Tuesday 28 May 2013

Qasidah IbadaAllah RijalAllah

‘Ibaadallah rijaalallaah/aghiitsuunaa li ajlillaah
Wa kuunuu ‘awnanaa fillaah/’asa nahzhaa bi fadhlillaah


Wahai hamba-hamba Allah (para awliyaullah), wahai para pejuang Allah
Berilah kami pertolongan karena Allah
Jadilah engkau penolong kami dalam segala ibadah kepada Allah
Semoga kami beruntung dengan karunia Allah

Wa yaa aqthaab wa yaa anjaab/wa yaa saadaat wa yaa ahbaab
Wa antum yaa uulil albaab/ta’aalaw wan shuruu lillah

Wahai para wali Qutub, wahai para wali Anjab
Wahai para pemimpin kami dan para kekasih Allah
Kalian semua wahai ahli-ahli ibadah
Datanglah dan tolonglah kami karena Allah

Sa-alnaakum sa-alnaakum/waliz-zulfa rajaw naakum
Wa fii amrin qashadnaakum/fa syudduu azmakum lillaah


Kami memohon, memohon kepada kalian
Untuk mendapatkan kedekatan kepada rahmat Allah
Kami harapkan kalian
Dalam persoalan (masalah), kami bermaksud kepada kalian,
Maka mantaplah tekad kalian untuk menolong kami karena Allah

Fa yaa rabbi bi saadaatii/tahaqaqlii isyaaraati
‘asa ta’tii bi syaaratii/wa yashfuu waqtuna lillaah


Wahai Tuhanku, dengan pangkat para pembesarku,
Buktikanlah semua keinginan-keinginan itu,
Semoga datang semua yang menggembirakanku
Dan menjadi suci (tenang) waktu (kehidupan kami) untuk Allah

Bi kasyfil juhbi ‘an ‘aynii/wa raf’il bayni min baynii
Wa thamsul kayfa wal ‘ayni/bi nuuril wajhi yaa Allah


Dengan terbukanya bukti pada pandangan kami
Terangkatnya jarak pemisah antara aku dengan Engkau
Terhapusnya cara (tanpa menggambarkan, tanpa menempatkan)
Berkat cahaya Dzat-Mu ya Allah

Shalaatullaahi mawlaanaa/’alaa man bil hudaajaanaa
Wa man bil haqqi awlaanaa/syafii’il khalqi ‘indallah


Semoga Rahmat Allah Tuhan kami,
Dilimpahkan atas Nabi yang datang kepada kami dengan hidayah petunjuk
Dan kepada orang yang telah menunjukkan kebenaran agama
Yang memberikan pertolongan kepada makhluk nanti di Sisi Allah

Tuesday 21 May 2013

Fiqh Ibadat: Puasa : Pembersihan Jiwa Dan Diri


FIQH IBADAT
SHA 1002
PUASA: PEMBERSIHAN JIWA DAN DIRI
DIPLOMA UNDANG-UNDANG DAN SYARIAH

Disediakan untuk: Ustaz Suhaimi Bin Abu Hassan
Disediakan Oleh : PKA
Siti Nur Shahida binti Md Saat 
Nurul Ibni binti Zainuddin 
Siti Aisyah binti Awaludeen 

ISI KANDUNGAN

1.0  PENDAHULUAN

2.0  PENGENALAN
      2.1  Sebab Nuzul Ayat
      2.2  Pengertian Puasa
      2.3  Penentuan Awal Ramadhan Dan Syawal
      2.4  Syarat Wajib Puasa
      2.5  Rukun Puasa
      2.6  Perkara Yang Disunatkan Dalam Berpuasa     

3.0  JENIS-JENIS PUASA
      3.1 Puasa wajib
      3.2 Puasa Sunat
      3.3 Puasa Makruh
      3.4 Puasa Haram

4.0 PERKARA-PERKARA YANG MEMBATALKAN PUASA

5.0 RUKHSAH PUASA
      5.1  Musafir Dan Orang Sakit
      5.2  Orang Yang Terlalu Tua Dan Pesakit Yang Tiada Harapan Untuk Sembuh
      5.3  Perempuan Hamil Dan Menyusukan Anak

6.0 QADHA PUASA
     6.1  Fidyah
     6.2  Kafarah Puasa

Kesimpulan 

Bibiliografi



1.0  PENDAHULUAN

Alhamdulillah kami bersyukur kepada Allah SWT yang telah mengurniakan taufiq dan hidayah-Nya. Selawat dan salam untuk Rasul Junjungan Muhammad SAW. Untuk pengetahuan, buku tugasan subjek Fiqh Ibadat ini menghuraikan dan membahaskan dengan terperinci tentang ibadat puasa. Buku tugasan ini mempunyai 5 bahagian yang mengupas perkara-perkara yang berkaitan puasa daripada yang umum hinggalah kepada pengkhususannya.

 Bahagian pertama dipenuhi dengan kupasan yang menjurus kepada pengenalan puasa yang merangkumi bukti daripada firman Allah tentang kewajipan berpuasa, pengertian puasa, penentuan awal Ramadhan dan Syawal, syarat wajib puasa, syarat sah puasa, rukun puasa, kelebihan berpuasa dan perkara-perkara yang disunatkan dalam berpuasa. Manakala, bahagian kedua pula, mengulas secara mendalam berkaitan jenis-jenis puasa yang terkandung di dalamnya puasa wajib, puasa sunat, puasa makruh dan puasa yang diharamkan dengan berdalilkan kalamullah dan hadis-hadis yang terpilih.

Dalam pada itu, perkara-perkara yang membatalkan puasa dihuraikan secara teliti pada bahagian ketiga yang banyak mendedahkan kepelbagaian pendapat daripada ulama’. Pada bahagian yang keempat pula, lebih bertumpu kepada rukhsah puasa antaranya yang melibatkan pelbagai keadaan mukalaf  seperti orang yang bermusafir, orang yang sakit, orang yang terlalu tua, perempuan yang hamil dan menyusukan anak. Qadha’ puasa pula akan dibahaskan pada bahagian kelima yang ada menerangkan tentang fidyah dan kafarah puasa di samping beberapa kemusykilan mengenai puasa akan dikupas dalam bahagian tersebut.

Akhir kalam, kepada Allah kami memohon pertolongan dan petunjuk serta kepada Dia jualah sebaik-baik tempat bergantung dan berserah. Sekian, jazakallahu khair.


 2.0  PENGENALAN KEPADA IBADAT PUASA


شهر رمضان الذى انزل فيه القرءان هدى للناس وبينت من الهدى والفرقان فمن شهد منكم الشهر فليصمه ومن كان مريضا او على سفر فعدة من ايام اخر يريد الله بكم السير ولا يريد بكم العسر ولتكملوا العدة ولتكبروا الله على ما هدىكم ولعلكم تشكرون (البقرة : 185)

“ Dalam bulan Ramadhan diturunkan Al-Quran sebagai petunjuk kepada manusia dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk serta perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Maka, sesiapa di antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadhan (atau mengetahuinya), maka hendaklah dia berpuasa di pada bulan itu, dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir (diharuskan berbuka dan hendaklah dia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu, pada hari yang lain. Allah menghendaki kemudahan bagi kamu dan tidak menghendaki kamu menanggung kesusahan. Hendaklah kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadhan) dan hendaklah kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk dan supaya kamu bersabar. “
                                                                                                         (Surah Al-Baqarah, 2 : 185)

Ayat 185 Surah Al-Baqarah secara umumnya menjelaskan tentang kelebihan bulan Ramadhan yang mulia dan perkara-perkara yang berkaitan dengan hukum berpuasa seperti penentuan awal bulan Ramadhan dan Syawal, rukhsah puasa dan kelebihan berpuasa iaitu mendapat ketaqwaan seperti yang dijelaskan dalam ayat tersebut. Allah Subhanahu Wata’ala juga menjelaskan bahawa Al-Quran diturunkan pada bulan Ramadhan untuk menjadi petunjuk kepada manusia dan membezakan antara yang hak dengan yang batil. Begitu juga dengan keringanan yang diberi kepada mereka yang tidak mampu berpuasa seperti sakit dan musafir untuk menunjukkan bahawa ajaran Islam itu mudah dan tidak membebankan penganutnya.


2.1  SEBAB NUZUL AYAT 185,  SURAH AL-BAQARAH

Ibnu Jarir At-Thobari[1] meriwayatkan daripada Mu’az Bin Jabal bahawa beliau berkata:  “Rasulullah SAW tiada di Madinah lalu baginda berpuasa Asyura’ dan berpuasa tiga hari pada setiap bulan. “  Kemudian Allah menetapkan kewajipan berpuasa pada bulan Ramadhan dengan turunnya ayat 183 dan 184 daripada Surah Al-Baqarah yang bermaksud:

يايها الذين ءامنوا كتب عليكم الصيام كما كتب على الذين من قبلكم لعلكم تتقون (183) اياما معدودت فمن كان منكم مريضا او على سفر فعدة من ايام اخر وعلى الذين يطيقونه فدية طعام مسكين... (184)

“ Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan kepada kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa. (Puasa yang diwajibkan itu ialah) beberapa hari yang tertentu, maka sesiapa antara kamu yang sakit atau dalam musafir (dibolehkan berbuka puasa) kemudian wajiblah dia berpuasa (menggantikannya) sebanyak hari yang ditinggalkan, pada hari yang lain dan wajib ke atas dengan memberi makan kepada orang-orang miskin. “

Ayat tersebut menerangkan tentang kewajipan berpuasa secara umum kemudian menjelaskan tentang keringanan kepada mereka yang musafir dan sakit. Mereka diberi pilihan untuk berpuasa atau berbuka dengan member makan kepada fakir miskin. Kemudian Allah mewajibkan berpuasa kepada orang yang sihat dan bermukim dengan menurunkan ayat ini yang bermaksud:

فمن شهد منكم الشهر فليصمه  (سورة البقرة : 185)

“ Maka sesiapa antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadhan (atau mengetahuinya) maka hendaklah dia berpuasa pada bulan itu. “
                                                                                            (Surah Al-Baqarah,2 : 185)

Dalam pada itu, diriwayatkan daripada Salamah Bin Al-Akwa’ bahawa dia berkata: “ Ketika diturunkan ayat yang menyatakan : “ Dan wajib ke atas orang yang tidak berdaya untuk berpuasa (dengan sebab tua atau sebagainya) membayar fidyah dengan memberi makan kepada orang-orang miskin.” Maka ada di antara kami yang hendak berpuasa, dia berpuasa dan sesiapa yang tidak mahu, ia berbuka dan memberi fidyah sehingga Allah menurunkan ayat ini : “ Maka sesiapa antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadhan (atau mengetahuinya) maka hendaklah dia berpuasa pada bulan itu.“. Ayat ini mewajibkan orang-orang Islam berpuasa dan menasakhkan ayat sebelumnya iaitu hukum memilih sama ada hendak berpuasa atau membayar fidyah.

2.2  PENGERTIAN PUASA
Puasa menurut bahasa ialah menahan diri daripada sesuatu. Manakala, dari segi istilah pula bermaksud menahan diri daripada melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa, bermula dari terbit fajar sehingga terbenam matahari yang disertai dengan niat. Allah telah berfirman dalam Surah Al-Baqarah ayat 187 yang bermaksud:

“ .. Makan dan minumlah hingga jelas bagimu (perbezaan) antara benang putih dan benang hitam, iaitu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa sampai (datang) malam.. “

Sabda Rasulullah SAW,

Dari Ibnu Umar, katanya: Saya telah mendengar Nabi Muhammad SAW berkata: “ Apabila malam datang dan siang lenyap dan matahari telah terbenam, maka sesungguhnya telah datang waktu berbuka bagi orang yang berpuasa.”                         
                                                                                            (Riwayat Bukhari dan Muslim)

2.3  PENENTUAN AWAL RAMADHAN DAN SYAWAL

Para ulama’ berpendapat bahawa sesiapa yang berada dalam bulan Ramadhan, maka wajib baginya untuk berpuasa. Mereka menentukan cara untuk mengetahui penentuan awal Ramadhan dan Syawal dengan cara Ru’yatul Hilal iaitu dengan melihat anak bulan. Sebahagian ulama’ yang lain pula berpendapat ia boleh ditentukan melalui Hisab sahaja.


2.3.1  RU’YATUL HILAL (MELIHAT ANAK BULAN)

Sebahagian para ulama’ berpendapat penentuan awal Ramadhan hendaklah berdasarkan kaedah melihat anak bulan dengan berasaskan bebarapa hadis Rasulullah SAW. Antaranya:

عن ابى هريرة رضى الله عنه قال: قال النبى صلى الله عليه وسلم: صوموا لرؤيته وافطروا لرؤيته فان غبي عليكم فاكملوا عدة شعبان ثلاثين (رواه البخاري)

Daripada Abu Hurairah RA, katanya: Nabi Muhammad SAW bersabda: “ Berpuasalah apabila kamu melihatnya (bulan) dan berbukalah apabila kamu melihatnya, jika bulan itu terlindung, sempurnakanlah bilangan Sya’ban selama 30 hari. “                        
                                                                                                                 (Riwayat Bukhari)

عن ابن عمر: ترائ الناس الهلال فاخبرت رسول الله صلى الله عليه وسلم اني راءيته فصامه وءامر بصيامه (رواه ابو داود)

Ibnu Umar berkata: Orang ramai telah melihat anak bulan, maka aku memberitahu Rasulullah SAW bahawa aku telah melihatnya. Rasulullah SAW berpuasa dan Baginda memerintahkan orang ramai supaya berpuasa.                                                              
                                                                                                                  (Riwayat Abu Daud)

Berdasarkan hadis-hadis yang dinyatakan, jumhur ulama’ berpendapat bahawa permulaan Ramadhan hendaklah ditentukan dengan Ru’yah ataupun menggenapkan bilangan bulan Sya’ban iaitu 30 hari.

2.3.2  HISAB

Sebahagian ulama’ yang lain pula, berpendapat bahawa awal Ramadhan boleh ditentukan melalui Hisab yang juga bersandarkan kepada hadis-hadis Rasulullah SAW sebagai hujah mereka:

عن ابن عمر رضى الله عنهما عن النبى صلى الله عليه وسلم انه قال: انا امة امية لا نكتب ولا نحسب,الشهر هكذا وهكذا يعنى مرة تسعة وعشرين ومرة ثلاثين (رواه البخاري)

Diriwayatkan daripada Ibnu Umar RA daripada Nabi Muhammad SAW bahawa Baginda telah bersabda: “ Sesungguhnya kami umat yang ‘ummi, tidak tahu menulis dan tidak tahu mengira, sebulan adalahseperti ini dan seperti ini. Maksudnya ialah sekali 29 (hari) dan sekali 30 (hari).”
Berdasarkan kepada hadis ini, penentuan awal Ramadhan boleh digunakan dengan cara Hisab. Mereka berhujah, orang Islam pada zaman dahulu diwajibkan berpuasa dengan Ru’yah kerana mereka tidak mengetahui Hisab Falak. Kini,dengan perkembangan ilmu pengetahuan, umat Islam telah mempunyai pengetahuan tentang Hisab. Oleh itu, mereka tidaklah semestinya berpegang kepada kaedah Ru’yah lagi.

عن عبدالله بن عمر رضى الله عنهما ان رسول الله صلى الله عليه وسلم ذكر رمضان فقال: لاتصوموا حتى تروا الهلال ولا تفطروا حتى تروه فان غم عليكم فاقدروا له  (رواه البخاري)

Diriwayatkan daripada Abdullah Bin Umar RA bahawa Rasulullah SAW menyebut tentang Ramadhan lalu bersabda: “ Janganlah kamu berpuasa sehingga kamu melihat anak bulan (Ramadhan) dan janganlah kamu berbuka (berhari raya) sehingga kamu melihatnya (anak bulan Syawal). Sekiranya pandangan kmau dilindungi oleh awan maka hendaklah kamu menghitungnya.”                                                                              (Riwayat Bukhari)

Mereka juga menggunakan hujah akal iaitu sekiranya Hisab Falak boleh digunakan untuk menentukan waktu solat, mengapakah Hisab Falak tidak boleh digunakan untuk menentukan awal Ramadhan sedangkan ibadat solat itu tiang agama? Namun begitu, hujah dan alas an mereka telah ditolak olah ulama’ yang berpegang dengan kaedah Ru’yatul Hilal. Oleh itu, kebanyakan Negara Islam menggunakan kaedah Ru’yatul Hilal dalam menentukan awal Ramadhan dan Syawal.

2.4   SYARAT WAJIB PUASA

Syarat yang pertama ialah berakal. Maka, bagi orang yang gila, tidak wajib ke atasnya untuk berpuasa. Seterusnya, hendaklah baligh sepertimana Nabi Muhammad SAW telah berfirman dalam satu hadis yang bermaksud:

رفع القلم عن ثلاثة: عن النائم حتى يستقظ, وعن الصبى حتى يحتلم, وعن المجنون حتى يعقل (رواه ابو داود)

“ Diangkat qalam (tulisan amalan) daripada tiga manusia: Daripada orang tidur sehingga dia bangun, daripada kanak-kanak sehingga dia bermimpi (baligh) dan daripada orang gila sehinggalah dia berakal.                                                                               (Riwayat Abu Daud)

Dalam pada itu, syarat yang lain ialah kuat untuk berpuasa. Maka, bagi yang tidak upaya untuk berpuasa 
kerana sudah tua atau sakit, tidak wajib ke atasnya untuk berpuasa. Sepertimana Firman Allah dalam Surah 
Al-Baqarah ayat 185 yang bermaksud:

ومن كان مريضا او على سفر فعدة من ايام اخر يريد الله بكم السير ولا يريد بكم العسر   

“Dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir (diharuskan berbuka dan hendaklah dia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. Allah menghendaki kemudahan bagi kamu dan tidak menghendaki kamu untuk menanggung kesusahan.”

2.5  RUKUN PUASA

Rukun puasa yang pertama ialah niat iaitu keazaman hati untuk berpuasa kerana ingin melaksanakan perintah Allah Azza Wa Jalla atau mendekatkan diri kepadaNya sepertimana Rasulullah SAW bersabda:

انما الاعمال بالنية

“ Sesungguhnya seluruh amal perbuatan itu harus dengan niat.”

Jika puasa wajib, maka niat puasa wajib dilakukan pada sebelah malam sebelum terbit fajar kerana Rasulullah SAW bersabda:

من لم يبيت الصيام قبل الفجر فلا فصيام له

“ Sesiapa yang tidak berniat puasa pada malam hari sebelum terbit fajar, maka tidak ada puasa, baginya.”                                     
                                                                  (Riwayat An-Nasa’i, Ad-Darimi dan Daruquthni)

Jika puasa sunat, maka sah niat setelah terbit fajar dan matahari telah meninggi dengan syarat ia belum menjamah sebarang makanan kerana Aisyah RA berkata:

“ Pada suatu hari, Rasulullah SAW masuk ke rumah, kemudian bersabda, “Apakah engkau mempunyai makanan? “ Aku menjawab, “Tidak.” Rasulullah SAW bersabda, “Kalau begitu aku puasa. “
                                                                                                                     (Riwayat Muslim)

Rukun puasa yang kedua pula ialah imsak iaitu menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa seperti makan, minum dan bersetubuh.
Rukun puasa yang ketiga ialah waktu iaitu bermula dari terbit fajar hingga terbenam matahari. Oleh itu, jika seseorang berpuasa pada malam hari dan berbuka pada siang hari, maka tidak sah puasanya selama-lamanya. Allah Subhanahu Wata’ala telah berfirman dalam surah Al-Baqarah ayat 187:

“ Kemudian sempurnakanlah puasa itu sampai (datang) malam. “
                                                                                                           (Az-Zabidi dan Al-Munziri)

2.6   PERKARA YANG DISUNATKAN DALAM BERPUASA

Antara perkara yang disunatkan dalam berpuasa ialah menyegerakan berbuka puasa setelah pasti terbenam matahari kerana Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

لا يزال الناس بخير ما علجوا الفطر

“ Manusia sentiasa dalam kebaikan, selagi mereka menyegerakan berbuka puasa.”
                                                                                  (Riwayat Bukhari, Muslim dan At-Tarmizi)

Selain itu, kita juga disunatkan berbuka puasa dengan kurma masak atau kurma kering atau air. Berbuka puasa yang paling baik ialah dengan kurma dan setidak-tidaknya dengan air. Seorang Muslim disunatkan berbuka puasa dengan bilangan ganjil seperti tiga, lima atau tujuh sepertimana dalam sebuah hadis, Anas Bin Malik RA berkata,

كان يفطر قبل ان يصلى على رطبات, فان لم تكن فعلى تمرات, فان لم تكن حسا حسوات من ماء

“ Rasulullah SAW berbuka puasa dengan beberapa biji kurma yang telah masak sebelum mengerjakan solat Maghrib. Jika tiada kurma masak, maka Baginda berbuka puasa dengan kurma kering. Jika tiada kurma kering, maka Baginda meneguk beberapa teguk air.”
                                                                                               (Riwayat Abu Daud dan Ahmad)

Di samping itu,kita juga disunatkan bersahur dan melewatkannya iaitu makan dan minum ketika bersahur pada akhir malam dengan niat puasa kerana Rasulullah SAW bersabda:

تسحروا فان فى السحور بركة

 “ Bersahurlah kalian kerana pada bersahur itu terdapat keberkatan.”
                                                                           (Riwayat Bukhari, Muslim dan At-Tarmizi)

Dalam pada itu, kita digalakkan untuk menyediakan makanan untuk mereka yang berbuka puasa. Sekiranya tidak mampu memberikan mereka makan, dia hendaklah memberikan buah kurma ataupun minuman untuk mereka berbuka seperti sabda Rasulullah SAW:

من فطر صائما كان له مثل اجره, غير انه لا ينقص من اجر الصائم شيئا

“Barangsiapa yang menyediakan makanan berbuka untuk orang yang berpuasa, maka dia mendapat ganjaran sepertinya(orang berpuasa) tanpa dikurangkan ganjaran orang yang berpuasa itu sedikitpun.”
                                                                                                                            (Riwayat Tirmizi)

  
3.0    JENIS-JENIS PUASA

3.1 PUASA WAJIB

1. Puasa di bulan Ramadhan.

Puasa pada bulan ramadhan itu salah satu daripada rukun islam yang lima. Hukumnya Fardu Ain atas tiap-tiap Mukallaf. Puasa di bulan Ramadhan adalah wajib berdasarkan Al Quran, As Sunah dan ijmak para ulama. Allah taala berfirman dalam surah Al Baqarah ayat 185:

“ (Beberapa hari yang ditentukan itu ialah) bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan Al Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk-petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan yang batil). Kerana itu, sesiapa yang di antara kalian hadir (di negeri tempat tinggalnya) pada bulan itu, maka hendaklah ia berpuasa pada bulan itu.”

 Rasulullah S.A.W bersabda bahawa:

بني الاسلام على خمس : شها دة   اّن لا اله الا الله و ان محمدا رسول الله , وايتا ء الز كا ة , والحج, وصوم رمضا ن

“ Islam itu di tegakkan di atas lima dasar bahawa tidak ada tuhan yang berhak disembah kecuali Allah dan bahawa Muhammad utusan Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, haji ke Baitullah dan puasa pada bulan Ramadhan.”[2]

 ( Riwayat Al Bukhari dan Muslim)

Berdasarkan dalil daripada Al Quran dan  Sunah ini, maka puasa di bulan Ramadhan menjadi salah satu ibadah wajib untuk di jalankan pada masa yang di tentukan.

2. Puasa Qadha

Qadha maksudnya mengganti. Puasa Qadha adalah wajib di tunaikan terlebih dahulu sebelum datangnya bulan Ramadhan. Malah puasa sunat juga tidak boleh dikerjakan melebihi daripada mengqadha puasa yang tertinggal sebelumnya. Sebaiknya puasa yang tertinggal di bulan Ramadhan di ganti dahulu sebelum mengerjakan puasa sunat yang lainnya. Sekiranya tidak berkesempatan untuk mengqadha puasa tetapi sudah sampai bulan ramadhan tahun berikutnya maka wajib ke atas orang yang tidak mengqadha puasanya untuk membayar Fidyah. Fidyah akan di bahas dengan lebih lanjut pada subtajuk seterusnya. Orang yang meninggalkan puasa Ramadhan kerana uzur, wajib mengqadha puasanya itu dengan segera pada hari permulaan kesempatan yang di dapatinya sesudah hari raya. Sebahagian ulama berpendapat, tidak wajib mengqadha dengan segera, tetapi sepanjang tahun, itu adalah waktunya untuk mengqadha. Ia boleh memilih sebarang hari dalam tahun itu untuk mengqadha. 

2.1 Kifarah puasa

Kifarat ialah sesuatu yang boleh menebus dosa yang dilakukan kerana tidak taat kepada Allah. Oleh itu, sesiapa yang tidak taat kepada Allah , kemudian melakukan persetubuhan pada siang hari bulan Ramadhan,  ia wajib membayar kifarat kerana kesalahan tersebut dengan melakukan salah satu daripada tiga perkara yakni yang pertama memerdekakan seorang hamba wanita yang beriman atau berpuasa dua bulan secara berturut-turut atau memberi makan enam puluh orang miskin di mana setiap seorang diberi secupak gandum atau kurma sesuai dengan kemampuannya.
Sabda Rasulullah S.A.W:
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: جَاءَ رَجُلٌ

إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: هَلَكْتُ يَا رَسُولَ اللَّه

قَالَ: وَمَا أَهْلَكَكَ؟

قَالَ: وَقَعْتُ عَلَى امْرَأَتِي فِي رَمَضَانَ.

قَالَ: هَلْ تَجِدُ مَا تُعْتِقُ رَقَبَةً؟ قَالَ :لاَ.

قَالَ: فَهَلْ تَسْتَطِيعُ أَنْ تَصُومَ شَهْرَيْنِ مُتَتَابِعَيْنِ؟ قَالَ: لاَ.

قَالَ: فَهَلْ تَجِدُ مَا تُطْعِمُ سِتِّينَ مِسْكِينًا؟ قَالَ: لاَ.

قَالَ: ثُمَّ جَلَسَ فَأُتِيَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِعَرَقٍ فِيهِ تَمْرٌ

فَقَالَ: تَصَدَّقْ بِهَذَا.

قَالَ: أَفْقَرَ مِنَّا فَمَا بَيْنَ لاَبَتَيْهَا أَهْلُ بَيْتٍ أَحْوَجُ إِلَيْهِ مِنَّا.

فَضَحِكَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَتَّى بَدَتْ أَنْيَابُهُ

ثُمَّ قَالَ: اذْهَبْ فَأَطْعِمْهُ أَهْلَكَ.


“Seorang lelaki datang kepada Rasulullah S.A.W. Katanya: Celaka saya, Ya Rasulullah. Nabi S.A.W berkata: Apakah yang telah mencelakakan engkau? Jawab lelaki tersebut : Saya telah bersetubuh dengan isteriku, pada siang hari Ramadhan. Rasulullah S.A.W berkata: Sanggupkah engkau memerdekakan hamba? Jawab lelaki itu: tidak. Rasulullah S.A.W berkata: kuatkah engkau berpuasa dua bulan berturut-turut? Jawab lelaki itu: tidak. Kata Rasulullah S.A.W : Adakah engkau mempunyai makanan untuk diberi makan kepada enam puluh orang fakir miskin? Jawab lelaki itu: tidak. Kemudian lelaki itu duduk. Maka diberikan orang kepada Nabi S.A.W sebuah bakul berisi tamar. Rasulullah S.A.W berkata: sedekahkanlah kurma ini. Kata lelaki itu : Kepada siapakah? Kepada yang lebih miskin dari saya? Demi Allah tidak ada penduduk kampung ini yang lebih hajat kepada makanan lain dari kami seisi rumah. Nabi S.A.W tertawa dan berkata: Pulanglah, berikanlah kurma itu kepada ahli rumahmu.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

3. Puasa Nazar

Puasa Nazar adalah puasa yang diwajibkan ke atas orang yang telah bernazar. Apabila seseorang itu telah bernazar maka wajib ke atasnya melangsaikan tanpa bertangguh apabila hajatnya dikabulkan oleh Allah SWT. Maka nazar adalah hutangnya kepada Allah SWT yang telah berjanji menunaikan sesuatu ibadat seperti mana yang dinazarkan. Maka pada dasarnya janji itu wajib ditepati tanpa bertangguh bila mampu berbuat demikian.
Adapun amalan yang perlu dilakukan oleh seseorang berpandukan suruhan Allah SWT dalam al-Quran apabila gagal menunaikan nazarnya kepada Allah SWT, firman di dalam Surah al-Maidah ayat 89 yang bermaksud:

Kamu tidak dikira salah oleh Allah tentang sumpah-sumpah kamu yang tidak disengajakan (untuk bersumpah), akan tetapi kamu dikira salah oleh-Nya dengan sebab sumpah yang sengaja kamu buat dengan bersungguh-sungguh. Maka bayaran dendanya ialah memberi makan sepuluh orang miskin daripada jenis makanan yang sederhana yang kamu (biasa) berikan kepada keluarga kamu, atau memberi pakaian untuk mereka, atau memerdekakan seorang hamba. Kemudian sesiapa yang tidak dapat (menunaikan denda yang tersebut), maka hendaklah ia berpuasa tiga hari. Yang demikian itu ialah denda penebus sumpah kamu apabila kamu bersumpah. Dan jagalah – peliharalah sumpah kamu. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayat-Nya (hukum-hukum agama-Nya) supaya kamu bersyukur.”

3.2    PUASA SUNAT

Puasa sunat adalah puasa yang dikerjakan kerana semata-mata untuk mengharapkan akan keampunan, keredhaan, balasan daripada Allah S.W.T. mengikut sunah Rasulullah S.A.W.
Yang pertama adalah puasa hari Arafah bagi orang yang tidak menunaikan haji di Baitullah. Berdasarkan hadits Abu Qatadah r.a bahawa Rasulullah S.A.W ditanya tentang puasa pada hari Arafah, baginda menjawab:

يُكَفِّرُ السَّنَةَ الْمَاضِيَةَ وَالْبَاقِيَةَ

menghapus dosa setahun yang lalu dan setahun yang akan datang.” ( Riwayat Muslim:1162) 

Mereka yang sedang berwukuf di Arafah dalam rangka menunaikan ibadah haji, maka tidak di anjurkan berpuasa pada hari itu berdasarkan hadits ibnu Abbas r.a bahawa  “Rasulullah S.A.W berbuka di Arafah, ummu Fadhl mengirinmkan segelas susu kepada beliau, lalu beliau meminumnya.” ( Riwayat Tirmidzi: 750 dalam shahih tirmidzi)

Yang kedua ialah puasa Assyura’ dan puasa Tasu’a iaitu pada 9 dan 10 Muharram, kerana Rasulullah S.A.W bersabda:

يُكَفِّرُ السَّنَةَ الْمَاضِيَةَ

Menghapus dosa setahun yang telah lalu” ( Hadis riwayat Muslim : 1162)
Bulan Muharam adalah bulan yang dianjurkan untuk memperbanyak puasa padanya. Berdasarkan hadits Abu Hurairah r.a, “Rasulullah S.A.W bersabda: puasa yang paling afdhal setelah ramadhan adalah bulan Allah, Muharam, dan solat yang paling afdhal setelah solat wajib adalah solat malam.” ( Riwayat Muslim:1163)

Dan di antara hari-hari dibulan tersebut, lebih dianjurkan lagi berpuasa pada hari Asyura, iaitu pada 10 Muharam. Hadis Aisyah r.a bahawa beliau berkata: “Rasulullah S.A.W memerintahkan puasa pada hari Asyura. Maka tatkala telah diwajibkan Ramadhan, maka siapa yang ingin berpuasa, maka silakan dan siapa yang ingin berbuka juga boleh” (Riwayat bukhari:1897, Muslim: 1125)

Dianjurkan juga berpuasa pada 9 muharram, berdasarkan hadis Ibnu Abbas r.a bahawa beliau berkata: tatkala Rasulullah S.A.W berpuasa pada hari Asyura dan memerintahkan untuk berpuasa padanya, mereka ( para sahabat) berkata: Wahai Rasulullah, itu adalah hari yang diagungkan oleh Yahudi dan Nasrani. Maka bersabda Rasulullah S.A.W: jika tiba tahun yang berikutnya, inshaAllah kita pun berpuasa pada hari ke sembilan. Namun belum tiba tahun berikutnya hingga Rasulullah S.A.W wafat.” ( Riwayat Muslim:1134)

Yang ketiga ialah puasa enam hari pada bulan syawal. Berdasarkan hadis Abu Ayyub Al Anshari bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ

 “ Barangsiapa yang berpuasa Ramadhan, lalu menyambungnya dengan enam hari dibulan syawal, maka dia seperti berpuasa sepanjang tahun.” ( Riwayat Muslim: 1164)

Hadis ini merupakan dalil yang jelas menunjukkan disunnahkan berpuasa enam hari di bulan syawal. Adapun sebab mengapa Rasulullah S.A.W menyamakannya dengan puasa setahun telah disebutkan oleh imam Nawawi r.h bahawa beliau berkata: “ berkata para ulama: sesungguhnya amalan tersebut sama kedudukannya dengan puasa sepanjang tahun sebab satu kebaikan di dalamnya sama nilai dengan sepuluh kali lipat, maka bulan ramadhan sama seperti 10 bulan, dan enam hari sama seperti dua bulan.” (syarah Nawawi: 8/56)

Yang keempat ialah puasa di bulan Syaaban. Di antara bulan yang dianjurkan memperbanyak puasa adalah di bulan Syaaban. Berdasarkan hadis Aisyah r.a bahawa beliau berkata:
ما رأيت رسول الله صلى الله عليه وسلم استكمل صيام شهر قط إلا شهر رمضان وما رأيته في شهر أكثر منه صياما في شعبان
(رواه البخاري ومسلم)

Aku tidak pernah melihat Rasulullah S.A.W menyempurnakan puasa sebulan penuh kecuali ramadhan dan aku tidak pernah melihat beliau berpuasa lebih banyak dari bulan Syaaban ( Riwayat Bukhari:1868)

Kecuali pada hari-hari terakhir, sehari atau dua hari sebelum datangnya Ramadhan, tidak diperbolehkan untuk berpuasa pada hari itu kecuali seseorang yang menjadi kebiasaannya berpuasa maka dibolehkan seperti seseorang yang terbiasa berpuasa isnin dan khamis lalu sehari atau dua hari tersebut bertepatan dengan hari isnin atau khamis. Hal ini berdasarkan hadis Rasulullah S.A.W bahawa baginda bersabda: “ Janganlah kalian mendahului Ramadhan dengan berpuasa sehari dan dua hari, kecuali seseorang yang biasa berpuasa pada hari itu maka boleh baginya berpuasa. (Riwayat Muslim: 1082)

Seterusnya ialah puasa hari-hari putih( hari purnama bulan) pada setiap bulan iaitu 13,14 dan 15 haribulan setiap bulan hijrah, berdasarkan hadis:

عن قتادة بن ملجان رضي الله عنه قال : كان رسول الله صلى الله عليه وسلم يأمرونا بصيام البيض ثلاث عشرة وأربع عشرة وخمس عشرة
(رواه الترميذي)
Daripada Qatadah bin Miljan r.a katanya : Adalah Rasulullah s.a.w menganjurkan kepada kami puasa pada hari-hari cerah (bulan purnama) iaitu 13, 14 dan 15 haribulan.
(Riwayat at tirmizi)

Puasa tiga hari di pertengahan bulan ini di sebut sebagai hari-hari putih kerana malam-malam yang terdapat pada tarikh tersebut, bulan bersinar putih dan terang benderang. Yang lebih menunjukkan keutamaan besar dalam berpuasa pada hari-hari putih tersebut, di mana Rasulullah S.A.W tidak pernah meninggalkan amalan ini.

Bahawa diperbolehkan pada hari yang mana sahaja dari bulan tersebut ia berpuasa, maka ia telah mengamalkan sunah. Namun jika ia ingin mengamalkan yang lebih utama lagi. Maka dianjurkan untuk berpuasa pada pertengahan bulan Hijriyyah, iaitu pada 13,14, dan 15.

Yang keenam pula ialah puasa isnin dan khamis. Berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dari Abu Qatadah r.a bahawa Rasulullah S.A.W di tanya tentang puasa pada hari isnin. Maka baginda menjawab: “ Itu adalah hari yang aku dilahirkan padanya, dan aku diutus, atau diturunkan kepadaku (wahyu).” ( Riwayat Muslim:1162)

Juga diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a bahawa Nabi S.A.W berpuasa pada hari Isnin dan Khamis. Lalu ada yang bertanya: Sesungguhnya engkau sentiasa berpuasa pada hari Isnin dan Khamis? Beliau menjawab: 

“Dibuka pintu-pintu syurga pada hari Isnin dan Khamis, lalu diampuni (dosa) setiap orang yang tidak menyekutukan Allah dengan sesuatu apa pun, kecuali dua orang yang saling bertikai. Dikatakan: biarkan mereka berdua sampai keduanya berbaik-baik.” ( Riwayat Tirmidzi:2032, Ibnu Majah: 1740)

Manakala, yang kelima adalah puasa Nabi Daud A.S iaitu berpuasa sehari dan berbuka sehari. Berdasarkan hadis yang datang daripada Abdullah bin Amr bin ‘Al Ash r.a bahawa Rasulullah S.A.W bersabda: “ Puasa yang paling dicintai Allah ta’ala adalah puasa Daud, beliau berpuasa sehari dan berbuka sehari. Dan Solat yang paling dicintai Allah adalah solatnya Daud, beliau tidur dipertengahan malam dan bangun pada sepertiga malam, dan tidur pada seperenamnya.” (Riwayat Bukhari :3238, Riwayat Muslim:1159)

Seterusnya yang dibawakan di sini adalah puasa bagi orang bujang yang belum mampu bernikah, kerana Rasulullah S.A.W bersabda: “ Sesiapa di antara kamu yang telah mempunyai keupayaan (iaitu zahir dan batin) untuk berkahwin, maka hendaklah dia berkahwin. Sesungguhnya perkahwinan itu dapat menjaga pandangan mata dan menjaga kehormatan. Maka sesiapa yang tidak berkemampuan, hendaklah dia berpuasa kerana puasa itu dapat mengawal (iaitu benteng nafsu).” (Riwayat Bukhari)

3.3  PUASA MAKRUH

1. Puasa Hari Sabtu

Makruh berpuasa pada hari sabtu sahaja tanpa digandingkan dengan hari sebelum atau selepasnya kerana hari sabtu adalah hari kebesaran bagi Yahudi. Jadi kita dilarang mengkhususkan hari sabtu dengan berpuasa.  Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, maksudnya: “Janganlah kamu berpuasa pada hari sabtu, kecuali puasa yang diwajibkan ke atas kamu.”[3]
Walau bagaimanapun puasa qadha dan puasa nazar terkecuali. Demikian juga halnya puasa sunat yang biasa dilakukan dan secara kebetulannya jatuh pada hari sabtu, maka ia dikecualikan dari larangan itu. [4]

2. Puasa hari Jumaat secara khusus

Dilarang juga berpuasa sunat pada hari Jumaat jika tidak disertakan dengan berpuasa sehari sebelumnya iaitu hari khamis atau sehari selepasnya, iaitu hari sabtu.  Rasulullah S.A.W bersabda:
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ إِنَّ يَوْمَ الْجُمُعَةِ يَوْمُ عِيدٍ فَلَا تَجْعَلُوا يَوْمَ عِيدِكُمْ يَوْمَ صِيَامِكُمْ إِلَّا أَنْ تَصُومُوا قَبْلَهُ أَوْ بَعْدَهُ.
Dari Abu Hurairah RA, katanya: Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya hari Jumaat adalah hari raya kalian, maka janganlah kalian berpuasa pada hari itu kecuali kalian berpuasa pada hari sebelumnya (Hari Khamis) atau sesudahnya (hari Sabtu)” [5]
Bahawasanya hari Jumaat ialah hari raya mingguan dan lazimnya tidak dituntut berpuasa pada hari yang dimuliakan sebagai hari raya.

3. Puasa sepanjang tahun

Puasa ini dilakukan setiap hari berturut-turut sepanjang masa melainkan hari yang diharamkan berpuasa. Rasulullah S.A.W bersabda: “ Tidak ada pahala orang yang berpuasa selama-lamanya.” ( Riwayat Bukhari dan Muslim)
Umar r.a bertanya: “ Bagaimana dengan orang yang berpuasa selama-lamanya? Nabi S.A.W menjawab: “ Dia tidak mendapat pahala puasa dan tidak dapat makan ( kerana dia puasa).” (Riwayat Muslim)

Hadis ini menunjukkan larangan berpuasa sepanjang tahun. Sebahagian sahabat dan tabiien berpuasa penuh sepanjang tahun dan di antaranya adalah Aisyah, Abu Tolhah Al Ansari, Ibnu Umar, Abu Umamah dan isterinya dan beberapa orang dikalangan tabiien sehingga ada yang puasa selama 40 tahun. Namun Jumhur ulama mengatakan hukumnya sunat sekiranya tidak memberi mudarat kepada orang yang berpuasa dan tidak berpuasa pada hari yang diharamkan. Mereka berkata bahawa hadis-hadis yang melarang sekiranya ia memberi mudarat atau puasa pada hari yang di haramkan berpuasa . Hadis dari Abdullah bin Amru r.a tentang puasa ini :

Rasulullah s.a.w telah diberitahu bahawa aku pernah berkata: Aku akan beribadat di waktu malam dan akan berpuasa pada siang hari sepanjang hidupku. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Engkaukah yang telah berkata demikian? Aku berkata kepada baginda: Akulah yang telah berkata demikian wahai Rasulullah s.a.w! Rasulullah s.a.w bersabda: Engkau tidak akan berkuasa melakukannya. Baginda menambah: Berpuasa dan berbukalah. Tidur dan beribadatlah di waktu malam. Berpuasalah tiga hari dalam sebulan kerana satu kebajikan itu akan dibalas dengan sepuluh kebajikan yang menyamai berpuasa setahun. Lalu aku berkata kepada Rasulullah s.a.w: Aku mampu melakukan lebih dari itu. Baginda bersabda: Berpuasalah sehari dan berbukalah dua hari. Aku berkata kepada baginda: Aku mampu berbuat lebih dari itu. Rasulullah s.a.w bersabda: Berpuasalah sehari dan berbukalah sehari. Itulah cara puasa Nabi Daud a.s dan puasa yang sederhana. Aku berkata lagi: Aku masih mampu berbuat lebih dari itu. Baginda bersabda: Tiada yang lebih baik dari itu. Abdullah bin Amru r.a berkata: Tentu saja aku terima berpuasa tiga hari sebagaimana yang dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w yang aku lebih cintai daripada isteri dan hartaku.” ( Shahih Muslim:1962)

4. Puasa sunat dengan ketiadaan izin suami.

Puasa isteri tanpa izin suami padahal si suami masih hidup adalah berdasarkan sabda Rasulullah S.A.W: “Tidak halal bagi seseorang perempuan mengerjakan puasa sunat sedang suaminya ada bersama melainkan dengan izinnya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Hadis ini menjadi dalil bahawa isteri dilarang untuk mengerjakan puasa sunat melainkan dengan izin suaminya kecuali kalau suaminya tidak ada bersama kerana pergi keluar negeri maka ia boleh mengerjakan puasa sunat dan tidak memerlukan izin suaminya. Ini kerana, hak suami adalah satu perkara yang wajib dan tidak boleh dicuaikan kerana melakukan suatu yang sunat.
Puasa pada hari Arafah yakni bagi orang-orang yang berada di Arafah, kerana Rasulullah S.A W melarang puasa pada hari Arafah bagi orang yang berada di Arafah.[6]

Puasa akhir Syaaban, kerana Rasulullah S.A.W bersabda: “ jika Syaaban telah berlalu setengah, maka janganlah kalian berpuasa.” ( Riwayat  Abu Daud dan Al Baihaqi, di shahihkan oleh Ibnu Hibban)


3.4  PUASA YANG DIHARAMKAN

1. Puasa pada kedua-dua hari raya.

Alim Ulama telah ijma ( sekata) tentang haramnya berpuasa pada kedua-dua hari raya iaitu hari raya Aidilfitri dan hari raya Aidiladha sama ada puasa wajib atau puasa sunat. Dari Abu ‘Ubayd, katanya: Aku telah hadir merayakan hari raya bersama-sama dengan Saiyidina Umar bin al khattab r.a, lalu dia berkata: “ Hari raya ini dan hari raya yang satu lagi, Rasulullah S.A.W telah melarang berpuasa padanya, iaitu hari raya Aidilfitri setelah kamu sempurnakan puasa kamu dan hari raya Aidiladha untuk kamu makan dari daging korban kamu.” ( Riwayat Bukhari)

2. Puasa pada hari-hari Tasyriq.

Hari-hari Tasyriq ialah tiga hari yang mengiringi hari raya haji iaitu hari yang kesebelas kedua belas dan ketiga belas. Dalam masa inilah jemaah haji mengerjakan ibadat haji dan sedang berhimpun di Mina. Larangan berpuasa pada ketiga-tiga hari yang tersebut ada diterangkan dalam hadis dari Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah S.A.W telah mengutuskan Abdullah bin Huzafah menyeru di merata-rata tempat, di Mina, katanya: “Janganlah kamu berpuasa pada (ketiga-tiga) hari tasyriq ini, kerana ditentukan untuk kamu menikmati makan minum (dengan gembira) dan untuk kamu mengingati Allah azza wa jalla (dengan takbir dan tahmid)” (Rowayat Imam Ahmad).

3. Puasa Hari Syak

Hari syak adalah hari yang diharamkan ke atasnya berpuasa, namun jika ia terkena pada hari untuk menunaikan nazar puasa, maka diharuskan ia  berpuasa. Berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Ammar bin Yasir:
“Barang siapa yang berpuasa pada hari di mana orang ramai merasa syak padanya (hari Syak), maka sesungguhnya dia telah menderhakai Abu Al Qasim (Nabi S.A.W)” ( Riwayat At Tirmidzi)

4.0   PERKARA-PERKARA YANG MEMBATALKAN PUASA

Terdapat beberapa perbuatan yang wajib dijauhi oleh orang yang berpuasa, kerana sekiranya perbuatan-perbuatan tersebut dilakukan pada siang hari di bulan Ramadhan, ianya akan membatalkan puasa dan mungkin akan menjadikan ia berdosa. Perkara-perkara tersebut adalah sebagaimana berikut:
1.    
  Makan dan minum  dengan sengaja (ijmak ulamak) berdalilkan pemahaman dari ayat Allah; “..maka sekarang setubuhilah isteri-isteri kamu dan carilah apa yang telah ditetapkan oleh Allah bagi kamu; dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam (kegelapan malam) iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib)…”.
                                                                                                      (Al-Baqarah;187)

Dengan demikian, dapat difahami bahawa puasa itu adalah menahan diri dari makan dan minum. Ini kerana sekiranya orang berpuasa sengaja makan dan minum bererti ia telah berbuka (tidak berpuasa). Jika orang yang sedang berpuasa melakukannya atas sebab lupa, salah atau dipaksa, maka ianya tidak membatalkan puasanya. Perkara ini adalah berdasarkan dalil-dalil sebagaimana berikut:

            Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“ Jika seseorang itu terlupa sehingga dia makan dan minum, hendaklah dia menyempurnakan puasanya, kerana sesungguhnya Allah yang memberinya makan dan minum.” 
                                                                  (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

“ Sesungguhnya Allah memberi maaf kepada umatku kerana salah atau lupa dan kerana dipaksa.”
 (Hadis Riwayat at-Thahawi , al-Hakim, Ibnu Hazm di dalam al-Ihkam ad-Daruquthni melalui dua jalan dari al-Auza’i, dari ‘Atha’ bin Abi Rabah, dari Ubaid bin ‘Umair , dari Ibnu ‘Abbas )

2.      Muntah dengan sengaja walaupun sedikit (berdasarkan pandangan Imam Malik dan Syafi’ie) berdalilkan hadis Nabi s.a.w.; “Sesiapa yang terpaksa muntah, maka (tidaklah batal puasanya) dan ia tidak wajib mengqadha’ dan sesiapa yang sengaja muntah, maka (batallah puasanya) dan ia wajib mengqadhanya”
(Hadis Riwayat Imam Abu Daud,Tirmizi, an-Nasai dan lain-lain dari Abu Hurairah r.a.).

 Mengikut pandangan Imam Abu Hanifah; tidak batal puasa kecuali banyak (penuh mulut). Jika muntah berlaku tanpa sengaja tidak batal puasa dengan ijmak ulamak.Barangsiapa yang muntah kerana terpaksa atau tidak sengaja, maka tidak membatalkan puasanya. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“ Barangsiapa yang terpaksa muntah, maka tidak wajib baginya untuk mengqadha puasanya, dan barangsiapa muntah dengan sengaja, maka wajib baginya mengqadhakan puasanya.”
                                           (Hadis Riwayat Abu Dawud, at-Tirmidzi, Ibnu Majah)

Perintah mengqadha juga terdapat di dalam riwayat Mu’adzah, dia berkata:

“ Aku pernah bertanya kepada ‘Aisyah, “ Mengapa orang haid mengqadha puasa tetapi tidak mengqadha solat?” ‘Aisyah berkata, “Apakah engkau wanita Haruri”( Haruri dinisbahkan kepada Harura’(iaitu) negeri yang jaraknya 2 batu dari Kufah. Mereka yang memiliki sikap membantah dinisbahkan kepada kelompok tersebut (kelompok khawarij). Aku menjawab, “Aku bukan Haruri, tetapi hanya (sekadar) bertanya.” ‘Aisyah berkata, “Kami pun haid ketika puasa, tetapi kami hanya diperintahkan untuk mengqadha puasa, tidak diperintahkan untuk mengqadha solat.”(Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

3.      Bersetubuh dengan isteri pada siang hari bulan Ramadhan walaupun tanpa keluar mani (ijmak ulamak).

Imam asy-Syaukani berkata (Dararil Mudhiyyah): “Jima’ dengan sengaja, tidak ada ikhtilaf (perbezaan pendapat) padanya bahawa perkara tersebut membatalkan puasa, adapun jika jima’ tersebut terjadi kerana lupa, maka sebahagian ulama menganggapnya sama dengan orang yang makan dan minum dengan tidak sengaja.”

Ibnul Qayyim berkata (Zaadul Ma’ad), “al-Quran menunjukkan bahawa jima’ membatalkan puasa sebagaimana halnya makan dan minum, tidak ada perbezaan pendapat dalam perkara ini.” Dalilnya adalah firman Allah:

“Sekarang campurilah mereka dan carilah apa yang telah ditetapkan Allah untuk kalian.”
                                                                                              (Al-Baqarah,2:187)

Diizinkan bergaul (dengan isterinya) di malam hari, maka dapat kita fahami bahawa puasa itu dari makan, minum dan jima’. Barangsiapa yang membatalkan puasanya dengan jima’, maka dia harus mengqadhanya dan membayar kafarat. Dalilnya adalah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, (dia berkata):

“ Pernah datang seseorang kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam kemudian berkata, “Ya Rasulullah, binasalah aku!” Rasulullah bertanya, “Apakah yang membuatmu binasa?” Orang itu menjawab, “Aku menjima’i isteriku di bulan Ramadhan.” Rasulullah bersabda, “Apakah kamu mampu memerdekakan  seorang budak?” Orang itu menjawab, “Tidak.” Rasulullah bersabda, “Apakah engkau mampu memberi makan enam puluh orang miskin?” Orang itu menjawab, “Tidak.” Rasulullah bersabda, “Duduklah.”Dia pun duduk. Kemudian ada yang mengirimkan (membawakan) satu wadah kurma kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Rasulullah bersabda, “Bersedekahlah dengan kurma ini.” Orang itu berkata “Tidak ada di antara dua kampung ini keluarga yang lebih miskin dari kami.” Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pun tertawa hingga terlihat gigi serinya, lalu beliau bersabda, “Ambillah, berilah  makan kepada keluargamu.”
                        (Riwayat Al-Bukhari , Muslim, At-Tirmidzi, Abu Dawud , Ibnu Majah)


4.      Suntikan yang mengandungi makanan. Iaitu menyalurkan zat makanan ke perut dengan maksud memberi makanan bagi orang yang sakit. Suntikan seperti ini membatalkan puasa, kerana memasukkan makanan kepada orang yang sedang berpuasa. Adapun jika suntikan tersebut tidak sampai kepada perut tetapi hanya ke darah, maka ini pun juga membatalkan puasa, kerana kandungan cecair tersebut kedudukannya menggantikan kedudukan makanan dan minuman. Kebanyakan orang yang pengsan dalam jangka waktu yang lama diberikan makanan dengan cara seperti ini, seperti jauluz (glukosa) dan salayin (garam/Sodium), demikian pula zat-zat yang diberikan kepada sebahagian orang-orang yang sakit asma, maka ini pun membatalkan puasa.

5.      Kedatangan haid dan nifas (ijmak ulamak); wanita apabila kedatangan haid atau nifas, maka batallah puasanya dengan sendirinya. Kemudian wajib ia menggantikan puasanya pada hari-hari lain di luar Ramadhan.

6.      Mengeluarkan air mani dengan perbuatan yang disengajakan seperti mengeluarkan dengan tangan (sama ada tangan sendiri atau tangan isteri), bercium atau berpelukan dengan isteri dan sebagainya. Adapun jika keluar mani kerana melihat atau berfikir/khayal, tidaklah membatalkan puasa kerana ia seumpama mimpi kecuali orang yang menjadi kebiasaan baginya. Namun begitu perbuatan tersebut  adalah makruh. Begitu juga,jika yang keluar adalah air mazi, tidaklah membatalkan puasa.

7.      Memasukkan sesuatu bukan makanan melalui saluran terbuka yang menyampai ke rongga perut, yakni memasukkan melalui mulut atau hidung. Perkara ini membatalkan puasa mengikut mazhab Syafi’ie, Malik dan jumhur ulamak dengan mengkiaskannya kepada makanan dan minuman.

8.      Memasukkan ubat melalui lubang dubur; membatalkan puasa mengikut jumhur ulamak kecuali Imam Malik (mengikut satu pandangannya) dan Imam Daud.

9.      Menitikkan air atau ubat ke dalam lubang telinga dan lubang kencing membatalkan puasa menurut Imam Syafi’ie. Begitu juga, menyedut ubat melalui hidung.

10.  Pengsan sepanjang hari akan membatalkan puasa dengan disepakati sekalian ulamak. Adapun tidur sepanjang hari tidak membatalkan puasa dengan ijmak juga.

11.  Gila. Jika seseorang itu menjadi gila, batallah puasanya kerana ia telah hilang darinya kelayakan untuk beribadah.

12.  Berbekam (mengeluarkan darah) batal puasa orang yang melakukan bekam mengikut Imam Ahmad. Jumhur ulamak tidak membatalkannya.

13.  Berniat keluar dari puasa. Dengan nial ini batal puasa mengikut Imam Ahmad. Menurut Abu Hanifah, majoriti ulamak mazhab Maliki dan yang rajih dalam mazhab Syafi’ie; tidak batal puasa.

5.0  RUKHSAH PUASA
Kewajipan berpuasa ke atas orang Islam apabila tiba bulan Ramadhan adalah jelas bagi berdasarkan firman Allah dalam Surah Al-Baqarah ayat 185 yang bermaksud:

“ Maka sesiapa di antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadhan (atau mengetahuinya), maka hendaklah dia berpuasa pada bulan itu.”

Walau bagaimanapun, Allah Subhanahu Wata’ala mengecualikan beberapa golongan yang tertentu seperti orang yang sakit dan orang yang musafir daripada kewajipan berpuasa seperti mana firman Allah dalam Surah Al-Baqarah ayat 185 juga yang bermaksud:

“ Sesiapa yamg sakit atau musafir (diharuskan berbuka dan hendaklah dia berpuasa) sebanyak hari yang telah ditinggalkan itu, pada hari-hari yang lain.”

5.1  MUSAFIR DAN ORANG SAKIT
Sesiapa yang meninggalkan puasa Ramadhan disebabkan sakit ataupun musafir, maka ai wajib mengqadha’nya sebelum datangnya bulan Ramadhan tahun berikutnya. Sekiranya ia tidak mengqadha’nya kerana tidak mengambil berat akan kewajipan tersebut sehingga masuk Ramadhan tahun berikutnya, maka ia berdosa dan diwajibkan qadha’ dan fidyah. Fidyah ialah memberi makan kepada orang-orang fakir dengan satu cupak makanan asasi untuk setiap hari yang ditinggalkan. Satu cupak bersamaan lebih kurang 600 gram dan akan bertambah dengan bertambahnya tahun.

Sekiranya keuzuran berterusan seperti sakit yang berterusan sehingga masuk bulan Ramadhan yang berikutnya, dia tidak dwajibkan qadha’ dan tidak perlu mengeluarkan fidyah kerana melewatkan qadha’ tersebut. Manakala, jika ia meninggal dunia, keadaan ini bergantung pada dua keadaan. Pertama, sekiranya ia mati sebelum mampu mengqadha’kannya, maka ia tidak berdosa dan tidak perlu meminta orang lain untuk mengqadha’kannya. Keadaan yang kedua pula, sekiranya ia mati selepas mampu untuk mengqadha’nya maka wali[7]nya disunatkan mengqadha’ hari-hari yang ditinggalkan bag pihaknya. Hal ini telah dijelaskan oleh Rasulullah SAW dalam hadisnya yang bermaksud:

Daripada Aisyah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “ Barangsiapa yang mati dan dia masih ada puasa yang tidak diqadha’ maka walinyalah yang berpuasa bagi pihaknya.”
                                                                                                 (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dalam pada itu, Rasulullah SAW juga telah bersabda dalam hadis lainnya yang bermaksud:

Daripada Ibnu Abbas RA, bahawa telah datang seorang lelaki menemui Nabi SAW dan berkata: “Wahai Rasulullah! Sesungguhnya ibuku telah mati dan telah meninggalkan satu bulan puasa, apakah aku perlu mengqadha’kannya bagi pihaknya? “ Jawab Baginda: “Ya, hutang Allah lebih berhak untuk dijelaskan.”

Puasa orang lain bagi pihaknya adalah sah apabila mendapat keizinan daripada salah seorang kerabatnya. Sekiranya dia berpuasa tanpa mendapat keizinan dan wasiat daripada si mati, maka puasa ganti tersebut adalah tidak sah. Manakala, jika tidak ada seorang pun yang berpuasa bagi pihaknya, maka hendaklah dikeluarkan satu cupak makanan bagi setiap hari yang ditinggalkan. Makanan tersebut wajib dikeluarkan daripada harta pusaka yang ditinggalkan, sama seperti hutang. Sekiranya dia tidak memiliki harta, maka orang lain boleh mengeluarkan bagi pihaknya dan terlepaslah dosanya sepertimana hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:

Daripada Ibnu Umar RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa yang mati sedangkan dia masih mempunyai puasa Ramadhan yang belum diqadha’kannya, hendaklah diberi makan seorang miskin bagi setiap hari yang ditinggalkan.”
                                                                                                               (Riwayat At-Tirmizi)
Daripada Ibnu Abbas Ra, bahawa Rasulullah SAW bersabda: “ Apabila seseorang itu sakit pada bulan Ramadhan, kemudian dia meninggal dunia dan tidak berpuasa, hendaklah diberi makan bagi pihaknya.”
                                                                                                            (Riwayat Abu Daud)

 5.2   ORANG YANG TERLALU TUA DAN PESAKIT YANG TIADA HARAPAN UNTUK SEMBUH

Apabila orang yang terlalu tua terpaksa berbuka puasa, dia wajib bersedekah satu cupak makanan asasi bagi setiap hari yang ditinggalkan seperti mana hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:


Daripada Atho’ bahawa Ibnu Abbas RA mendengar ayat Al-Quran dibacakan oleh Rasulullah yang bermaksud: “ Dan wajib atas orang-orang yang tdak berdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah dengan memberi makan orang-orang miskin.”
                                                                                                                (Riwayat Bukhari)
Ibnu Abbas berkata ayat ini tidak dimansukhkan. Ia ditujukan kepada lelaki dan wanita yang terlalu tua dan tidak mampu untuk berpuasa. Mereka hendaklah memberi makan kepada orang miskin bagi setiap hari yang ditinggalkan.
Dalam pada itu, bagi mereka yang sakit dan tiada harapan untuk sembuh, hukumnya adalah sama dengan orang yang terlalu tua yang tidak mampu untuk berpuasa. Mereka dibenarkan untuk berbuka puasa dan bersedekah satu cupak makanan asasi bagi setiap hari yang ditinggalkan.


5.3   PEREMPUAN HAMIL DAN MENYUSUKAN ANAK

Apabila wanita hamil dan yang menyusukan anak berbuka puasa, maka tindakannya itu sama ada kerana bimbang akan dirinya atau anaknya. Sekiranya ia berbuka kerana bimbang akan wujudnya mudharat terhadap dirinya apabila a berpuasa, maka a wajib qadha’ sebelum datang bulan Ramadhan yang berikutnya sepertimana hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:

Daripada Anas al-Kaba’i RA daripada Rasulullah SAW sabdanya: “ Sesungguhnya Allah SWT telah mengangkat puasa orang yang musafir (boleh berbuka puasa) dan telah mengurangkan sembahyangnya (boleh diqasar sembahyang) dan diangkat puasa daripada orang yang hamil dan sedang menyusukan anak.”                                          (Riwayat At-Tirmizi dan Abu Daud)

Maksud mengurangkan sembahyang ialah memberi kelonggaran untuk mengqasarkan sembahyang. Manakala, maksud mengangkat puasa ialah membenarkan berbuka dan diminta berbuka dan diminta supaya mengqadha’nya.
Apabila perempuan hamil berbuka puasa kerana bimbang akan anaknya seperti bimbang akan berlakunya keguguran sekiranya dia berpuasa atau perempuan yang menyusukan anak bimbang akan kekurangan susunya lalu anaknya itu akan mendapat mudharat sekiranya dia berpuasa, dalam keadaan ia wajib qadha’ dan bersedekah satu cupak makanan asasi bagi setiap hari yang ditinggalkan seperti mana Abu Daud meriwayatkan daripada Ibnu Abbas RA mengenai ayat Al-Quran yang bermaksud:

“ Dan wajib atas orang-orang yang tdak berdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah dengan memberi makan orang-orang miskin.”

Beliau berkata bahawa ayat ini merupakan rukhsah bagi lelaki dan wanita yang terlalu tua dan tidak mampu untuk berpuasa lalu mereka berbuka. Maka, mereka hendaklah memberi makan kepada orang miskin bagi setiap hari yang ditinggalkan. Ayat ini juga merupakan rukhsah bagi wanita hamil dan yang sedang menyusukan anak sekiranya mereka bimbang terhadap kesihatan akan anaknya, mereka boleh berbuka dan hendaklah memberi makan fakir miskin.


5.1 QADA PUASA
Definisi qada  puasa ialah membayar kewajipan sesudah waktunya .Seperti contoh orang yang ketinggalan puasanya kerana haid sebanyak 3 hari.Maka diwajibkan ke atasnya menggantikan  puasanya sebanyak 3 hari di bulan lain .Kewajipan ini telah dijelaskan lagi dengan sebuah hadis daripada Aisyah.
Diriwayatkan:

Dari Aisyah R.A. katanya: “Kami disuruh oleh Rasullulah S.A.W. mengqadakan puasa dan tidak disuruhnya mengqadakan  sembahyang”
[hadis riwayat Imam Bukhari]

 Seperti dalam pengetahuan kita,puasa Ramadhan telah difardhukan oleh Allah S.W.T pada bulan Sya’ban tahun kedua Hijrah.Pada nisbahnya,puasa telah diamalkan oleh umat terdahulu dan juga ahli Kitab yang sezaman dengan Rasullulah S.A.W.
Firman Allah S.W.T dalam surah Al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud:


 
“Wahai orang-orang yang beriman!kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana yang telah  diwajibkan ke atas umat-umat terdahulu daripada kamu supaya kamu bertaqwa”

Justeru,perintah Allah wajib diikuti  dan dipraktikkan dengan bersungguh agar redha Allah S.W.T akan kita gapai.Namun begitu,terdapat sebilangan golongan yang dipersetujui oleh jumhur ulamak  wajib mengqadakan puasa iaitu golongan yang uzur atau orang yang sakit dan tiada upaya dalam kudratnya,atau orang yang apabila berpuasa maka  akan  bertambah kesakitannya.Maka,orang itu boleh berbuka dan wajib mengqadakan puasanya apabila sudah sembuh dari kesakitannya.Orang yang meninggalkan puasa kerana uzur itu wajib mengqadakan puasanya dengan segera.Namun begitu,sebahagian jumhur ulamak  berpendapat tidak wajib bersegera tetapi sepanjang tahun itu adalah masa untuk mengqadakan puasa.perbezaan pendapat telah timbul dalam kalangan para jumhur ulamak salaf  berkaitan dengan  qada puasa.

Firman Allah S.W.T  dalam surah Al-Baqarah ayat 185 yang bermaksud:

 “Barangsiapa yang sakit dalam perjalanan maka ia boleh puasa di lain hari yakni sesudah bulan Ramadhan sebanyak hari yang ditinggalkan”

Pendapat pertama yang mengatakan bahawa orang yang diberi kelonggaran itu wajib menqadakan puasanya apabila sudah pulih dari keuzuran.Manakala pendapat kedua pula mengatakan bahawa ayat tersebut hanya menyuruh mengqadakan tidak ditentukan hari di mana dia wajib mengqadakan puasanya.Maka,orang itu dibolehkan  untuk  memilih hari untuk mengqadakan puasanya diantara bulan Ramadhan yang baru dilaluinya sehinggalah tiba Ramadhan akan datang.

Kata Aisyah R.A : “tidak pernah saya mengqadakan puasa yang saya tinggalkan pada bulan Ramadhan melainkan pada bulan Sya’ban  sampai Rasullulah S.A.W.  telah meninggal dunia”

Hadis Riwayat At-tirmidzi dan Ibnu Huzaimah.

Selain itu,ada persoalan mengenai golongan yang berbekam .Bolehkah kita berbekam?..Berbekam pada siang hari bagi orang yang berpuasa adakah batal puasa dan wajibkah mengqadakan puasanya.

Sabda Rasullulah S.A.W:
Dari Ibnu Abbas R.A : “sesungguhnya Nabi Muhammad S.A.W. telah berbekam semasa dalam ihramnya.dan beliau berbekam pula sewaktu Baginda berpuasa”.
[hadis riwayat Bukhari]

Ulama tabiin lain berpendapat bahawa berbekam itu membatalkan puasa.Maka apabila ada perkara yang membatalkan puasa maka wajiblah ke atasnya menggantikan puasanya atau lebih tepat lagi mengqadakan puasa yang ditinggalkannya.

 Menurut sabda Rasullulah S.A.W. berkata: “berbukalah(batallah puasa) bagi orang yang berbekam dan dibekam”
[Hadis riwayat Ahmad dan At-tirmidzi]

Hadis yang pertama lebih kuat berbanding dengan hadis yang  kedua,maka pendapat yang diterima dari hadis pertama lebih kukuh untuk dijadikan asas mengenai isu berbekam ini.
Kemudian,bagi golongan wanita yang hamil atau menyusukan anak yang bimbang akan keselamatan dirinya serta bayinya dibolehkan berbuka dan dia wajib mengqadakan puasanya.Dia juga wajib membayar fidyah sebanyak satu cupak makanan asasi bagi setiap hari yang ditinggalkannya.Makanan asasi tersebut adalah bergantung kepada makanan ruji masyarakat negara tersebut  misalnya Malaysia.Makanan rujinya adalah nasi.Maka golongan yang melaksanakan fidyah wajib memberi  secupak beras bagi setiap hari yang ditinggalkannya.satu cupak lebih kurang sama dengan 600 gram.

Apakah fidyah?

Fidyah ialah bayaran denda yang dikenakan ke atas golongan yang tidak menggantikan puasa mereka.Menurut pendapat Daruquthni ,tidak ada sabitan  hadis daripada Baginda Rasullulah S.A.W. mengenai fidyah.Hal ini kerana Daruquthni mengatakan bahawa itu hanyalah perkataan daripada Abu Hurairah.Selain itu,secara nisbahnya fidyah yang telah dinyatakan oleh Allah Azza Wa Jalla seperti  di dalam surah Al Baqarah:184)

“…Dan wajib ke atas orang-orang yang payah/sukar mengerjakan puasa (kerana tua, sakit yang tiada kemungkinan sembuh dan sebagainya) membayar fidyah, iaitu memberi makan seorang miskin (bagi tiap-tiap hari yang ditinggalkan puasanya)…”.

Ada sebahagian persoalan tentang menggantikan puasa orang lain.Bolehkah?.Orang yang meninggalkan puasa Ramadhan atas sebab keuzuran lalu ia mati sebelum dapat mengqadakan puasanya ‘ uzurnya terus-menerus sehingga dia mati.Maka jumhur ulamak berpendapat bahawa golongan ini tidak berdosa dan tidak wajib ke atasnya mengqadakan puasanya dan tidak wajib membayar fidyah.Islam itu agama yang mudah dan tidak membebankan para umatnya.Namun ,apabila ada keadaan di mana si mati itu berkemungkinan untuk mengqadakan puasanya tetapi tidak dikerjakan maka hendaklah waris-waris terdekat mengqadakan puasanya.

Sabda Rasullulah S.A.W:

Dari Aisyah R.A. telah berkata Rasullulah S.A.W. “barangsipa yang mati dengan meninggalkan kewajipan yakni qada puasa maka walinya yang akan menggantikannya”
[hadis riwayat Bukhari dan Muslim]

Ada sesetengah pendapat yang mengatakan bahawa puasa yang dikerjakan untuk orang lain hanyalah puasa nazar.Hal ini disahihkan dengan  sabda daripada Rasullulah S.A.W.

Dari Ibnu Abbas R.A. sesungguhnya seorang perempuan datang bertanya kepada Rasullulah S.A.W.,katanya : “ibu saya telah meninggal dunia dan ia ketinggalan puasa nazar yang belum dikerjakannya,adakah boleh saya menggantikan puasa ibu saya?”jawab Rasullulah S.A.W:   “bagaimana pendapatmu apabila ibumu itu mempunyai hutang kemudian engkau membayar hutang itu.adakah terbayar hutang ibumu itu?”jawab perempuan itu: “tentu terbayar”.Rasullulah S.A.W berkata: “berpuasalah kamu untuk menggantikan puasa ibumu”

[riwayat Muslim]

Selain dari pendapat tersebut ada pendapat yang mengatakan bahawa sebahagian  harta peninggalan si mati hendaklah disedekahkan kepada fakir miskin pada tiap-tiap hari qada.3/4 liter makanan yang mengenyangkan.pendapat ini disokong melalui sepotong hadis
Sabda Rasullulah S.A.W:

Dari Ibnu Umar telah berkata Rasullulah S.A.W : “barangsiapa yang mati dan ia ada meninggalkan kewajipan qada puasa,maka hendaklah dibayarkan dengan makanan tiap-tiap hari untuk seorang miskin”.

[hadis riwayat At-tirmidzi]

At-tirmidzi mengakui bahawa hadis ini adalah ghaib kerana hadis ini hanya sampai kepada Ibnu Umar R.A. dan tidak sampai kepada Rasullulah S.A.W.,maka dengan sendirinya pendapat pertama adalah lebih kuat dari segi penghujahan kerana hadisnya sahih.
Selain itu,keadaan refleks di mana terjadinya perubahan fikah menjadikan satu perkara  iaitu bolehkah kita mengqadakan puasa disulami dengan puasa sunat.Hal ini seringkali menjadi pertelingkahan para jumhur ulama-ulama  salaf.Namun begitu,terdapat beberapa pendapat mengenai perkara ini. Selain itu, penggabungan  puasa ganti ramadhan dan puasa yang mana satu lebih perlu diutamakan?
Jika ada yang bertanya manakah yang lebih baik di antara puasa sunat syawwal dan puasa qadha?. Jawapannya sudah tentu adalah puasa Qadha.

Ini terbukti dari hadis Qudsi yang sohih:

وما تقرب إلي عبدي بشيء أحب إلي مما افترضت عليه وما يزال عبدي يتقرب إلي بالنوافل حتى أحبه

Ertinya : "..dan tidaklah hampir kepadaku seorang hambaKu dengan apa juapun, maka yang lebih ku sukai adalah mereka melaksanakan amalan fardhu/wajib ke atas mereka, dan sentiasalah mereka ingin menghampirkan diri mereka kepadaKu dengan mengerjakan amalan sunat sehinggalah aku kasih kepadanya..."
(Riwayat Al- Bukhari no 6021)

Hadis tadi sebagai asas keutamaan, walau bagaimanapun dari sudut praktikal jawapannya mungkin berbeza menurut keadaan diri seseorang.

Maksudnya begini, jika seseorang itu perlu Qadha puasanya selama 30, berpuluh atau berbelas hari (kerana nifas atau haid yang lama di bulan Ramadan sebagai contoh) dan tubuhnya juga sihat dan di yakini masih kuat. Eloklah ia mengerjakan puasa sunat Syawwal terlebih dahulu di ketika itu . Ini adalah kerana waktu sunnat puasa Syawal yang singkat berbanding Qadha yang dilaksanakan  sepanjang tahun.

Bagaimanapun harus di ingat, walaupun waktu bagi puasa Qadha adalah panjang, kita tetap tidak pasti adakah kita mampu sampai ke tarikh itu atau ajal menjelang dahulu.
Seseorang yang mati sebelum mengganti puasa Ramadannya tetapi sudah berpuasa sunat Syawal akan pasti bermasalah kerana ia dikira masih berhutang dengan Allah SWT.

Bagaimanapun seseorang yang mati setelah berjaya menggantikan puasanya tetapi tidak sempat berpuasa sunat Syawal, pastinya tiada sebarang masalah pun, malah mungkin ia juga mungkin boleh mendapat pahala sunat syawal itu sekali.

Berdasarkan sabda Nabi SAW:

‏إن الله كتب الحسنات والسيئات ثم بين ذلك فمن هم بحسنة فلم يعملها كتبها الله له عنده حسنة كاملة فإن هو هم بها فعملها كتبها الله له عنده عشر حسنات إلى سبع مائة ضعف إلى أضعاف كثيرة ومن هم بسيئة فلم يعملها كتبها الله له عنده حسنة كاملة فإن هو هم بها فعملها كتبها الله له سيئة واحدة

Ertinya " ... barangsiapa yang beringinan melakukan kebaikan tetapi tidak melakukannya, telah di tuliskan oleh Allah baginya pahala penuh, maka jika ia beringinan dan kemudian melakukannya, di tuliskan 10 pahala sehingga 700 kali ganda.."

( Riwayat Al-Bukhari, no 6010)

Kita harus memahami bahawa darjat puasa Qadha adalah lebih tinggi dan tanggungjawab bagi menunaikannya adalah jauh lebih besar dari sunat Syawal, ini kerana puasa qadha adalah puasa wajib dan merupakan ‘hutang' ibadah dengan Allah berbanding puasa syawal yang hanyalah sebagai tambahan pahala.
'Utaibi dan juga di sebutkan oleh Dr Yusof Al-Qaradawi di dalam kitabnya Fiqh Awlawiyyat. Ini ada asasnya kerana,
 Berdasarkan hadis  Nabi Muhammad SAW:
من صام رمضان ثم أتبعه ستاً من شوال فكأنما صام الدهر
Ertinya: "Barangsiapa telah berpuasa Ramadan kemudian diikuti dengan 6 hari dari dari
Syawal (puasa) maka ia adalah seperti (pahala) puasa ad-Dahr (setahun)"
(Riwayat Al-Bukhari, no 6502).

Secara nisbahnya qada puasa menjadi konkrit hubungan kita dengan Allah Azza Wa Jalla iaitu kesempurnaan rukun islam serta konotasi diantara perkara sunat dengan perkara wajib.
Amalan wajib (qadha) memerlukan niat yang ‘jazam' (tepat dan pasti) maka tindakan mengabungkan ia dengan niat puasa sunat mungkin boleh merosakkannya kepastiannya. Kerana itulah ulama yang mengizinkannya mencadangkan agar diniat puasa qadha sahaja, adapun syawal itu dipendam sahaja dengan harapan Allah menerimanya.

Kafarah?..mungkin jarang untuk kita menyebut tentang kafarah puasa.Ingin kami sentuh serba sedikit tentang kafarah puasa.Kafarah ialah merosakkan puasa pada siang harinya di bulan Ramadhan dengan melakukan jima’ dengan syarat pelakunya mengetahui dirinya berpuasa,selain perkara yang dilakukan adalah bertentangan dan tidak ada rukhsah yang disebabkan musafir.Kafarah hanya diwajibkan kepada suami yang menjimak sahaja.Bagi isteri yang menjimak pula tidak wajib walaupun mereka bersama-sama berpuasa.Hal ini kerana jenayah orang yang berjimak adalah besar.

Hal ini seperti yang terjadi di dalam hadis yang berbunyi:

Kejadian  bahawa seorang lelaki datang menemui Rasullulah S.A.W. katanya.Celakalah saya,ya  Rasullulah!.jawab Rasullulah S.A.W. : “Apakah yang telah mencelakakan engkau?jawab lelaki itu: “saya telah bersetubuh dengan isteriku di siang hari di bulan Ramadhan.Rasullulah S.A.W. berkata: “Sanggupkah engkau memerdekakan hamba? jawab lelaki itu:tidak.Rasullulah S.A.W. berkata:Kuatkah engkau berpuasa dua bulan berturut-turut? jawab lelaki itu:tidak.Kata Rasullulah S.A.W. :adakah engkau mempunyai makanan guna untuk diberikan kepada enam puluh orang fakir miskin.jawab lelaki itu:tidak.kemudian lelaki itu duduk Maka diberikan orang ke atas Nabi Muhammad S.A.W. sebuah bakul besar berisi tamar.Rasullulah S.A.W. berkata:sedekahkanlah tamar ini.kata lelaki itu :kepada siapa?kepada yang lebih miskin daripada saya?Demi Allah tidak  ada seorang pun yang lebih berhajat kepada makanan lain dari kami seisi rumah.Rasullulah S.A.W. tertawa dan berkata:Pulanglah,berikan tamar ini kepada isi rumahmu.

[hadis riwayat Bukhari dan Muslim]

Kesimpulan
Puasa pada bulan Ramadhan adalah salah satu syariat yang  di wajibkan ke atas umat islam pada masanya. Namun pemikiran kita tidak seharusnya disempitkan dengan puasa hanya pada bulan Ramadhan saja, bahkan banyak jenis-jenis puasa yang boleh kita lakukan seterusnya menjadi ibadah  yang dicintai bagi kebanyakan hamba-hambaNYA  yang ingin mendekatkan diri dengan Allah S.W.T. Puasa merupakan ubat yang sebenar untuk menguatkan minda dan tubuh badan. Bahkan matlamat utamanya untuk menjadi perawat hati juga merehatkan perut yang sudah bekerja selama mana umur kita hari ini. Saat perut sedang kosong, otak boleh bergerak maju, badan menjadi ringan memberi implikasi hebat pada diri sendiri. Jauh dari sudut kemanusiaan, kita merasa bagaimana saudara-saudara kita yang lain seperti di Pakistan, Iraq , Palestin dan banyak lagi umat islam yang mempunyai masalah kesukaran mendapat makanan dan mengalami kelaparan rasakan. Kebanyakan dari mereka berpuasa tetapi mereka memperoleh badan yang sihat dan mampu berjihad terus di tempat mereka untuk hidup. Susahnya kehidupan mereka di sana, sehinggakan sehari mungkin mereka hanya memakan roti dan air kosong sahaja sebagai makanan harian. Lain keadaannya di negara yang mempunyai terlalu ramai penduduk, contohnya seperti di India, setiap hari ada sahaja mayat yang bergelimpangan di tepi jalan akibat mati kebuluran. Terkadang kita tidak terfikir langsung mengenai keadaan mereka di sana sedang kita di sini di asak dengan makanan yang cukup sehari-hari. Rohani merasai seterusnya menjentik jiwa dan minda untuk bergerak.  Dari kajian yang telah kami lakukan ini, maka terurailah tali-tali persoalan yang membelit minda kita tentang kewajipan puasa itu sendiri pada bulan Ramadhan terutamanya dan puasa-puasa yang lain. Sebagai umat Nabi Muhammad S.A.W seterusnya menjadi umat Islam di muka bumi Allah dan dilantik oleh Allah S.W.T sebagai Khalifah, kita seharusnya mengerti keperluan puasa yang Allah wajibkan pada masa tertentu sebagai ujian ketahanan mental dan fizikal diri. Kita seharusnya mengerti dan faham tentang rukun-rukunnya, syarat-syarat orang yang wajib, harus berpuasa. Jikalau kita tidak mengerti tentang hukum- hukum yang berada padanya saat kita mengerjakan ibadah ini, ditakuti tidak sempurna ibadah puasa yang kita lakukan lantas adakah puasa kita itu di terima oleh Allah S.W.T? Dua perkara yang Rasulullah tinggalkan untuk kita yakni Al Quran dan Assunnah sebagai panduannya dan dua perkara juga merupakan  penyebab ibadah kita di terima yakni hati yang ikhlas dan bertepatan dengan Sunnah nabina. Akhir sekali, sebagai umat islam, wajiblah ke atas kita untuk menuntut ilmu yang bertepatan dengan Al Quran dan hadis bahkan seterusnya Ijma dan sebagainya. Kefahaman dalam beribadat harus di cari dan tidak datang dengan sendirinya. Berpuasalah agar ia menguatkan dan kurangkanlah makan dan tidur sebagai ubat yang membangunkan kita di malam hari. Beramallah hari ini ibarat mati esok hari. Wallahualamu.
Sabda nabi: "Sesiapa yang Allah mengkehendaki kebaikan kepadanya, Dia akan menjadikannya faham dalam agama." (Riwayat Bukhari dan Muslim).

















Bibiliografi

Mahmood Zuhdi Hj Ab Majid, 2010, Pengantar Pengajian Syariah, Kuala Lumpur, Al Baian corporation sdn bhd.
Dr Mustafa Al Khin,2011, kitab Fikah Mazhab Syafie, Kuala Lumpur,  Pustaka Salam sdn Bhd.
www.E-syariah Wilayah Persekutuan.gov.my
H. Sulaiman Rasjid, 1954 Fiqh Islam, Jakarta, Penerbit Attahiriyah.
Abu Bakar Jabir Al Jazairy,2006, Jakarta, Pustaka Dini Sdn Bhd.








[1] Gelarannya ialah Abu Jaafar, kitabnya yang termahsyur dikenali sebagai ‘Tafsir At-Thobariyyi’ iaitu satu-satunya kitab tafsir yang paling agung kerana menjadi rujukan utama oleh para mufassirin.
[2]  Sohih Bukhari, Muslim wa Attirmizi
[3]  Fiqh Al Sunnah (1:446) Hadis ini hadis Hasan menurut Imam Tirmizi.
[4] Fiqh Al Sunnah (1:446)
[5] Diriwayatkan oleh Al Haithami dalam Majma’ Az Zawaid dan oleh Al Bazzar. Sanad Hadis ini baik dan ada dalam Shahih bukhari dan Shahih Muslim.
[6] Diriwayatkan oleh Ahmad dan Al Hakim.
[7] Kaum kerabat atau ahli keluarga terdekat.