhya undang-undang tort, kontrak, jenayah dan seumpamanya bertentangan dengan prinsip-prinsip Islam. Ertinya, selagi ia tidak menafikan hak umat Islam, undang-undang ini boleh dikekalkan. Dalam pada itu, usaha untuk mengenalpasti percanggahan antara undang-undang sivil dengan undang-undang Islam hendaklah dilakukan secara berterusan. Pengalaman sebegini pernah dilakukan di beberapa Negara Islam yang telah menjalankan usaha dalam memastikan agar undang-undang tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Sebagai contohnya, di Sudan yang mana sebelum usaha sedemikian dilakukan, sebuah kajian dijalankan dan telah didapati bahawa lebih kurang 80 peratus dari undang-undang yang ada seperti dalam Malaysia termasuk Sudan sendiri yang pernah dijajah oleh British telahpun memenuhi kehendak Islam. Di samping itu, menarik untuk disebut bahawa meskipun British bertanggungjawab meminggirkan undang-undang Islam melalui beberapa kes hakim-hakim Inggeris, mereka mengakui undang-undang Islam di Negara ini.

Antara mekanisme perubahan yang boleh dilakukan dalam perlembagaan adalah dengan cara meminda perlembagan kerana tidak akan timbul masalah besar kerana kerjaan sekarang memiliki kerusi lebih daripada dua pertiga di Parlimen. Tetapi ini tidak akan mungkin berlaku selagi hal-hal lain yang lebih kecil masih belum dilaksanakan. Sebagai contohnya, Akta Undang-undang Sivil 1972 yang mejadi saluran kemasukan prinsip-prinsip Common Law masih belum dipinda untuk memberi laluan kepada prinsip-prinsip Islam. Selain itu, perubahan melalui politik adalah kaedah yang paling popular. Hal ini mugkin berpunca daripada anggapan bahawa sistem yang ada sekarang ini bersifat secular dan jahiliah dan tidak mungkin memberi ruang kepada Islam sehingga menggambarkan halangan itu datangnya daripada pihak kepimpinan politik. Pentadbiran Negara bukan hanya bergantung kepada kuasa politik semata-mata. Hal ini kerana, boleh wujud suatu keadaan di mana kepimpinan politiknya sedar dan berwawasan, tetapi oleh sebab jentera pentadbirannya tidak menyokong cita dan wawasan itu, segala yang disebut dalam manifesto politik mereka tidak menjadi kenyataan.

Meskipun kita mengatakan bahawa ruang untuk Islam itu ada, sudah tentulah ada modifikasi dan pindaan yang perlu dilakukan. Sekiranya langkah-langkah awal itu masih gagal mencapai matlamatnya, langkah-langkah penyesuaian yang seterusnya perlu dilakukan. Meskipun senarionya agak muram, potensi dan harapannya ada. Yang jelas tuntutan dan desakan ke arah itu tidak pernah padam. Ini amat penting kerana tuntutan dan desakan adalah penggerak utama kepada pihak yang berkuasa. Hal ini boleh dilakukan sekiranya semua pihak ikhlas dan bersungguh-sungguh untuk mendaulatkan kedudukan Islam di tanah air ini.


7.1 HALANGAN-HALANGAN PELAKSANAAN UNDANG-UNDANG JENAYAH ISLAM DALAM PERLEMBAGAAN MALAYSIA

Perkara di atas sering diperkatakan baik oleh mereka yang mahukan pelaksanaan undang-undang Islam sepenuhnya atau yang menentangnya. Apakah yang dikatakan sebagai halangan oleh perlembagaan itu satu fakta atau hanya pendapat semata-mata? Seperti yang diketahui umum, persoalan pentadbiran undang-undang jenayah dan keadilan diletakkan di bawah kuasa persekutuan. Sementara itu, Islam diletakkan di bawah bidang kuasa negeri. Walaubagaimanapun, perlu dijelaskan bahawa perkara-perkara yang berhubung dengan Islam sebagaimana yang terdapat dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan hanyalah berkisar kepada undang-undang keluarga. Malah, ada undang-undang yang yang membataskan bidang kuasa Mahkamah Syariah. Apakah kedudukan ini yang menghalang pelaksanaan undang-undang jeanyah Islam di Malaysia? Jawabnya, tidak. Apa yang ditetapkan oleh perlembagaan ialah bahawa bidang berkenaan terletak di bawah bidang kuasa pihak berkuasa persekutuan. Jadi Parlimen dan kerajaan persekutuan yang bertanggungjawab mengatur langkah ke arah melaksanakan undang-undang Islam. Hal ini termasuklah meminda undang-undang yang ada supaya selari dengan Islam dan kemudiannya melaksanakannya.

Selain itu, sering juga disebutkan bahawa Perlembagaan Persekutuan menyebut bahawa perlembagaan tersebut adalah undang-undang tertinggi dan undang-undang lain terbatal sekiranya ia bertentangan dengan undang-undang Persekutuan itu. Hal ini disebut sebagai peruntukan utama yang menghalang pelaksanaan Islam kerana ia tidak merujuk kepada Al-Quran dan As-Sunnah. Bagaimanapun, perlu disebut juga bahawa apa yang dikatakan sebagai ‘perlembagaan’ itu sebenarnya tidak jelas. Dalam banyak hal, apakah yang dikatakan ‘perlembagaan’ itu masih bergantung kepada tafsiran mahkamah. Seperti yang disebutkan di atas, perlembagaan tidak meyebut semua hal secara terperinci dan jelas. Dengan kata lain, masih ada ruang untuk menghujah bahawa peruntukan yang mengisytiharkan perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi Negara itu tidak semestinya mutlak dalam penghalang pelaksanaan undang-undang Islam.

Dengan demikian boleh dikatakan bahawa perlembagaan tidak semestinya menghalang pelaksanaan undang-undang jenayah Islam. Sekiranya pihak berkuasa Persekutuan mahu mengambil tindakan ke arah itu, undang-undang jenayah Islam boleh dilaksanakan dalam kerangka yang ada sekarang ini. Pihak berkuasa negeri boleh melaksanakan undang-undnag berkenaan tetapi hal ini memerlukan pindaan perlembagaan bagi mengecualikan jenayah di bawah undang-undang Islam dari bidang kuasa Persekutuan serta mengubahsuai undang-undang yang membataskan bidang kuasa Mahkamah Syariah. Hal ini tidak akan menjadi terlalu sukar kerana pihak yang memerintah mempunyai majoriti yang cukup dalam Parlimen. Apa yang penting dalam soal pelaksanaan undang-undang Islam ialah usaha yang teratur dan konsisten ke arah menyediakan persekitaran perundangan yang sesuai dan kondusif untuk pelaksanaan undang-undang tersebut.

Namun begitu, ada pihak yang menghujahkan bahawa langkah-langkah seperti yang dicadangkan adalah sukar dilakukan kerana perlembagaan Negara bersifat sekular dan dengan demikian setiap perubahan yang menuju ke arah Islam akan dicabar di mahkamah. Seperti yang dihujahkan di atas, perlembagaan Negara tidak jelas bersifat sekular. Apa yang didakwa sebagai sifat sekular itu adalah kesimpulan yang dibuat berdasarkan wujudnya beberapa peruntukan tertentudi samping beberapa keputusan mahkamah. Hujah-hujah yang mendakwa sifat sekular perlembagaan itu sebenarnya tidak muktamad.

Dari sudut lain, kita boleh membuat analogi tentang perlembagaan sebagai dokumen yang cuba melaksanakan semangat dan tuntutan demokrasi. Bagaimanapun, seperti yang dimaklumkan, Parlimen kita sudah meluluskan pelbagai jenis undang-undang yang pelaksanaannya bertentangan dengan demokrasi. Ini dijustifikasikan dengan pelbagai alasan termasuk ketenteraman awam, keselamatan dan seumpamanya. Ini semua menyebabkan dakwaan yang menuding jari kepada perlembagaan sebagai halangan kepada pelaksanaan Islam tidak begitu menyakinkan. Kalau perlembagaan sebagaimana yang disebut oleh Suruhanjaya Reid yang hendak mendaulatkan demokrasi boleh menerima undang-undang yang anti demokrasi, mengapa perlembagaan tidak boleh menerima Islam yang tidak ditentangnya secara jelas?

Tuntasnya, apa yang didakwa sebagai halangan itu juga tidak bersifat mutlak. Halangan boleh diatasi sekiranya kita benar-benar serius dalam melaksanakan hukum Islam. Sekiranya kita benar-benar serius untuk mematuhi perlembagaan, kita seharusnya konsisten dan tidak menggunakan perlembagaan untuk menghalang pelaksanaan hal-hal yang sah dan munasabah. Soal pelaksanaan hukum Islam tidak harus ditangani dari sudut syariah dan akidah semata-mata tetapi juga dari sudut sejarah dan falsafah.

 
KESIMPULAN
 Setelah kita melihat kedudukan Islam dalam sistem perlembagaan dan perundangan, perlu dinilai pula apakah ruang-ruang yang ada itu sudah dimanfaatkan sepenuhnya. Hal ini amat perlu dirumuskan sebelum langkah-langkah seterusnya diambil. Agak jelas bahawa kedudukan yang ada sekarang masih tidak jelas dan penuh dengan kekaburan sebagaimana kita telah melihat makna dan implikasi yang berbagai-bagai dalam konteks Perkara 3 (1) tersebut. Oleh itu, kes-kes mahkamah yang mempunyai peranan penting untuk menjelaskan makna peruntukan-peruntukan dalam perlembagaan yang mana keputusan-keputusan itu adalah hampir dengan matlamat asal perlembagaan sebagaimana yang dimanifestasikan dalam peruntukan tersebut.
Kedudukan, kuasa dan peranan Raja-raja dalam pelaksanaan Islam umumnya tidak memaparkan imej dan amalan yang jelas dan konsisten. Walau bagaimanapun, yang disebut oleh Perlembagaan dan undang-undang tentang kedudukan mereka sebagai ketua agama imej dan amalan yang kelihatan selama ini jelas berbagai-bagai-bagai. Peranan ini tidak mutlak sebagaimana yang digambarkan dalam peruntukan Perlembagaan sebaliknya berubah-ubah mengikut keadaan, isu dan personaliti Raja-raja. Kepelbagaian tersebut menunjukkan bahawa Raja-raja memainkan peranan mengikut suasana dan keadaan. Apa yang dapat disimpulkan ialah keberkesanan sesebuah sistem atau kerangka itu tidak hanya bergantung pada kedudukan atau kuasa undang-undang semata-mata. Hal ini termasuklah kemampuan dan kesungguhan pihak-pihak yang diberi kuasa itu dalam melaksanakan kuasa dan peranan undang-undang mereka. Dalam soal ini, Raja-raja perlu mempunyai pengetahuan dan komitmen yang kuat terhadap agama.

 Dalam pada itu, kedudukan agama Islam di Malaysia dapat dibuktikan dengan kedudukan Mahkamah Syariah. Kontroversi yang berlaku sekarang jelas bukan berpunca daripada Perlembagaan Persekutuan. Ia adalah masalah yang timbul akibat kekeliruan dan kejahilan tentang perlembagaan. Sebab itu tidak timbul soal meminda peruntukan berkenaan. Orang bukan Islam terlibat kerana hubungan mereka dengan orang Islam bukan kerana Mahkamah Syariah menafikan hak mereka. Masalah ini boleh diselesaikan dengan memperbaiki undang-undang atau prosedur yang adil,  ia tidak perlu melibatkan pindaan perlembagaan.Natijahnya,  terbukti bahawa kedudukan agama Islam dalam perlembagaan merupakan satu perkara yang seiring dengan pembentukan Mahkamah Syariah di Malaysia. Hal ini kerana, kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi di Malaysia diiktiraf oleh Perlembagaan, negara serta dunia. Penubuhan Mahkamah Syariah juga menunjukkan bahawa kerajan begitu komited dalam meletakkan Islam sebagai suatu dasar negara. Pembentukan Mahkamah Syariah pula bertepatan dengan wujudnya Institusi Kehakiman Syariah di Malaysia. Hal ini ditegaskan lagi apabila adanya Akta di mana Mahkamah Sivil tidak boleh campur tangan dalam apa-apa berkait dengan kes di Mahkamah Syariah. Justeru itu, terlihat kedudukan agama Islam dalam Perlembagaan di Malaysia dan Bidang kuasa Mahkamah Syariah yang diberikan merupakan satu pengiktirafan besar kepada Islam serta menjadikan Malaysia sebagai salah sebuah negara Islam yang dihormati dan disegani.

Sebelum sistem alternatif atau perubahan-perubahan yang mendasarkan difikirkan, perlulah dipastikan terlebih dahulu bahawa sistem yang ada sekarang tidak mampu menghasilkan natijah yang umat Islam hasratkan. Hal ini perlu dinilai dengan melihat undang-undang yang diluluskan selama ini, polisi dan program yang dilaksanakan serta tafsiran-tafsiran yang dibuat oleh mahkamah terhadap peruntukan –peruntukan yang berkenaan. Pelaksanaan undang-undang jenayah Islam, yakni hudud dan qisas, seperti yang dikatakan di atas boleh dilaksanakan melalui kerangka perlembagaan dan undang-undang yang ada. Bagaimanapun, beberapa penyesuaian dalam bentuk pindaan dan pengkanunan undang-undang baru perlu dan ini mengambil masa. Hal ini mungkin agak jauh ke hadapan.

Meskipun kita mengatakan ruang untuk Islam itu ada, sudah temtulah ada modifikasi dan pindaan 
 yang perlu dilakukan. Walhal, sistem perlembagaan dan perundangan itu pun bukan dihasratkan untuk melaksanakan undang-undang dan semangat Islam. Tetapi, itu tidak bermakna bahawa sistem itu diwujudkan untuk menafikan peranan Islam. Sekiranya langkah-langkah awal itu masih gagal mencapai matlamatnya, langkah-langkah penyesuaian yang seterusnya perlulah dilakukan. Meskipun senarionya agak muram, potensi dan harapannya ada. Hal ini boleh dilakukan sekiranya semua pihak ikhlas dan bersungguh-sungguh untuk mendaulatkan kedudukan Islam di tanah air ini.

 
Rujukan
Abd. Jalil Borham, 2002, Pentadbiran Undang-Undang Islam negeri Johor, Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia.
Abd Jalil Borham, 2002, Pengantar Perundangan Islam, Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia.
Ruhanie Haji Ahmad, 2005, Patriotisme Malaysia: Penangkis neoimperialisme, Malaysia, Utusan Publication.
Mohd. Salleh Abbas (1984). Federalisme di Malaysia- Perubahan dalam Dua Puluh Tahun Yang pertama
Mahmood Zuhdi Ab. Majid, 2001, Bidang Kuasa Jenayah Mahkamah Syariah di Malaysia, Malaysia, Dewan Bahasa dan Pustaka.
Abdul Aziz Bari, 2005, Islam dalam Perlembagaan Malaysia, Malaysia, Intel Multimedia and Publication.
Mahamad Ariffin, 2007,Pentadbiran undang-undang Islam di Malaysia, Malaysia, Dewan Bahasa dan Pustaka.
Ahmad Ibrahim, 2003, Perkembangan Undang-undang Perlembagaan Persekutuan, Malaysia, Dewan Bahasa dan Pustaka.
Perlembagaan Persekutuan
Farid sufian Shuaib, 2010, Administration of islamic law in Malaysia, Malaysia, Lexis Nexis.
Abdul Rashid bin Yah Al Kubrawiy Al Husaini, 2012, Kota Baharu, Kelantan.
Utusan Malaysia, 8 september 2011, Tinta PPMM, Hal 20.



[1] Maxwell dan Gibson: Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948, m/s 64
[2] Melalui penguasaan Syarikat (Berpiagam) Borneo Utara British ke atas Sabah
[3] Melalui pelantikan James Brooke sebagai Gabenor Sarawak
[4] Melalui Ordinan Pelaksanaan Undang-Undang Borneo Utara 1951
[5] Melalui Ordinan Pelaksanaan Undang-Undang Sarawak 1949
[6] (1971) MLJ 275
[7] (1969) MLJ 174
[8] Prof Ahmad Ibrahim, “ Kedudukan Islam dalam perlembagaan Malaysia,” (1996) JH 136
[9] (2000) MLJ 375