Saturday 24 September 2011

Kedudukan Agama Islam dalam Perlembagaan dan Bidang Kuasa Mahkamah Syariah

Pengenalan
   
   Kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan dan perlembagaan negeri sudah banyak kali dibincangkan tetapi ia masih tidak jelas dan terus menjadi perbahasan. Terdapat banyak sebab mengapa fenomena itu wujud. Antaranya termasuklah sifat peruntukan itu sendiri yang tidak begitu jelas. Malahan, hal ini berkait dengan faktor yang lebih besar yakni sejarah yang melatari pembentukan kerangka perlembagaan itu sendiri. Dalam keadaan yang mengelirukan itu rujukan perlu dibuat terhadap kes-kes mahkamah. Tetapi, dalam isu kedudukan Islam dalam perlembagaan, keputusan-keputusan mahkamah tidak kesemuanya menjernihkan keadaan. Malah, ada di antara keputusan-keputusan tersebut itu yang tidak begitu serasi dalam perlembagaan secara keseluruhannya. Ketidakserasian tersebut menimbulkan perbahasan dalam kalangan sarjana dan pengamal undang-undang .
       
Telah banyak pandangan dikemukakan berhubung dengan isu ini. Selain memberikan pandangan berdasarkan sejarah dan peruntukan perlembagaan, ada juga yang memberikan pandangan berdasarkan kepada kes-kes mahkamah. Mengenai peruntukan di bawah Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan, ada juga yang berpendapat bahawa peruntukan mengenai Islam sebagaimana yang ada sekarang, yang pada hakikatnya merupakan ssatu bentuk kompromi antara tuntutan yang mahukan Negara Islam yang tulen dengan mereka yang menunutut Negara ini dibina atas dasar sekularisme.
     
Tambahan lagi, agak jelas bahawa kedudukan yang ada sekarang masih tidak jelas dan penuh dengan kekaburan. Kes-kes mahkamah yang mempunyai peranan penting menjelaskan makna peruntukan-peruntukan perlembagaan juga tidak kesemunya membantu dalam hal ini. Maka, bolehkah dikatakan bahawa Perlembagaan Persekutuan tidak mesra Islam?

    Berbicara tentang kedudukan Islam pasti tidak sempurna tanpa menyebut kedudukan undang-undang Islam atau undang-undang Syariah. Bidang kuasa mahkamah Syariah sebagaiman yang terkandung dalam Akta Mahkamah Syariah 1965 adalah terbatas. Oleh yang demikian, dapat kita katakana bahawa pelaksanaan undang-undang Syariah bukanlah hanya dihalang oleh Perkara 3 (1) atau tafsirannya dalm Perlembagaan Persekutuan, malahan statut-statut lain juga turut membataskan ruang lingkup hukum Syariah.
   
Kedudukan mahkamah Syariah sebagai mahkamah agama ini dapat difahami secara jelas daripada Jadual Kesembilan Senarai II, iaitu Senarai Negeri Akta Perlembagaan. Dalam Perkara I dalam senarai tersebut, Mahkamah Syariah telah disebut sebagai sebahagian daripada perkara-perkara yang terletak di bawah kuasa negeri. Dalam pada itu, Profesor Ahmad Ibrahim pernah menjuruskan perbincangan bidang kuasa mahkamah Syariah dari perspektif kedudukan pegawai-pegawai kehakiman Syariah dalam satu artikel yang diterbitkan dalam Jurnal Hukum dengan memfokuskan bidang kuasa Badan Perundangan Negeri dalam penggubalan undang-undang Islam dan kuasa menubuhkan mahkamah Syariah. Namun begitu, masih terdapat perkara-perkara yang bukan dalam bidang kuasa mahkamah Syariah seperti Probet dan Surat Kuasa Mentadbir harta pusaka orang Islam, yang masih tertakluk kepada Akta Probet dan Surat Kuasa Mentadbir, Akta Pusaka Kecil (Pembahagian), Penyiasatan Jenayah, Senarai I Perkara 4(e) dan Senarai I Perkara 3(a) Perlembagaan Persekutuan . Implikasi dari kedudukan ini, mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa yang amat terhad dan kadangkala kes-kes yang melibatkan orang Islam dibicarakan di mahkamah Sivil, walaupun melibatkan persoalan hukum syarak dan peruntukan undang-undang juga telah diadakan. Kedudukan sebegini telah mendapat kritikan yang hangat dari sarjana-sarjana Perundangan Parlimen. Maka, bagaimanakah penyelesaian untuk merungkai masalah konflik bidang kuasa ini?
       
2.1 ISLAM DALAM KERANGKA PERLEMBAGAAN

Satu  syor telah diberikan oleh parti perikatan  mengenai islam sebagai agama rasmi negara mulai tahun 1967  kepada suruhanjaya reid yang merangka perlembagaan berpaksikan penubuhan persekutuan Tanah Melayu. Dalam  memorandumnya, Parti perikatan  menjelaskan:

“ Agama untuk Malaya hendaklah agama islam, kepatuhan kepada prinsip ini hendaklah tidak mengenakan apa apa kehilangan upaya kepada anak negeri bukan islam yang menganut dan mengamal  agama mereka masing dan hendaklah tidak menyebabkan negara ini di sifatkan sebagai negara bukan sekular” [1]
                 
   Mengenai aama persekutuan, Perlembagaan memperuntukkan dalam perkara 3(1) bahawa  agama Islam merupakan agama persekutuan[2]. Suruhanjaya Reid menerima cadangan parti perikatan untuk meletakkan islam sebagai agama negara tanpa menyekat kebebasan agama-agama lain dan tanpa menolak konsep negara sekular, ia telah termaktub dalam perlembagaan persekutuan Tanah Melayu sehingga 16 hb. September, 1963, seterusnya dimasukkan ke dalam Perlembagaan Malaysia selepas pembentukan Malaysia apabila Sabah dan Sarawak di gabungkan bersama di Tanah Melayu.
                    
  Apabila keseluruhan perlembagaan persekutuan dilihat dari perspektif undang-undang perlembagaan, beberapa kesan dapat dilihat dari peruntukan perkara 3(1). Antaranya Perkara 160 memberi definisi Melayu sebagai seorang beragama islam, bercakap Melayu dan menurut adat istiadat Melayu. Melayu dan Islam adalah unsur yang bercantum dan tidak boleh dipisahkan untuk tujuan undang-undang dan perlembagaan. [3] Kemudiannya, Yang Di Pertuan Agong di lantik dalam kalangan raja-raja di negeri Melayu dan di dalam setiap perlembagaan negeri termasuk Perlembagaan Negeri Johor[4] mengkehendaki rajanya seorang yang berbangsa Melayu, beragama Islam dan dari keturunan raja. Ini dapat di lihat apabila Yang di Pertuan Agong mengangkat sumpah memegang jawatan, baginda mengangkat sumpah dengan didahului lafaz Wallahi, Wabillahi, Watallahi yang merupakan lafaz sumapah yang di kehendaki dalam agama islam.[5] Mengikut peruntukan Perkara 3 (3) Yang di Pertuan Agong adalah ketua agama islam di negeri-negeri Melaka, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak dan juga Wilayah Persekutuan yang tidak mempunyai raja. Seterusnya, Raja dan Sultan di negeri negeri yang beraja ialah ketua agama islam bagi negeri masing-masing[6]. Dalam menjalankan tugas sebagai ketua agama islam, Raja dan Sultan di negeri tersebut mempunyai budi bicara dan tidak terikat dengan nasihat majlis Mesyuarat Negeri. Semasa menjalani tugasnya, Sultan akan dibantu dan di nasihati oleh Majlis Agama negeri[7] masing -masing.
                    
Bagi menyelaraskan Pentadbiran berkenaan hal ehwal Islam di Malaysia, Majlis kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam telah ditubuhkan pada 17hb. Oktober, 1968 oleh Majlis Raja-Raja.[8] Keanggotaan Majlis ini telah diketuai oleh pengerusi iaitu Perdana, seorang wakil dari setiap negeri dan lima orang yang dilantik oleh Sultan dan Yang diPertuan Agong. Majlis ini ditugaskan untuk memberi nasihat atau membuat syor-syor mengenai apa-apa perkara yang dirujukkan kepadanya oleh Majlis Raja-Raja, mana- mana kerajaan negeri atau Majlis Agama negeri, dan menasihatkan majlis Raja-Raja, Kerajaan-Kerajaan Negeri dan Majlis-Majlis Agama Negeri berhubung perkara yang menyentuh undang-undang, pentadbiran dan pengajaran Islam dengan suatu pandangan untuk memperbaiki, menyelaras atau menggalakkan penyelarasan dalam undang-undang dan pentadbiran Islam.
                     
Dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan, Yang Di Pertuan Agong bertanggungjawab untuk melindungi hak istimewa orang-orang Melayu. Disebabkan Melayu dan Islam tidak boleh dipisahkan maka tugas menjaga hak-hak istimewa orang-orang Melayu juga di anggap dan termasuk dalam aspek menjaga dan melindungi agama islam. [9] Perkara 150 membenarkan parlimen atau Yang DiPertuan Agong meluluskan apa jua undang-undang untuk keperluan ketika darurat setelah ia diisytiharkan.  

 Perkara 76 menyebut bahawa Parlimen boleh membuat undang-undang mengenai perkara negeri tetapi dalam hal ehwal agama Islam, Undang-undang hanya boleh di buat setelah kerajaan kerajaan negeri yang terlibat dirujuk.
Peruntukan perkara 12 fasal (2) adalah, “Tiap-tiap agama adalah berhak menubuhkan dan menyelenggara institusi untuk pembelajaran kanak-kanak dalam agama kumpulan itu sendiri dan tidaklah boleh ada perbezaan semata-mata undang-undang berkaitan dengan institusi-institusi itu atau dalam pentadbiran mana-mana undang-undang itu, tetapi adalah sah bagi persekutuan atau sesuatu negeri menubuhkan atau menyelenggara institusi-institusi islam atau mengadakan atau membantu dalam mengadakan ajaran dalam agama islam dan melakukan apa-apa perbelanjaan sebagaimana yang diperlukan bagi maksud itu.”  Seksyen-seksyen 36 dan 37 Akta Pendidikan 1961 menghendaki sebarang sekolah yang menerima bantuan kerajaan hendaklah menyediakan dan mengajar pelajaran pendidikan Islam untuk memenuhi tujuan tersebut. Namun pada tahun 1976, perkara ini telah di pinda sehingga membawa perubahan yang menunjukkan bahawa bagi menyediakan bantuan kewangan untuk  pembiayaan dan bantuan institusi Islam dan Pengajaran islam, Pihak Pemerintah tidak perlu lagi mengadakan undang-undang persekutuan atau Negeri. [10]

2.2 PELAKSANAAN UNDANG-UNDANG ISLAM MELALUI KERAJAAN NEGERI

Walau pun Perkara 3 tidak menyebabkan perlaksanaan undang-undang Islam, terdapat beberapa peruntukan lain di dalam Perlembagaan yang menyentuh kedudukan undang-undang Islam iaitu Jadual Kesembilan yang membahagikan kuasa antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan.

Undang-undang Islam diletakkan di bawah Senarai Negeri. Ini bermakna kuasa perundangan dan pentadbiran undang-undang Islam adalah di bawah kuasa kerajaan Negeri. Badan yang berkuasa untuk membuat undang-undang berkaitan agama Islam adalah Dewan Undangan Negeri. Pada umumnya, Parlimen tidak berhak membuat undang-undang berkaitan agama Islam kecuali bagi Wilayah Persekutan.

Keadaan ini menjadikan tiap-tiap negeri perlu membuat enekmen tersendiri berkaitan perundangan dan pentadbiran Islam. Walau pun kebanyakan adalah hampir sama, namun terdapat juga perbezaan antara enekmen sesebuah negeri dengan negeri yang lain. Perbezaan undang-undang ini kadang-kadang menyebabkan timbil kelemahan dari sudut perlaksanaan undang-undang Islam ke atas penganut Islam di Malaysia.

Di samping itu skop undang-undang Islam yang boleh dikuatkuasakan oleh kerajaan negeri ini adalah terhad kepada perkara-perkara berbentuk undang-undang peribadi, undang-undang keluarga dan beberapa perkara lain seperti yang disebut oleh Senarai Negeri itu. Ini termasuklah hukum pewarisan, pertunangan, perkahwinan, perceraian, maskahwin, nafkah, pengambilan anak angkat, taraf anak, penjagaan anak, pemberian, pembahagian harta dan amanah bukan khairat, wakaf, amanah khairat, adat istiadat Melayu, zakat, fitrah, baitul mal, masjid dan surau.

Ia juga meliputi kesalahan jenayah syariah seperti yang berkaitan dengan rukun Islam serta peraturan bagi mengawal pengembangan iktikad dan kepercayaan antara penganut Islam, di samping perkara yang berkaitan dengan mahkamah Syariah seperti keanggotaan, penyusunan dan cara pentadbiran mahkamah tersebut.

Undang-undang yang meliputi perkara di atas juga terhad hanya kepada penganut agama Islam sahaja. Ia juga hanya boleh berkuatkuasa setakat tidak bercanggah dengan undang-undang Persekutuan.

2.3 KEDUDUKAN AGAMA ISLAM DALAM PERLEMBAGAAN
                 
  Undang-Undang Islam tertakluk di bawah bidang kuasa Dewan Undangan Negeri pada dasarnya. Namun begitu, perkara-perkara di dalam bidang kuasa mereka amatlah terhad. Senarai II, jadual kesembilan, perlembagaan menyatakan Perkara yang menjadi bidang kuasa mereka antaranya ialah dalam hal ehwal Keluarga, nikah, cerai, penjagaan anak, harta sepencarian, harta pusaka, wakaf dan beberapa perkara lain. Manakala dalam bidang kuasa jenayah ia hanyalah merangkumi kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh orang-orang Islam terhadap rukun-rukun islam.
                
   Kedudukan Istimewa Agama Islam telah terbukti dan terlihat  pada perlembagaan persekutuan, Perkara 3 (1) di mana Islam dijadikan sebagai agama bagi persekutuan[11]. Peruntukan ini menjadikan Islam sebagai suatu kekuatan meskipun Malaysia adalah sebuah negara sekular. Kita dapat melihat wujud toleransi apabila perkara 11 di peruntukkan dalam perlembagaan di mana perkara tersebut memaktubkan bahawa setiap individu adalah berhak menganuti, mengamal dan mengembangkan agama masing-masing di Malaysia[12], namun dalam pada itu, perkara 11(4) pula melarang pengembangan apa-apa iktikad atau kepercayaan agama bukan islam kepada orang islam[13].  Perkara 150 membenarkan parlimen atau Yang Di pertuan Agong meluluskan apa jua undang-undang untuk keperluan ketika darurat setelah ia diisytiharkan. Undang-undang untuk tujuan ini dibenarkan walaupun ia tidak konsisten dengan mana-mana peruntukan perlembagaan. Walaupun begitu terdapat satu perlindungan yang penting dalam fasal 6A, iaitu kuasa ini tidak boleh diperluaskan dengan apa-apa perkara mengenai hukum syara’ atau adat istiadat Melayu dan sebagainya.[14] Sebelum perlembagaan ke atas perkara 121 dipinda, Mahkamah sivil dan Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa bersama ke atas perkara tertentu yang  berkaitan dengan islam. Namun melalui fasal (1A) perkara 121, Mahkamah Sivil tidak lagi boleh membicarakan kes-kes berhubung dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah. [15] Perkara ini menegah mahkamah sivil daripada campur tangan dalam bidang kuasa mahkamah syariah.kedudukan agama islam juga banyak dikaitkan dengan sejarah awalnya iaitu persidangan durbar yang terdiri daripada raja-raja Melayu dari empat buah negeri dalam negeri-negeri Melayu bersekutu yang mula diadakan pada tahun 1897[16].hubungan antara islam dengan kesultanan Melayu memang tidak dapat dipisahkan sehingga sekarang apabila hasil daripada durbar inilah yang menjadikan agama islam sebagai unsur-unsur adat dalam perlembagaan negara.
                  
Kedudukan agama Islam sudah lama diperdebatkan.namun,nampak sudah hal ini bahawa masalah ini tidak jelas dan menuntut pelbagai persoalan.terdapat pelbagai faktor yang menjelaskan kekeliruan di sini antaranya ialah peruntukan itu sendiri adalah tidak jelas sama sekali.selain itu,sumber dari sejarah sendiri telah merungkaikan pembentukan kerangka perlembagaan itu sendiri.malaysia merupakan sebuah negara yang mengamalkan kaedah perundangan Common Law jadi,keputusan mahkamah menggunakan stare decisis  amat penting.malangnya,dalam isu agama Islam khususnya dalam perlembagaan,tidak kesemua keputusan mahkamah memuaskan.
             
  Ruang lingkup perbincangan tentang Islam dalam perlembagaan tidak sama dengan perbincangan tentang islam di Malaysia. Perbahasan mengenai kedudukan Islam dalam perlembagaan lebih tertumpu kepada peruntukan-peruntukan yang berkenaan yakni tafsiran dan perbahasan mengenai ruang lingkup dan implikasi peruntukan-peruntukan itu. Kedudukan agama Islam dalam perlembagaan dibincangkan dengan melihat hubungan antara orang-orang Melayu dengan Islam. Umum mengetahui bahawa agama Islam sangat berkait dengan kehidupan dan ketamadunan Melayu sepertimana pendapat Syed Muhammad Naquib Al-Attas yang mengatakan bahawa Islam mempunyai hierarki yang sangat penting dalam sejarah dan kebudayaan Melayu. Buktinya, ruang lingkup perjanjian antara Raja-raja Melayu dengan British dalam Perjanjian Pangkor 1874 di mana negeri-negeri Melayu mula mewartakan perlembagaan mereka, kedudukan Islam dan Raja-raja dinyatakan dengan jelas. Apabila Negara mencapai kemerdekaan pada era 1957 perlembagaan yang wujud sekadar memenuhi ruang lingkup sedia ada.
                   
       Dalam perlembagaan Persekutuan hal ehwal islam diletakkan di bawah bidang kuasa negeri. Hal yang demikian dapatlah di fahami kerana sultan adalah ketua agama bagi negerinya. Keharmonian ini bertambah lagi apabila setiap Sultan atau Raja yang menaiki takhta Yang Di Pertuan Agong dan timbalannya, baginda perlulah bersumpah akan memelihara Islam pada setiap masa sebagaimana yang tersurat dalam Jadual keempat perlembagaan Persekutuan. Berbalik kepada hal ehwal Islam yang terletak dalam bidang kuasa negeri, sudah tentulah perkara yang sedikit ini menjadi autonomi kepada negeri dalam menegakkan syiar islam selain di Wilayah Persekutuan.( Datuk Zainul Rijal Abu Bakar 2011:20)  Ini termasuk penubuhan majlis agama negeri, mufti, mahkamah syariah dan jabatan agama. Hal ehwal islam sebagai perkara negeri ini bukanlah hanya berbentuk dekorasi sahaja. Ia mempunyai kesan perundangan dan implikasi yang besar terhadap hubungan antara persekutuan dan negeri. Apatah lagi undang-undang islam mempunyai falsafah atau jurisprudennya tersendiri yang kadangkala tidak di fahami orang yang tidak mendalami undang-undang islam. Dalam erti kata lain Kerajaan Persekutuan tidak boleh mencampuri urusan agama islam kerana ia adalah urusan agama islam kerana ia adalah urusan negeri yang diketuai Ketua Agama melainkan mendapat perkenan Raja-raja Melayu.[17]

3.1 BIDANG KUASA MAHKAMAH SYARIAH
            
        Di dalam sistem perundangan Islam, bidang kuasa Mahkamah Syariah disebut sebagai ‘al-wilayah’,yakni hak dan juga kuasa untuk mendengar dan memutuskan kes. Sekiranya Makhamah Syariah tidak mempunyai bidang kuasa ini, maka mahkamah tidak boleh membuat sebarang keputusan terhadap mana-mana perbicaraan.
              
    Disebabkan perundangan di Malaysia mengamalkan sistem dualism, maka dengan adanya bidang kuasa ini secara dasarnya kita tidak mengalami konflik dalam menentukan kuasa mendengar dan memutuskan sebarang kes. Bidang kuasa yang tertentu juga mendapat menentukan kes-kes yang boleh dibicarakan oleh Mahkamah Rendah, Mahkamah Tinggi, dan Mahkamah Rayuan Syariah.
               
   Secara umumnya, bidang kuasa yang dimiliki oleh Mahkamah Syariah di Malaysia tidaklah berbeza jika hendak dibandingkan ketika zaman kemerdekaan lagi. Walau bagaimanapun,Mahkamah Syariah mengalami perkembangan yang positif dan lebih baik dari aspek status kakitangan, pentadbiran, penaikan taraf mahkamah itu sendiri dan infrastrukturnya. Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia yang ditubuhkan  perlu menghargai dan melihatnya sebagai suatu perkara yang positif sekalipun ia bukanlah perubahan yang sangat ketara.

3.2 SUMBER BIDANG KUASA MAHKAMAH SYARIAH
                 
  Perlembagaan Persekutuan Jadual Sembilan memperuntukkan Senarai 1 kepada bidang kuasa Persekutuan, Senarai 2 kepada bidang kuasa negeri dan Senarai 3 kepada bidang kuasa bersama.  Dalam konteks Mahkamah Syariah, sumber bidang kuasanya adalah berdasarkan kepada senarai 2, yakni Senarai Negeri. Jadual Sembilan memberikan kuasa perundangan kepada negeri melainkan dalam soal-soal jenayah. Badan Perundangan Negeri yang diberikan kuasa  oleh Perlembagaan Persekutuan mentadbirkan Undang-Undang Islam dan semua hal-ehwal Islam I negeri masing-masing kecuali Wilayah Persekutuan, yang diletakkan di bawah Persekutuan.

Jadual Kesembilan Senarai 2, Senarai Negeri, dalam Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan:
1.      Kecuali mengenai Wilayah-Wilayah Persekutuan  Kuala Lumpur dan Labuan, Hukum Syarak dan undang-undang diri dan keluarga bagi orang yang menganut agama Islam, termasuk  hukum Syarak berhubung dengan mewarisi harta berwasiat dan tak berwasiat, pertunangan, perkahwinan, perceraian, mas kahwin, nafkah, pengambilan anak angkat, taraf anak, penjagaan anak, pemberian, pembahagian harta dan amanah bukan khairat, Wakaf Islam dan  takrif serta peraturan mengenai amanah khairat dan khairat agama, perlantikkan pemegang-pemegang amanah dan perbadanan bagi orang-orang mengenai pemberian agama Islam dan Khairat, yayasan, amanah, khairat, dan yayasan khairat yang dijalankan kesemuanya sekali dalam Negeri,  adat istiadat Melayu,  Zakat, Fitrah dan  Baitul mal atau hasil agama yang seumpamanya masjid atau mana-mana tempat sembahyang awam untuk orang islam, mengadakan dan menghukum kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh orang-oramg yang menganut agama islam terhadap rukun-rukun islam kecuali mengenai perkara-perkara yang termasuk dalam senarai Persekutuan keanggotaan,  penyusunan dan cara bagi mahkamah-mahkamah Syariah, yang akan mempunyai bidang kuasa hanya ke atas orang- orang islam dan hanya mengenai mana-mana perkara yang termasuk dalam perenggan ini, tetapi tidak mempunyai bidang kuasa mengenai kesalahan-kesalahan kecuali setakat yang diberi oleh undang-undang, persekutuan, mengawal perkembangan iktikad dn kepercayaan antara orang-orang yang menganut agama islam, menentukan perkara-perkara Hukum Syarak dan iktikad dan adat istiadat melayu.

Di bawah kuasa Perlembagaan Persekutuan ini juga, pihak berkuasa negeri mewujudkan Enakmen Pentadbiran Islam Negeri, dan di bawah enakmen inilah Mahkamah Syariah ditubuhkan. Serentak dengan ini juga, di bawah enakmen inilah diperuntukkan bidang kuasa dan juga pegawai-pegawai mahkamah yang akan mengendalikannya. Pentadbiran mahkamah ini juga telah diasingkan daripada pentadbiran agama Islam negeri. Oleh sebab itu, terdapat Jabatan Kehakiman Syariah Negeri-negeri dan di bawah jabatan ini, diwujudkan mahkamah-mahkamah yang diketuai oleh Yang Amat Arif Ketua Hakim Syarie Negeri masing-masing.

Pada pengamatan penulis, ini sebenarnya ruang yang amat besar kepada kerajaan negeri untuk mentadbirkan Undang-Undang Islam dengan secara lebih cekap dan berdaya saing berbanding pada ketika struktur pentadbirannya diletakkan di bawah Jabatan Agama Islam bersama dengan lain-lain pentadbiran di bawah jabatan ini.

3.3 BIDANG KUASA JENAYAH

Tidaklah sebagaimana Mahkamah Sivil, bidang kuasa jenayah bagi Mahkamah Syariah adalah “dikurniakan” oleh Perlembagaan Persekutuan. Bidang kuasa Mahkamah Syariah telahpun ditentukan oleh Akta Mahkamah Syariah Bidang Kuasa Jenayah 1965 (Pindaan 1984). Ia memperuntukkan bahawa Mahkamah Syariah boleh menjatuhkan hukuman maksimum RM5000.00 denda, ataupun penjara maksimum 3 tahun ataupun sebatan 6 kali ataupun gabungan antara hukuman-hukuman berkenaan.

Semua kesalahan dan hukuman yang disebutkan ini adalah termasuk di dalam konsep takzir yang ditentukan oleh Islam dalam konteks kes-kes jenayah.

Dalam konteks Mahkamah Syariah di Malaysia, kesalahan-kesalahan jenayah syariah ini boleh dilihat peruntukkannya di dalam tiga tempat:

1)      Kesalahan-kesalahan yang diperuntukkan di bawah Undang-undang Pentadbiran Agama Negeri-negeri.
2)      Kesalahan-kesalahan si bawah Enakmen/Ordinan/Akta Undang-undang Keluarga Islam Negeri-negeri.
3)      Kesalahan-kesalahan di bawah Undang-undang Kesalahan Jenayah Syariah yang secara khususnya memberikan peruntukan berkaitan dengan jenayah berkenaan.


Kesalahan-kesalahan yang berada di tempat yang ketiga ini juga turut melibatkan kesalahan jenayah syariah matrimoni seperti poligami tanpa izin mahkamah dan penceraian dilakukan di luar mahkamah.

Sehubungan dengan ini, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Selangor  telah membentuk beberapa kategori jenayah yang tertentu, iaitu:

1)      Kesalahan berkaitan akidah seperti menyebarkan doktrin palsudan takfir.
2)      Berhubung dengan kesucian agama Islam dan institusinya seperti menghina perkara-perkara yang berkait dengan agama, pihak berkuasa agama, fatwa, ingkar perintah, mahkamah, berjudi, minum arak dan minuman yang memabukkan, tidak menghormati bulan Ramadhan, tidak menunaikan solat Jumaat dan tidak membayar zakat dan fitrah.
3)      Berhubung dengan kesusilaan seperti seperti sumbang mahram, pelacuran, hubungan jenis, khalwat, lelaki berlagak seperti pondan dan perlakuan tidak sopan di khalayak awam.
4)      Kesalahan pelbagai seperti membawa lari wanita yang sudah bersuami, menghalang pasangan yang telah bernikah daripada menjalani kehidupan sebagai suami isteri, menghasut suami isteri supaya bercerai atau meninggalkan kewajiban, menjual atau memberi anak kepada bukan Islam, qazaf(menuduh zina), mengutip zakat tanpa kebenaran dan menyalahgunakan tanda halal.

3.4 BIDANG KUASA MAL

Istilah ‘ mal’ sebenarnya merujuk kepada harta tetapi dalam konteks perundangan, ia merujuk kepada kes-kes bukan jenayah. Bidang kuasa mal bagi Mahkamah Syariah terpakai kepada semua orang Islam yang tinggal pemastautin negeri-negeri. Dan sebenarnya, Mahkamah Syariah mempunyai bidang kausa mal yang hampir menyeluruh dan merangkumi banyak aspek kekeluargaan Islam:

1)      Berkaitan dengan isu-isu sebelum perkahwinan. Seperti putus tuning, pemohonan kebenaran untuk berkahwin dan pemohonan untuk berpoligami.
2)      Berkaitan dengan persoalan semasa perkahwinan. Seperti pemohonan mengesahkan perkahwinan, permohonan membatalkan perkahwinan yang tidak sah,  pemohonan nafkah diri, nafkah anak, mensabitkan isteri nusyuz, pemohonan isteri supaya suami hidup bersama semula dn sebagainya.
3)      Berkaitan dengan persoalan pembubaran perkahwinan. Pemohonan cerai khulu, lian fasakh, talak, takliq, penceraian dengan perintah, kerana murtad dan juga secara anggapan mati.
4)      Sebarang pemohonan di dalam sesuatu kes sedang berjalan (interlocutory order) Contohnya, permohonan sementara nafkah sama ada diri atau anak, hadanah, perintah larangan terhadap harta dan gangguan.

 Bagi perkara ini, bukanlah sesuatu yang luar biasa satu-satu kes perbicaraan mengambil masa yang lama, kerana terlalu banyak isu yang perlu diselesaikan. Dalam sepanjang tempoh berkenaan, banyak perkara yang timbul yang perlu diselesaikan oleh pihak mahkamah. Sekiranya tidak diselesaikan, akan menyebabkan ketidakadilan dan aniaya kepada pihak-pihak yang terlibat. Oleh yang demikian, undang-undang memberikan ruang supaya pihak-pihak yang terlibat ketika menanti keputusan yang jelas dari pihak mahkamah dibenarkan untuk membuat pemohonan sementara, sementara perbicaraan dijalankan. Umpamanya, adalah sangat wajar bagi seorang wanita memohon larangan (injucksi)terhadap bekas suaminya untuk tidak mengganggunya. Begitu juga memohon perintah larangan agar harta yang dimiliki secara bersama tidak dibenarkan untuk dilibatkan dalam sebarang urusan.
5)      Isu-isu yang berbangkit selepas penceraian. Perkara-perkara ini boleh dirujuk di mahkamah yang ada bidang kuasanya, iaitu selepas perceraian berlaku. Umpamanya, sagu hati(mutaah) selepas perceraian ,harta sepencarian, nafkah iddah, nafkah anak, nafkah tertunggak dan juga soal hadanah( penjagaan anak).
6)      Permohonan –permohonan mengenai wasiat, wakaf dan harta pusaka.
7)      Permohonan penguatkuasaan perintah mahkamah. Ini berlaku apabila keputusan yang  dikeluarkan tidak diikuti oleh pihak yang kena tanggungan. Maka, pihak-pihak yang stau lagi boleh menuntut supaya perintah-perintah yang dikeluarkan itu dikuatkuasakan oleh pihak mahkamah.

Mahkamah  Syariah telahpun mengalami banyak perubahan terutama dari sudut pentadbiran yang lebih cekap,efisien dan sebagainya. Dan inilah sebenarnya yang diharapkan oleh masyarakat.
Inilah adalah kerana salah satu prinsip pemakaian undang-undang yang agak penting ialah soal pengiktirafan (recognition) masyarakat. Apabila masyarakat merasakan Mahkamah Syariah boleh diharapkan, diberi kepercayaan dan boleh menyelesaikan masalah-masalah masyarakat, maka di situlah wujudnya pengiktirafan di kalangan masyarakat.

Pada hemat penulis, Mahkamah Syariah di Malaysia telahpun diberi pengiktirafan oleh masyarakat. Ini adalah kerana, kita sama-sama dapat melihat mahkamah telahpun menangani banyak kes kekeluargaan di kalangan masyarakat Islam. Begitu juga dalam soal jenayah syariah. Mahkamah Syariah di Malaysia telahpun mengendalikan kes-kes jenayah syariah

Walau bagaimanapun, persoalannya bagaimana hendak memaksimumkan pemahaman masyarakat mengenai bidang kuasa mahkamah? Ini kerana disebabkan pemahaman inilah yang menyebabkan mereka yang menghadapi masalah, membawa masalah mereka itu ke hadapan mahkamah. Dalam keadaan mereka boleh mengharapkan Mahkamah Syariah memberikan keadilan kepada mereka, memberikan hak yang dituntut dan boleh menghukum mana-mana pihak yang mengabaikan tanggungjawab mereka ataupun bagi mereka yang telah melakukan kesalahan.
Maka, maklumat sebegini amatlah diharapkan sedikit sebanyak dapat membantu masyarakat awam, khususnya masyarakat Islam di Malaysia memahami bidang kuasa Mahkamah Syariah di Malaysia.

4.1 KESIMPULAN
   
  Setelah kita melihat kedudukan Islam dalam sistem perlembagaan dan perundangan, perlu dinilai pula apakah ruang-ruang yang ada itu sudah dimanfaatkan sepenuhnya. Hal ini amat perlu dirumuskan sebelum langkah-langkah seterusnya diambil. Sebelum sistem alternatif atau perubahan-perubahan yang mendasarkan difikirkan, perlulah dipastikan terlebih dahulu bahawa sistem yang ada sekarang tidak mampu menghasilkan natijah yang umat Islam hasratkan. Hal ini perlu dinilai dengan melihat undang-undang yang diluluskan selama ini, polisi dan program yang dilaksanakan serta tafsiran-tafsiran yang dibuat oleh mahkamah terhadap peruntukan –peruntukan yang berkenaan. Pelaksanaan undang-undang jenayah Islam, yakni hudud dan qisas, seperti yang dikatakan di atas boleh dilaksanakan melalui kerangka perlembagaan dan undang-undang yang ada. Bagaimanapun, beberapa penyesuaian dalam bentuk pindaan dan pengkanunan undang-undang baru perlu dan ini mengambil masa. Hal ini mungkin agak jauh ke hadapan.
     
 Dalam mekanisme perubahan dalam perlembagaan ada dua perkara yang perlu diambil kira iaitu yang pertama perubahan politik dan yang kedua perubahan menerusi perlembagaan yang tidak semestinya dilakukan melalui kuasa politik. Agak jelas bahawa perubahan melalui politik adalah kaedah yang paling popular. Hal ini kemungkinan berpunca daripada anggapan bahawa ‘sistem’ yang ada sekarang ini sekular dan jahiliah dan tidak mungkin memberi ruang kepada Islam. Dari satu sudut pendekatan ini kelihatan efektif kerana banyak hal yang berlaku sama ada peringkat legislatif, eksekutif dan mahkamah menggambarkan halangan yang datangnya daripada pihak kepimpinan politik. Bagaimanapun ini tidak semestinya seratus peratus benar dan pentadbiran negara bukan hanya bergantung pada kuasa politik semata-mata.
     
Dari segi meminda perlembagaan pula sebenarnya tidak timbul masalah yang besar kerana kerajaan sekarang memiliki kerusi lebih daripada dua pertiga di Parlimen. Tetapi ini tidak mungkin untuk berlaku kerana hal-hal lain yang lebih kecil masih belum dilakukan. Contohnya, Akta Undang-Undang Sivil 1972 yang menjadi saluran kemasukan prinsip-prinsip common law masih belum dipinda untuk memberi laluan kepada prinsip-prinsip Islam. Oleh sebab itu, usahkan untuk menjadikan Islam sebagai dasar undang- undang, hak untuk orang-orang Islam menggunakan hukum Islam menggunakan hukum-hukum Islam dalam soal-soal tertentu pun masih belum dapat dilakukan sepenuhnya.
      
Kedudukan agama Islam di Malaysia dapat dibuktikan dengan kedudukan Mahkamah Syariah. Kontroversi yang berlaku sekarang jelas bukan berpunca dari perlembagaan. Ia adalah masalah yang timbul akibat kekeliruan dan kejahilan tentang perlembagaan. Sebab itu tidak timbul soal meminda peruntukan berkenaan. Orang bukan Islam terlibat kerana hubungan mereka dengan orang Islam  bukan kerana mahkamah syariah menafikan hak mereka. Masalah ini boleh diselesaikan dengan memperbaiki undang-undang atau prosedur yang adil,  ia tidak perlu melibatkan pindaan perlembagaan.
       
Natijahnya,  terbukti bahawa kedudukan agama islam dalam perlembagaan merupakan satu perkara yang seiring dengan pembentukan Mahkamah Syariah di Malaysia. Hal ini kerana, kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi di Malaysia diiktiraf oleh Perlembagaan, negara serta dunia. Penubuhan mahkamah syariah juga menunjukkan bahawa kerajan begitu komited dalam meletakkan Islam sebagai suatu dasar negara. Ketertinggian Perlembagaan masih berada pada tahapnya apabila kepimpinan negara diterajui oleh seorang Raja yang menjadi ketua Agama Islam serta sebagai lambang negara Islam. Pembentukan Mahkamah Syariah pula bertepatan dengan wujudnya institusi kehakiman syariah di Malaysia. Hal ini ditegaskan lagi apabila adanya akta di mana Mahkamah Sivil tidak boleh campur tangan dalam apa-apa berkait dengan kes di Mahkamah Syariah. Justeru itu, terlihat Kedudukan agama Islam dalam Perlembagaan di Malaysia dan Bidang kuasa Mahkamah Syariah yang diberikan merupakan satu pengiktirafan besar kepada Islam serta menjadikan Malaysia sebagai salah sebuah negara islam yang dihormati dan disegani.
 

RUJUKAN
Abd. Jalil Borham, 2002, Pentadbiran Undang-Undang Islam negeri Johor, Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia.
Abd Jalil Borham, 2002, Pengantar Perundangan Islam, Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia.
Ruhanie Haji Ahmad, 2005, Patriotisme Malaysia: Penangkis neoimperialisme, Malaysia, Utusan Publication.
Mohd. Salleh Abbas (1984). Federalisme di Malaysia- Perubahan dalam Dua Puluh Tahun Yang pertama
Mahmood Zuhdi Ab. Majid, 2001, Bidang Kuasa Jenayah Mahkamah Syariah di Malaysia, Malaysia, Dewan Bahasa dan Pustaka.
Abdul Aziz Bari, 2005, Islam dalam Perlembagaan Malaysia, Malaysia, Intel Multimedia and Publication.

Utusan Malaysia, 8 september 2011, Tinta PPMM, Hal 20.


[1] Cadangan parti perikatan
[2] Perlembagaan persekutuan perkara 3(1)
[3] Mohd. Salleh Abbas (1984). Federalisme di Malaysia- Perubahan dalam Dua Puluh Tahun Yang pertama
[4] Undang-undang tubuh kerajaan Johor 1895, perkara 2
[5] Perlembagaan persekutuan, perkara 37
[6] Ibid, perkara 3
[7] Oxford University Press, hal. 25
[8] Tun Mohammad Suffian Hashim, op cit, Hal 15
[9] Ahmad Ibrahim 1984. “Kedudukan Islam dalam perlembagaan” 1957-1977 Hal. 59
[10] Ahmad Ibrahim, op. Cit, hal 52
[11] Perlembagaan persekutuan perkara 3
[12] Ibid perkara 11
[13] Ibid perkara 11 (4)
[14] Ibid perkara 150 (6)
[15] Jadual ke-9, senarai II perlembagaan persekutuan 1957
[16] Meskipun demikian,dalam mesyuarat seperti yang diadakan  pada tahun 1930 di singapura,ia turut dihadiri oleh raja-raja Melayu tidak bersekutu.
[17] Utusan Malaysia, 8 september 2011, Tinta PPMM, Hal 20.

No comments:

Post a Comment